Follow Us @asrialigur

08 September 2010

Asam garam Senario

MENJADI filem ke-10 kumpulan Senario, produk terbaru itu bagaimanapun hanya menampilkan dua orang ahlinya, Lan Pet Pet serta Azlee Jaafar. Diberi judul Senario Asam Garam, filem yang bakal mengisi ruang pawagam hari raya nanti itu tidak melibatkan seorang lagi ahlinya, Wahid.

Tiada unsur sabotaj tetapi filem yang diarahkan oleh Profesor Hatta Azad Khan itu terpaksa berjalan tanpa pelawak tersebut kerana Wahid sudah mempunyai komitmen kerja lain.

“Sebelum ini, Wahid ada datang untuk berlatih sama. Namun, percanggahan jadual berlaku apabila filem ini terpaksa dirakamkan lebih awal.

“Jadi disebabkan itu, Wahid tidak dapat menyertai filem ini. Maka, skripnya perlu ditulis semula dan banyak perkara yang perlu diubah. Wataknya juga diganti oleh Zaibo,” ujar Hatta ketika ditemui pada majlis tayangan filem tersebut.

Sebagai pengarah yang terkenal dengan produk serius, mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa Hatta ingin mengarahkan sebuah karya komedi. Selain kerana sudah lama ingin mengarahkan filem komedi, Hatta juga mahu cuba melahirkan sebuah komedi yang mempunyai jalan cerita. Itu tujuannya.

Akui Hatta, perubahan yang dilakukannya ke atas Senario merupakan satu risiko tetapi dia sanggup menerima sebarang kritikan. Namun, berbekalkan jumlah peminat yang sedia ada, dia yakin Senario Asam Garam akan menarik audiens baru.

“Orang sudah kenal jenama Senario. Jadi saya tidak boleh buang perwatakan Senario itu 100 peratus. Apa yang saya lakukan adalah membaiki formulanya serta memasukkan jalan cerita. Selain daripada itu, saya juga memberikan mereka berlakon dengan watak dan bukannya sebagai ahli Senario. Ini membuatkan Lan dan Azlee begitu teruja,” katanya lagi.

Senario Asam Garam mengisahkan persaingan di antara Pak Adam (Azlee) dan Asam (Zaibo). Mereka merupakan musuh dalam perniagaan serta cinta. Pak Adam mempunyai pembantu, Tam (Sathiya) dan pembantu Asam pula bernama Garam (Lan).

Tam mempunyai masalah di bahagian mata dan Asam pula bertukar perwatakan selepas bersin. Pak Adam dan Asam kini bersaing untuk memenangi hati Hawa (Julia Hana) yang mempunyai anak lelaki, Amin (Fimie Don).

Bagi Lan, dia sendiri menyukai filem itu kerana diberi ruang untuk mencuba pelbagai watak. Bukan itu sahaja, Senario kali ini juga lebih teratur walaupun ia merupakan filem komedi.

“Lakon layar filem ini lebih tertib dan saya suka apabila diberi peluang untuk mencuba pelbagai watak. Namun, kami sebagai pelakon komedi bukannya memperbodohkan diri.

“Apa yang kami lakukan adalah cuma memenuhi kehendak skrip dan dalam filem ini, anda boleh melihat kami berlakon lawak yang lebih bijak,” jelas Lan yang berharap untuk memegang watak serius suatu hari nanti.

Azlee yang terlibat dalam semua filem Senario berkata dia amat berbangga menjadi sebahagian daripada kumpulan Senario. Cuma dalam edisi terbaru itu, dia menyukai mesej yang ingin disampaikan.

“Filem ini bukannya komedi mengarut tetapi ia bermesej. Ia akan membuatkan audiens berfikir selepas menontonnya. Itu kelainan komedi ini berbanding yang lain,” ujar Azlee.



MESTI TONTON


No comments: