Follow Us @asrialigur

19 September 2010

Perginya M. Rajoli


BAYANGAN karakter hitam dan putih tiba-tiba jadi jelas di depan mata. Sama ada berjubah putih dan berserban membawa tasbih atau stail rugged membawa motosikal besar, itu kelibat yang datang tiba-tiba ketika berita sosok seorang M. Rajoli sedang berhadapan antara hidup dan pergi pada saat-saat akhir.

Biarpun awal malam Jumaat lalu berita pemergiannya tenggelam timbul, namun doa dan harapan buat sejahtera seorang lelaki dengan nama sebenar Mohd. Rajoli @ Mohd. Rajab Mohamed Zain, 65, itu bertali arus di mulut.

Sudahnya, dia insan terpilih dijemput untuk pergi pada pukul 10.45 malam bersamaan hari Jumaat, penghulu segala hari. Tenang dan damai dia disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat pada pukul 10.30 pagi semalam.

Masih dalam emosi dan redup Syawal, pemergian seorang pelakon versatil ini diiringi haruman doa dan panasnya tangisan buat yang mengenali secara langsung mahupun tidak.

Menjemput memori yang ditinggalkan, kehadiran lelaki ini dalam dunia seni bermula dengan hanya bacaan talkin. Begitu juga cara yang dipilih untuk pergi, diiringi bacaan yang sama.

Mengimbau semula sejarah silam 25 tahun lalu, seniman ini menyapa halus dunia lakonan selepas diundang dalam sebuah babak membaca talkin untuk filem Esok Untuk Siapa arahan Tan Sri Jins Shamsuddin.

Detik itu kemudian dilanjutkan ke dalam filem Matinya Seorang Patriot pada tahun 1983 yang memahat ingatan umum terhadap dirinya.

Dia kala itu mencetuskan perdebatan ekoran membawakan watak seorang lelaki yang berfoya-foya dan mabuk-mabukan sedang ketika itu dia merupakan bilal di sebuah masjid di Kuala Lumpur.

Namun, seiring dengan perjalanan hidup, dia sudah tahu yang mana asam dan mana garam. Bakat yang dikendongnya dibawa dengan jalan yang betul di samping meneruskan juga tugasan sebagai hamba Allah yang tidak pernah lalai menunaikan tanggungjawab.

Buat siapa yang mengenali lelaki penggemar alat muzik gambus ini tahu bahawa jiwa waraknya tidak pernah meninggalkan yang wajib malah menambah dengan yang sunat. M. Rajoli sentiasa berpuasa sunat selama tiga bulan sebelum menyambut ketibaan Ramadan dan aktif juga memberikan kuliah Subuh.

Pantas terkenang kembali lakonannya bak dalam drama mahupun filem. Lelaki kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini berlakon sepenuh jiwa. Kalau tertawa, dia punya cara tersendiri.

Kalau dia diselubung watak hitam, dia malah dibenci sepanjang perceritaan. Ayah yang bak haruan makan anak mahupun si lelaki pertengahan usia yang masih diulit jiwa remaja mabuk-mabukan, M. Rajoli tidak pernah mengecewakan.

Terbayang juga kasih sayang yang diberikan kepada Nasha Aziz dalam beberapa drama lakonan bersama. Sejuk betul hati memandang dan mengingatnya. Itu adalah kenangan.

Merenung derita hidupnya, tunjang kasih sayang kepada empat cahaya mata ini sudah berperang dengan kesakitan sejak November 2007 dan menjalani pembedahan di bahagian kepala kerana menghidap penyakit limfoma.

Hidup bertemankan sakit dan ubat-ubatan, akhir hidupnya dihabiskan dengan rehat panjang di sebuah katil di sudut kanan rumah berhampiran tingkap pangsapuri itu.

Kasih sayang utuh sang isteri menjaganya ke hayat yang akhir dipamerkan oleh Hashimah Mohd. Din, 55. Di hujung katil dia merawat serta menanti dan kini beralih pula di hujung pusara berbekalkan doa.

Iringan doa dan talkin turut disedekahkan oleh anak peninggalan bersama iaitu empat orang anak, Siti Zaleha, 34, Nur Muhammad, 33, Siti Nazirah, 27 dan Mohd. Ariff, 23 tahun.

Sayu juga mengenangkan Wan Chik Othman, sang isteri kedua yang tidak dapat menyaksikan saat akhir suaminya.

Teringat juga akan kasih sayang yang ditonjolkan mereka dalam iklan kopi. Hanya tinggal kenangan baris perkataan, "Kuatlah pulok," diucapkan sebelum melompat naik ke atas motosikal berkuasa besar kegemarannya.

Pada usia 65 tahun, Mohd. Rajoli pergi. Rahmat Syawal mengiringinya, begitu juga doa-doa kita.

AL-FATIHA BUAT M.RAJOLI

No comments: