Follow Us @asrialigur

03 October 2010

Profil popular Adi Putra



BARANGKALI, nama eksotik Adi Putra itu sendiri menyumbang pesona kepada pemilik tubuhnya ketika ini. Tujuh tahun dalam industri, Adi kini berdiri sebagai aktor berbagai sisi.

Menemukan satu filosofi dalam dirinya, kata Adi, sebagai seorang manusia, hidup haruslah bersederhana tetapi dalam masa yang sama mesti pandai meletakkan posisi diri.

Dalam bidang yang diceburi, dia hanyalah seorang pekerja dan tugasnya adalah memberikan satu sumbangan terhadap kerja yang dijalani.

Mungkin kerana itu juga, tidak banyak onar yang datang mencemburui, membuat kacau atau meragut setiap langkah dan jejak di daerah seni lakonan di Malaysia.

Tidak sia-sialah tanah kelahiran Kota Singa yang ditinggalkan. Kelihatannya, musafir seni Mohamad Hadi Putera Halim, 29, semakin terisi di Malaysia.

Sementelah Adi sendiri sudah berumah tangga dengan seorang penerbit bernama Aida Yusof dan jika dilimpahkan rezeki, dia bakal bergelar ayah sedikit masa lagi.

"Rasanya masih terlalu awal untuk bercerita tentang kandungan isteri saya. Untuk orang kali pertama mahu bergelar bapa, pasti riangnya lain macam, tetapi kami pernah berdepan saat keguguran.

"Biarlah kandungan kali ini stabil dahulu," katanya sambil menyerahkan urusan zuriat kepada Yang Maha Esa.

Revolusi

Masuk ke topik karier, sengaja mengambil contoh telemovie Emily yang disiarkan Ogos lalu, watak pelukis bernama Uria Hannan terjemahan Adi masih berbekas kepada penonton.

Ada juga secara terangan-terangan mengisytiharkan diri menjadi pemuja Adi walhal sudah entah kesekian kalinya aktor itu terpacul di skrin televisyen.

Menambah efek aktor bervariasi miliknya, Air Mata Nur Salina menjadi kesinambungan imej petualang yang pernah disaksikan dalam Akukah Tanggang seketika dahulu.

"Rasanya saya percaya dengan satu formula yang diajar oleh orang lama dalam industri.

"Penonton nampak saya keluar dengan karya senaskhah demi naskhah, ironinya saya anggap itu sebagai peluang demi peluang yang telah saya raih.

"Jadi, saya kategorikan kerja-kerja terdahulu sebagai 'kad rekod sekolah'. Itu profil kerjaya saya. Menjadi popular tanpa profil pun tidak memberikan banyak makna kepada seseorang pelakon," tuturnya tanpa prejudis.

Iris coklatnya merenung tepat. Sesekali beralih ke mata pena yang berlenggang-lenggok mencatat setiap butir yang keluar daripada bibirnya, dia barangkali kurang faham.

Namun, apa yang dimainkan daripada hatinya, cuba saya cernakan untuk difahami sebaik-baiknya.

"Bagi saya, bakat lakonan ada dalam diri setiap orang. Tanpa bakat itu, bagaimana seseorang itu boleh menipu, berbohong, mereka-reka atau menokok tambah cerita?Raut Muka

"Itu semua lakonan. Cuma, cara bagaimana dan bila lakonan itu harus dikeluarkan sahaja yang membezakan tahap lakonan seseorang.

"Untuk saya, setiap watak yang saya bawakan sama sekali bukanlah diri saya, yang sama hanyalah lapisan raut muka sahaja," jelasnya memperihalkan karakter Bad menerusi Haq The Movie, Dain Maroola (Hanyut) dan Jai (KL Gangster) yang belum menemui penonton.

