20 September 2010

Fox tolak permintaan Jennifer Lopez

PENYANYI Jennifer Lopez dilaporkan telah bersetuju dengan kontrak AS$12 juta (RM38.4 juta) untuk menjadi juri program realiti, American Idol (AI) walaupun sebelum ini meminta bayaran sebanyak RM48 juta.

Dia yang sudah lama berbincang dengan pihak American Idol disahkan akan menjadi juri program itu selepas pengunduran Simon Cowell, Ellen DeGeneres dan Kara DioGuardi.

Bukan sahaja meminta RM48 juta, Jennifer juga difahamkan mahu berlakon dalam filem serta beberapa siri televisyen dengan syarikat perfileman yang menerbitkan American Idol iaitu Fox, Fremantle dan 19 Entertainment.

Namun, permintaan untuk terlibat dalam filem dan program TV tidak dipersetujui. Menurut satu sumber: "Dia berharap untuk terlibat dalam filem supaya dapat mengukuhkan lagi kariernya tetapi pihak Fox telah menolak permintaannya."

Pengurus Jennifer, Benny Medina telah mengaturkan perjumpaan antara pihak produksi sekitar Jun lalu dan Jennifer telah menerima tawaran tersebut sekitar Julai lalu. Dia difahamkan turut ditawarkan oleh Simon untuk menjadi juri kepada program The X Factor versi Amerika Syarikat yang dijangka disiarkan pada tahun depan.

Penyanyi berusia 41 tahun itu yang 'dibuang' daripada rekod label Sony Music Epic Records tahun lalu juga difahamkan telah meminta penerbit American Idol hanya mengumumkan penglibatannya sebagai juri sekitar bulan ini.

"Kariernya sudah mula menjunam. Justeru, dia meminta berita itu diumumkan bulan ini kerana Jennifer akan memasarkan single terbarunya pada masa yang sama," tambah sumber itu.

No comments :