09 September 2010

apek bermadu di aidilfitri

KETERUJAAN jelas terpancar pada raut wajah dua nama ini – Saiful Apek, 41, dan Sazzy Falak, 29. Apa tidaknya, buat kali pertama, mereka disatukan dalam filem bersalut komedi romantik, 4 Madu, sebagai pasangan suami isteri di bawah rumah penerbitan, Line Clear Motion Picture.

Menjalani penggambaran selama 25 hari di Bagan Lalang, Sepang dan sekitar Lembah Klang, Sazzy yang mengisi karakter Jane begitu terharu apabila menerima kepercayaan daripada penerbit dan pengarah, Profesor Madya A. Razak Mohaideen untuk bekerja dengan Saiful Apek.

“Senang berlakon dengan Saiful Apek. Apa saja dialog yang dia ucap sama ada terdapat dalam skrip atau spontan membuatkan saya asyik ketawa. Ia menjadi pengalaman menarik sepanjang buat saya sepanjang berada di lokasi penggambaran pada Jun lalu.

“Bercakap tentang watak saya, Jane merupakan isteri ketiga Azlan. Dia ibarat minah salleh celup yang gedik, bertutur dengan slanga sendiri dan cukup rapat dengan madu-madunya,” jelas Sazzy ketika ditemui pada rakaman rumah terbuka pelakon-pelakon 4 Madu di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Mengulas tentang sambutan Lebaran, isteri kepada Nazril Mohd. Idrus, 36, itu bakal beraya di kediaman ibu-bapanya di ibu negara dan rumah keluarga mertua di Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Hari raya saya selalunya meriah sebab ada keluarga yang besar dicampur dengan sebelah suami. Rasanya dalam dua hari baru dapat habiskan waktu melawat sanak saudara,” tutur Sazzy yang tidak mengambil sebarang tawaran lakonan atau mengacara sepanjang Ramadan kerana mahu merehatkan diri.

Dalam pada itu, Saiful Apek yang menerajui dua karakter serentak - Azlan dan Azrul dalam 4 Madu mengaku cukup senang hati meraih kesempatan bergandingan dengan Sazzy serta tujuh pelakon wanita lain.

“Terus terang, saya tidak berdepan sebarang masalah bekerjasama dengan Sazzy. Dia juga berperangai selamba dan gila-gila secara realiti. Justeru, keserasian kami mudah terbentuk walaupun pertama kali berlakon sama dalam filem.

“Menjiwai dua watak dalam satu masa, saya akui keadaan ini agak sukar. Biarpun sebelum ini saya pernah bawa dua karakter dalam Bujang Senang, ia bagaimanapun tidak banyak seperti 4 Madu. Saya perlu kekal konsistensi dari awal hingga akhir filem,” terang Saiful Apek.

Aidilfitri ini, pemilik nama sebenar Mohd. Saifulazam Mohammad Yusoff itu bakal beraya di Kuala Lumpur sambil melawat sanak saudara dan sahabat terdekat. Jawabnya spontan: “Saya ingin meluangkan lebih banyak masa dengan keluarga selepas kontroversi yang berlaku beberapa bulan lalu.”

Selain Saiful Apek dan Sazzy, menariknya, filem berdurasi 107 minit itu turut membariskan beberapa nama popular tanah air seperti Fasha Sandha (Ros), Rozita Che Wan (Ghasidah), Almy Nadia (Jaja), Rosnah Mat Aris (Suriati), Ayu Raudhah (Latifah), Bienda (Weena) Marsha (Zarra) dan Datuk Rahim Razali (Datuk Rahim).

Rekod Razak

Dalam pada itu, A. Razak berkata, filem yang disasar untuk tayangan Hari Raya Aidilfitri itu menonjolkan kelainan tersendiri berbanding filem-filem sebelumnya menerusi kombinasi pelakon, jalan cerita sarat elemen komedi dan lokasi penggambaran menarik.

“Saya dapati, jarang sekali filem di Malaysia menampilkan lapan watak wanita secara serentak selain mengundang Saiful Apek dan beberapa karakter penampilan khas.

“Dengan penglibatan ramai pelakon popular, isu keseimbangan watak amat dititikberat. Saya berlaku adil kepada setiap artis dengan menyediakan babak yang ada keistimewaan sendiri. Cuma, lain sikit untuk Saiful Apek sebab dia pelakon utama.

“Dengan kemunculan 4 Madu, saya harap ia mampu menarik minat orang ramai untuk mengunjungi pawagam sempena hari raya selang beberapa hari lagi,” jelas A. Razak tentang filem berbajet RM1.5 juta termasuk promosi di lebih 70 buah pawagam di seluruh negara.

Idea pembikinan 4 Madu daripada Shukor Mohaideen itu berkisar Azlan dan Azrul yang merupakan adik-beradik tiri dengan wajah seiras. Kemudian, kedua-duanya ditemukan sebaik sahaja menerima surat peguam menyatakan bapa mereka meninggalkan wang pusaka sebanyak RM50 juta.

No comments :