Tambahnya: "Dalam Haq, saya menjadi penjahat yang berintelek, sasa dan tamakkan kuasa tetapi dalam Hanyut pula saya berubah menjadi lelaki Melayu yang kurus, seorang anak raja yang juga ketua lanun yang baik dan dalam KL Gangster pula, saya bertukar menjadi samseng yang berhati kering tetapi dalam satu-satu keadaan, sejahat-jahat manusia pasti ada kebaikannya yang tersembunyi."

Epik purba Hanyut semestinya satu petunjuk yang berharga tentang Adi. Terpilih dan terlibat dalam projek mega U-Wei Haji Saari itu satu kebanggaan terhebat yang pernah dikecapi Adi saat ini.

Kebanggaan yang berbunga bertitik tolak daripada karya itu sendiri. Ia dibikin daripada tangan pengarah berkaliber dan untuk dipersembahkan ke peringkat antarabangsa.

Hakikatnya, bukan Hanyut sahaja yang jadi ukuran Adi, Anak Halal dan Akhirat sebelum ini tidak mengecewakan. Sayang sedikit, Adi bukan anak Malaysia, itu sahaja yang menolak namanya daripada tangga pentas anugerah di tanah air.

"Saya tidak terkilan kerana kerja ini sendiri satu anugerah Tuhan buat saya. Fokus saya bukan lagi untuk sebarang anugerah tetapi menjadi seorang seniman.

"Saya percaya untuk menjadi selebriti itu mudah tetapi payah untuk menjadi seorang artis yang ada kaliber.

"Kepuasan belum ada. Tidak akan ada kepuasan kerana saya percaya bila rasa itu sampai, maknanya kita sudah benar-benar berada di puncak," katanya.

Jika masih terlalu jauh ke peringkat antarabangsa, hasrat Adi biarlah dikenali sehingga ke peringkat Nusantara dahulu.



Sandarannya pastilah Hanyut.

Setidak-tidaknya, kata Adi, jika bukan naskhah itu sendiri yang berkompang di peringkat antarabangsa kelak, pelakon-pelakon luar dalam Hanyut seperti Peter O'Brien, Alex Komang serta El Manik sendiri pasti akan menyebut namanya.

Di bibir Adi sendiri masih basah dialog-dialog berkias yang menjadi makanan sepanjang di lokasi filem berkenaan. Itu antara 'bekalan' pulang Adi yang masih likat dalam darahnya.

"Ketika filem-filem yang bersifat santai dan komersial banyak di pasaran, Hanyut hadir sebagai sebuah filem seni.

"Saya fikir, kita juga perlukan filem yang menuntut cetusan pemikiran seperti Hanyut," ujar yang sedang menanti reaksi drama bersiri terbaru Chinta yang disiarkan di TV3 sejak 27 September lalu.

Berkolaborasi bersama bintang sensasi Fasha Sandha dan melakonkan dua watak berbeza karakter, sebagai pengawal peribadi dan peguam syariah, Adi sekali lagi meluncurkan pegangan.

"Saya perlukan revolusi, itu satu sifat yang perlu ada terhadap seseorang pelakon," syukur Adi terhadap suhu kariernya.

Bollywood

Gusar hendak meletakkan harapan, istilah yang tepat adalah 'moga-moga'. Itu luahan Adi ketika membisikkan satu perkhabaran terbaru dan jika terlestari, semakin mahal nilai profil seorang Adi.

"Saya cuma diminta mengosongkan jadual sekitar Februari depan. Filem sekuel Don II dijadualkan turun menjalani penggambaran di Malaysia dan saya diberikan peranan sebagai peguam peribadi yang tahu segala kelicikan Don.

"Saya memang penonton filem-filem Hindustan sejak kecil.

"Jadi, lebih baik saya gunakan istilah 'moga-moga' sahaja, kalau berharap nanti takut kecundang," cetuskan berbaur pengharapan untuk berganding dengan Shah Rukh Khan.

Bukan anak Malaysia namun kedatangan Adi mencetuskan secalit warna ke landskap sinema tanah air.

Moga-moga juga, Adi berkongsi cinta dan cita yang sama untuk memberi keseronokan kepada pencinta seni lakon di Malaysia.

No comments: