Follow Us @asrialigur

01 October 2010

Sentuhan terakhir Kamarudin buat Kristal


SUDAH menjadi suratan takdir, termasuklah ajal dan maut, ditentukan oleh Allah yang maha pencipta segala umat di muka bumi.

Perkara itulah yang menjadi kejutan kepada enam ahli kumpulan Kristal, kerana salah seorang daripada empat mangsa yang mati dibunuh bersama Pengasas Produk Kecantikan Novelles Visages, Datuk Sosilawati Lawiya iaitu Kamarudin Shansudin, 44 tahun, merupakan orang yang bertanggungjawab menjaga bunyi untuk album terbaru kumpulan itu.

Menurut Razlan atau Lan selaku vokalis Kristal, mereka mendapat tahu Kamarudin sebagai salah seorang mangsa dalam pembunuhan kejam itu daripada laporan akhbar pada 31 Ogos lepas.

Katanya, pada mulanya mereka seperti tidak percaya kerana beberapa hari sebelum kejadian, mereka ada bertemu di Kings Studio untuk menyiapkan album terbaru Kristal yang akan keluar pada bulan Oktober ini.

“Kami ingat lagi dialog arwah ketika itu. Dia hanya kata, ‘sikit lagi, sikit lagi, sikit lagi,’ apabila kami bertanya lama lagikah proses album kami ini nak siap.

“Mengenali arwah, dia merupakan seorang yang sangat teliti. Masa bulan puasa yang lalu, dia ada datang ke studio selepas solat tarawih dan menyiapkan kerjanya untuk album baru kami. Kami pun pelik juga sebab sebelum ini arwah jarang berbuat demikian,” cerita Lan ketika ditemui sebelum sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.

Tambahnya, arwah yang merupakan jurutera muzik di Kings Studio sangat baik dan seorang yang tidak pernah menyakiti hati sesiapa sepanjang mereka bekerja sama.

Jelas vokalis kumpulan yang cukup popular dengan lagu berjudul Seragam Hitam itu, album baru Kristal dijangka mempunyai 10 buah lagu termasuk lima lagu baru.

“Buat masa ini 80 peratus daripada keseluruhan album itu sudah siap. Album kali ini akan mengekalkan konsep lama tetapi kami memilih untuk membawakannya dengan identiti yang lebih segar.

“Antara lagu yang akan dimuatkan dalam album itu ialah Satu Untukmu dan Kasih,” katanya yang hadir bersama lima anggota Kristal yang lain.

Kata Lan lagi, Kristal kini dianggotai oleh enam orang ahli yang terdiri daripada Rody, Acap, Afiez, Amai, Gg dan dirinya. Kemasukan Afiez, Amai dan Gg adalah untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Joe dan Ezal.

“Afiez (keyboard), Amai (bass) dan Gg (gitar kedua) adalah muka baru ahli Kristal. Kristal juga ada kala dikenali sebagai Geng Kristal dalam sesebuah persembahan kerana disertai oleh beberapa anggota jemputan. Inilah ahli baru Kristal,” kata Lan.

No comments: