Follow Us @asrialigur

09 September 2010

Emosi raya Tiz, Ayu

DUA aktres muda yang digabungkan dalam sesi fotografi raya kali ini bukan sahaja bersahabat baik tetapi sama cantik dan sama cemerlang dalam bidang seni lakonan. Mereka juga pernah bekerjasama dalam drama rantaian yang mencetuskan fenomena iaitu Nur Kasih.

Tiz Zaqyah dan Ayu Raudhah, dua aktres muda yang sedang meningkat naik. Masing-masing pernah berada di muka depan akhbar dengan kisah kontroversi tersendiri. Namun sempena menyambut Syawal yang jatuh pada esok hari, kisah kontroversi mereka tidak menjadi fokus.

Sebaliknya Tiz dan Ayu yang memberitahu mereka tinggal di kejiranan yang sama iaitu di Subang Jaya, Selangor dan merupakan sahabt baik di luar gelanggang seni, berkongsi cerita raya masing-masing.

Tiz beraya di Kuala Lumpur

Nama Tiz Zaqyah atau nama sebenarnya Siti Zaqyah Abdul Razak melonjak naik dengan watak Nur Amina dalam drama rantaian paling popular Nur Kasih dan tidak lama lagi bakal muncul dengan versi filemnya pula.

Tidak menafikan drama itu pencetus kepada arus kerjayanya hari ini, Tiz menganggap itu semua rezeki dan peluang yang diberikan kepadanya.

“Saya bersyukur kerana selama empat tahun dalam bidang seni bermula dengan kerjaya sebagai model, saya kemudian diterima baik dengan Nur Kasih.

“Terima kasih kepada pengarah, Kabir Bhatia kerana percayakan bakat saya sedangkan saya tahu waktu pemilihan saya ramai yang menentang cadangannya untuk memilih pelakon baru memang watak utama,” ucapnya.

Bercakap tentang raya, anak bongsu daripada dua adik-beradik ini menjelaskan dia hanya menyambut raya di Kuala Lumpur sahaja.

Bukannya tidak pernah menyambut raya di kampung tetapi sudah lama dia tidak pulang ke kampung kerana ramai saudara-maranya berada di Kuala Lumpur.

“Ayah saya berasal daripada Singapura tetapi berhijrah ke Negeri Sembilan. Ibu saya pula berasal daripada Pahang tetapi berhijrah ke Melaka.

“Jadi masa kecil dulu, saya akan beraya di tiga negeri ini secara bergilir-gilir. Sekarang tidak lagi sebab sudah tiada orang tua di sana selain keluarga semua ada di Kuala Lumpur,” katanya yang bersederhana dalam membuat persiapan raya.

Biar membuat persiapan sederhana, yang dititikberatkan oleh Tiz tentang Syawal yang menjelma esok adalah tradisi bermaafan dengan ahli keluarganya. Tradisi ini kata Tiz selalu menyentuh relung hatinya.

“Sama seperti umat Islam lain yang menyambut raya, tradisi bermaaf-maafan di pagi raya adalah perkara yang sangat penting dan cukup menyentuh emosi. Ada adegan sedih dan gembira sepanjang tradisi itu.

“Maklumlah selama setahun kita melakukan khilaf dan kadangkala tidak sengaja menyakitkan hati ahli keluarga, semuanya diselesaikan pada pagi raya,” kata anak gadis berusia 21 tahun itu yang menyukai momen berkumpul dengan keluarga kecilnya di pagi raya.

Jarang membuat rumah terbuka secara besar-besaran, kata Tiz dia hanya menjemput rakan dan keluarga terdekat sahaja datang ke rumah.

“Saya buat majlis makan-makan secara kecil-kecilan untuk rakan dan keluarga. Bukan tidak mahu buat rumah terbuka tetapi semua keluarga saya sibuk.

“Cuti raya tahun ini pun sekejap sahaja. Kalau ada kerja saya terus berada di lokasi penggambaran, jadi cuti saya bergantung kepada panggilan pengarah,” katanya yang baru selesai menjalani penggambaran tele filem 7 Lagu untuk siaran Astro.

Sebelum mengakhiri temu bual, Tiz sempat membuat pesanan khusus untuk peminatnya: “Tiz nak ucapkan selamat menyambut Aidilfitri, memandu dengan cermat dan jangan bermain mercun.”

Raya solo terakhir Ayu

Berkonvoi untuk pulang beraya di Alor Setar, Kedah sudah menjadi kemestian kepada adik-beradik keluarga besar Che Wan Md. Arshad dan Zabedah Saad. Tidak ketinggalan juga tahun ini apabila adik-beradik itu sudah pulang beraya pada 7 September lalu.

Bercuti selama seminggu, istimewanya anak keenam daripada tujuh adik-beradik itu, Ayu Raudah, 25, akan beraya buat kali terakhir sebagai wanita bujang. Jika tiada aral melintang dan segalanya berjalan seperti yang dirancang, Ayu bakal mendirikan rumah tangga tahun depan.

Maka, kekasih kepada pemain bola sepak, Zaquan Adha itu mahu menikmati raya terakhirnya sebelum bergelar isteri bersama keluarganya. “Walaupun kami adik-beradik tinggal berdekatan di Kuala Lumpur, kami masih akan pulang beraya bersama.

“Selalunya kami akan konvoi dalam dua atau tiga buah kereta. Cuma tahun ini merupakan kali terakhir saya beraya sebagai orang bujang,” ujar Ayu ketika ditemui baru-baru ini.

Adik kepada aktres jelita, Rozita Che Wan itu bersama tiga orang lagi kakaknya bagaimanapun tidak akan mengemas rumah sehari sebelum raya. Bukannya malas atau tidak mahu membantu tetapi mereka lebih gemar menjahit manik.

“Pada kebiasaannya orang akan sibuk mengemas rumah tetapi kami pula akan berlumba menjahit manik pada baju raya kami. Bukannya kami menjahit baju tetapi hanya maniknya. Kami suka melihat hasilnya dan bergaya pada pagi raya,” tambah Ayu.

Jika tahun lalu keluarga Ayu telah mengadakan rumah terbuka bagi menjemput peminatnya di Alor Setar, tahun ini, mereka sekeluarga masih menjemput kedatangan tetamu dan peminat. Cuma ia tidak akan dilakukan secara besar-besaran.

“Tahun lalu, rasanya lebih 1,000 peminat yang datang bertandang ke rumah kami. Tapi tahun ini kami tidak akan mengadakan rumah terbuka. Cuma kalau ada peminat yang nak datang, rumah kami sentiasa terbuka,” ujarnya lagi.

Selain melawat rumah sanak-saudara, Ayu bersama keluarganya juga akan mencuri masa untuk bercuti bersama. Jika pada kebiasaan mereka akan melawat Pulau Langkawi, tahun ini, Pulau Pinang menjadi pilihan mereka.

Lebih suka menempah kuih raya, Ayu juga bukan seorang yang suka memasak. Namun, dia suka membantu keluarganya mengemas di dapur. Selain laksa Kedah, keluarganya juga menggemari ketupat palas yang menjadi menu wajib setiap kali raya.

Memberitahu sambutan hari raya merupakan permulaan kepada tahun baru serta 'hidup' baru, Ayu pada setiap raya akan teringat arwah ayahnya yang meninggal dunia ketika dia berusia lima tahun.

“Sudah 20 tahun saya tidak beraya bersama ayah. Jadi pada setiap hari raya, saya akan terkenangkan dia. Alangkah bagus kalau dia ada bersama kami semasa raya,” katanya yang merupakan duta minuman Sinari Collegen.

No comments: