Follow Us @asrialigur

19 September 2010

Nas-T tak kisah

ENTAH mana silapnya,

bertahun-tahun men

ghambakan diri dalam lapangan lakonan tem

patan, nama

dan kelibatnya masih dilihat asing. Bukan saja kurang limpahan publisiti, sebaliknya Nas Muammar Zar Nasruddin atau nama komersial, Nas-T hanya lebih tertumpu kepada dunianya sendiri tanpa ‘menjual’ wajahnya ke lapangan luar. Justeru, Nas-T sekadar dilihat sebagai pelakon tempelan.

“Saya akui memang cerewet dalam pemilihan watak atau tawaran yang datang pada saya. Bukan sombong atau cuba bersikap angkuh sebaliknya saya cukup berhati-hati dengan watak-watak yang bakal saya dukung. Sebagai pendatang baru, saya perlu memastikan setiap lakonan itu mampu memberikan kepuasan dan membawa saya ke fasa yang jauh lebih tinggi lagi. “Mungkin kerana itu saya dilihat kurang membintangi drama atau filem. Apa yang saya tampilkan adalah terhad kerana saya tidak mahu sekali-sekali mempersiakan minat lakonan yang ada pada saya ini. Selebihnya saya hanya memberi tumpuan pada tugas saya sebagai deejay di kelab hiburan yang sudah dilakukan sejak bertahun-tahun lamanya ini. Setakat ini undangan buat saya melakukan deejay memang tidak pernah henti. Justeru ini adalah satu lagi pekerjaan yang saya lakukan jika ada kelapangan daripada undangan lakonan,” katanya yang pernah menjadi pengacara program Muzik Indie tayangan RTM1 dan Pertandingan Robocon di TV2.


Senyap Nas-T selama ini mungkin akan hilang dan elemen 'urban' yang melekat padanya itu kian tertanggal dengan watak barunya dalam drama bersiri yang diadaptasi daripada karya novelis terkenal, Ahadiat Akashah iaitu Lagenda Budak Setan (LBS). Drama bersiri yang mula ditayangkan pada 10 Ogos lalu, setiap Selasa jam 10.30 malam itu menyandarkan pelakon berusia 27 tahun ini dengan watak Azmi yang sebelum ini dilakonkan aktor Que Haidar dalam naskhah filemnya. LBS yang menjadi kesinambungan plot ceritanya daripada karya filem sebelum ini turut membariskan pelakon lain termasuk Farid Kamil, Jue Aziz dan bintang baru, Nor Maslina Nasir. Menurut Nas-T yang menyifatkan LBS sebagai sebuah karya unggul tiada ganti ini, watak Azmi bukanlah sembarangan dan ia memerlukan satu penelitian untuk tampil tepat pada emosi yang diminta pengarah. Mungkin pertama kali berdepan dengan sebuah drama Melayu yang penuh drama dan konflik, Nas-T mengakui gementar dengan reaksi penonton serta peminat kemudian.


“LBS memberikan seribu kelainan dalam lapangan lakonan saya. Sebelum ini saya banyak babitkan diri dalam penerbitan drama yang mengangkat konsep remaja bandar dan drama yang berkisar pada kehidupan seharian remaja. Namun LBS menjurus pada konflik percintaan, mainan emosi serta pergerakan lakonan yang kompleks. Jujurnya saya sangat risau namun yakin watak Azmi adalah sesuatu yang berbeza daripada lakonan saya sebelum ini.


“Saya puas berlakon dalam drama ini kerana struktur perjalanan ceritanya sangat padat dan penuh drama. Pelbagai ekspresi serta sisi lakonan mampu saya terjemahkan lebih-lebih lagi pengarahnya, Along Kamaluddin sentiasa membantu dan tidak sekali kedekut ilmu. Watak Azmi memang seorang yang beremosi, hanya mementingkan diri sendiri namun punya nilai kasih sayang yang sangat tinggi di sebalik karektor angkuhnya itu.

“Saya berharap agar peminat dan penonton dapat memberi peluang kepada saya untuk terus tampil memberikan sesuatu yang berbeza dalam drama-drama bercorak begini. Mungkin selepas ini peminat akan membuka mata akan kehadiran saya kerana LBS adalah sebuah drama yang bakal menyentuh setiap penonton yang tidak lepas menyaksikannya. Saya gembira dengan kepercayaan yang diberi dan pastinya tidak sekali saya persiakan,” katanya yang kelakar apabila menyarungkan kembali pakaian seragam sekolah dalam beberapa babak awal menerusi drama ini.

No comments: