Follow Us @asrialigur

21 September 2010

Peminat Salman merusuh

BINTANG yang kini sedang hangat dengan filem Dabangg dan dikhabarkan bakal muncul dengan filem Dabangg 2 iaitu Salman Khan mempunyai pengalaman bertemu peminat yang tidak dapat dilupakan.

Bandar Hyderabad menjadi lokasi Salman Khan berang bukan sahaja dengan 30 pengawal keselamatan yang diupah oleh penganjur tetapi juga peminat yang tidak mahu melepaskan peluang melihatnya dari dekat.

Salman bersama bintang filem Dabangg yang lain iaitu Sonu Sood dan Sonakshi Sinha tiba di pusat membeli-belah In-Orbit di bandar Hyderabad pada waktu petang hari Selasa minggu lalu.

Mengikut perancangan, terdapat beberapa acara besar yang harus dihadiri oleh mereka bertiga di sekitar bandar itu. Bagaimanapun, disebabkan peminat yang bertindak di luar kawalan, memaksa mereka membatalkannya.

Peminat menjerit seperti terkena histeria bukan sahaja ingin bergambar dengan mereka, malah acara yang sepatutnya berlangsung dengan aman itu bertukar menjadi seperti rusuhan pula sehingga mereka bertiga terjatuh dan mengalami beberapa kecederaan.

Disebabkan situasi yang tidak terkawal itu mereka bertiga meninggalkan lokasi tersebut. Malah, Salman sendiri telah membatalkan kehadiran mereka bertiga pada semua acara yang berlangsung di bandar itu dan terus menuju ke lapangan terbang untuk pulang ke rumah dengan segera.

Seorang saksi mengatakan: "Salman tidak suka ditolak-tolak orang ramai. Dia berada di sana sebagai bintang, jadi kenapa peminat harus menolak-nolak tubuhnya dalam keadaan sesak itu?

"Apa yang terjadi dalam pusat beli-belah In-Orbit sangat mengecewakan Salman apabila melihat Sonakshi ditolak sehingga terjatuh. Itu sesuatu yang tidak boleh diterima oleh Salman."

Sebelum berangkat ke bandar Hyderabad, Salman telah berjanji kepada bapa Sonakshi iaitu aktor veteran terkenal, Shatrugan Sinha untuk menjaga anak perempuannya itu.

Salman tidak sanggup melihat janji yang dibuat bersama bapa Sonakshi tidak ditunaikan, sebab itu dia terus ke lapangan terbang dan menaiki pesawat pertama keluar dari bandar Hyderabad lebih awal daripada tiket penerbangan yang dibelinya sebelum itu.

Mengesahkan kejadian itu, aktor Sonu Sood yang menemani Salman dan Sonakshi berkata: "Kami bertiga ditolak-tolak dalam keadaan yang penuh sesak dengan orang ramai. Sonakshi dan saya juga jatuh ke lantai, malah kami berdua mengalami kecederaan di tangan dan kaki."

Tambah Sonu, pengawal keselamatan yang diupah juga tidak mampu berbuat apa-apa untuk mengawal keadaan sehingga Salman berkata keadaan sudah di luar kawalan dan lebih baik mereka bertiga beredar dari tempat itu.

Selepas kejadian itu, mereka bertiga terus pulang ke Mumbai dan Sonakshi yang trauma dengan kejadian tersebut mengakui kini semakin mengerti tentang sikap obses peminat terhadap bintang filem sepertinya.

"Peminat di Hyderabad sangat tidak terkawal. Menjadi lumrah bila Salman berada di tempat awam, semua orang ingin bergambar dengannya. Pengawal keselamatan pula tidak menjalankan tugas dan memaksa kami membatalkan beberapa acara dan terus pulang," luah Sonakshi.

Dabangg yang merupakan filem sulung terbitan syarikat milik adik Salman, Arbaaz Khan yang mula ditayangkan sempena Aidilfitri lalu telah membuat kejutan apabila berjaya mengumpul kutipan minggu pembukaan mencecah Rs48.25 crore (RM3.3 juta).

No comments: