Follow Us @asrialigur

04 October 2010

Linkin Park mencuba kelainan

ADA pesanan yang mahu disampaikan oleh enam jejaka yang berpayungkan nama Linkin Park ini. Ujar Chester Bennington, Rob Bourdon, Brad Delson, David Farrell, Joe Hahn dan Mike Shinoda: "Buat mereka yang sudah mengenali grup kami, kalian bakal perasan tentang kelainan bunyi dalam album A Thousand Suns."

Pesanan itu bakal menjentik perasaan ingin tahu para peminat kumpulan yang berasal dari Amerika Syarikat ini.

Bertapa di dalam studio selama 731 hari untuk mencipta kelainan itu, apa yang penting buat grup yang pernah dinobatkan sebagai antara grup hebat era muzik video ini adalah kepuasan peminat.

Mereka tidak terdorong dengan fenomena perjuangan single zaman kini. Sebaliknya keutamaan mereka adalah menjual sebuah album yang terkandung momen menarik sepanjang proses pembikinan album keempat tersebut.

Bagi anggota Linkin Park, album ini akan membawa pendengar dan peminat setia mereka ke dalam satu pengembaraan.

"Tapi kalau khalayak memilih untuk mendengar lagu pilihan mereka sahaja, itu terpulang," luah mereka.

"Saya merasakan cita rasa muzik kami semakin meluas. Ini telah memberi kesan terhadap muzik kami," ujar Mike menjelaskan pembaharuan muzik mereka.

Sambungnya perihal album yang mengandungi 15 buah lagu ini: "Album ini melalui proses versi baru. Kami tidak lagi membikin album dan kemudian terus membuat siri jelajah.

"Kami menulis sepenuh masa. Jadi saya boleh katakan kami mempunyai koleksi lagu yang dipadukan dalam sebuah album."

Pasti setiap lagu baru yang dibikin dinantikan dengan penuh debaran oleh peminat setia Linkin Park.

Sementelah grup yang pernah berkolaborasi dengan penyanyi rap Jay-Z ini pernah membikin fenomena dengan muzik mereka sendiri.

"Album keempat ini mempunyai kelainan. Ini kerana kami mahu berkembang dan menggunakan bunyi-bunyian yang pernah kami gunakan pada masa lalu.

"Saya suka melihat dan mendengar menggunakan konsep 'berfikir di luar kotak' dan mencapai apa yang dimahukan," ujar Mike Shinoda yang berkolaborasi bersama Rick Rubin sebagai penerbit album ini.

Menjadikan lagu The Catalyst sebagai lagu handalan mereka, introduksi promosi untuk album ini dilaksanakan dengan peraduan 'Linkin Park, Featuring You' yang bermula sejak 9 Julai lalu.

Peraduan tersebut dilaksanakan secara online dengan meminta para penggemar menyertainya dengan mengirimkan versi remix, menulis semula atau membuat bahagian lagu The Catalyst.

Keputusannya, Czeslaw 'NoBrain' Sakowski dari Poland memenangi peraduan tersebut dan hasil kerjanya dimasukkan dalam album terbaru Linkin Park tersebut.

No comments: