Follow Us @asrialigur

03 December 2010

Selebriti jurujual kek (hot)


SERAMAI 30 orang selebriti tempatan akan bergabung tenaga bagi mempromosikan kek dalam satu acara amal iaitu Kejohanan Kek Coklat yang diadakan pada esok, 4 Disember bertempat di ruang legar, Great Eastern Mall, Jalan Ampang, Selangor
Kejohanan seumpama itu adalah kali keempat yang dianjurkan, menyaksikan 15 hotel bertaraf lima bintang mengambil bahagian menyertai acara tahunan yang mula diperkenalkan pada tahun 2006 itu. Apa yang akan memeriahkan lagi acara ini adalah setiap hotel yang mengambil bahagian akan diwakili selebriti pilihan masing-masing yang bakal bertindak sebagai ‘jurujual’ kek-kek coklat yang dihasilkan daripada kepakaran dan daya kreatif chef masing-masing.

Para selebriti harus menggunakan apa jua cara promosi untuk melariskan jualan kek-kek coklat yang diwakili masing-masing.
Tujuan utama acara ini dijalankan adalah untuk mengumpul dana bagi Tabung Perlindungan Kanak-kanak.

Harga bagi sepotong kek bermula dari RM15 dan seratus peratus jualannya akan disalurkan kepada dana berkenaan.
“Di samping dapat bertemu dengan para selebriti terkenal, pengunjung dapat beramal,” ujar pengurus acara, Bill Bora.

Tambahnya: “Acara jualan ini lebih menumpukan kutipan dana untuk kanak-kanak khususnya daripada golongan miskin yang memerlukan bantuan kewangan.”
Salah sebuah hotel bertaraf lima bintang yang mengambil bahagian dalam acara amal ini ialah Crowne Plaza Kuala Lumpur. Baru-baru ini, hotel tersebut telah mengadakan satu sidang media bagi memperkenalkan selebriti yang mewakili mereka. Turut hadir ialah chef hotel tersebut iaitu Chef Khor Beng Gee.

Lima selebriti muda telah dipilih untuk menjadi ‘jurujual’ kek hotel tersebut pada ac acara tersebut iaitu Juliana Evans, Shahz Jaszle, Fizo Omar, Aeril Zafrel dan Sharnaaz Basir Ahmad.

Antara selebriti tempatan lain yang terlibat bersama hotel-hotel lain yang bakal diwakili masing-masing ialah Vanidah Imran, Rashidi Ishak, Amber Chia, Lisdawati, Fauzi Nawawi, AC Mizal, Emilia Rosnaida, Marsha, Julia Ziegler, Sharifah Amani, Diana Danielle, Eja, Fahrin Ahmad, Zamarul Hisham, Gambit dan ramai lagi.

Selain jualan kek, acara ini juga akan diserikan dengan pertandingan mengikut kategori. Hanya dua kategori yang akan dipertandingkan iaitu, kek coklat terbaik dan kek coklat paling kreatif.