Follow Us @asrialigur

25 October 2010

Jangan pandang serong - Alyah


KINI dia sudah boleh tersenyum puas. Namanya sudah semakin dikenali ramai dan sering meniti di bibir peminat. Hasil usaha kerasnya telah menampakkan hasil dan keputusan untuk tidak meneruskan hasratnya untuk meninggalkan bidang nyanyian beberapa tahun lalu ternyata satu pilihan yang tepat.

Alyah yang popular dengan lagu Tak Mungkin Kerna Sayang mengakui bukan senang untuk mencapai tahap seperti yang digapainya pada hari ini. Biarpun sudah menyanyi sejak 10 tahun yang lalu, namun masih ramai yang tidak mengenali dirinya sebagai seorang artis.

Pernah menjuarai program Bintang Hiburan Minggu Ini (HMI) pada tahun 2000 dan melahirkan album selepas itu sehinggalah menyertai program realiti TV, One In A Million, namun namanya masih tidak mampu melekat di hati peminat.

"Bayangkan perjalanan karier saya cukup panjang iaitu hampir 10 tahun lamanya tetapi masih lagi tidak dikenali, sudah tentu saya kecewa. Pelbagai cara telah saya lakukan, namun tidak menampakkan hasil hingga menyebabkan saya pernah terfikir untuk terus berhenti menyanyi sahaja.

"Sehinggalah saya telah dinasihatkan oleh penyanyi, Nora, dan suaminya Johan Nawawi supaya terus bertahan. Kata mereka, saya memang memiliki bakat dan ada potensi untuk pergi lebih jauh lagi. Cuma masa dan keadaan sahaja yang menentukan dan mereka meminta agar saya bersabar," ujar Alyah atau nama sebenarnya Nor Hasliah Abu Hassan.

Atas nasihat yang telah diberikan, ujar Alyah, dia amat berterima kasih kepada pasangan suami isteri itu dan nasihat tersebut tidak akan dilupakan sehingga bila-bila. Tidak dilupakan juga sekalung penghargaan yang ditujukan kepada ahli keluarganya yang banyak mendoakan kejayaannya selama ini.

Menurutnya lagi, tahun 2009 adalah tahun yang mula memberi sinar apabila namanya mula meniti di bibir peminat. Dia tidak menafikan lagu Tak Mungkin Kerna Sayang hasil ciptaan Ajai dan lirik oleh Habsah Hassan itu telah mengubah landskap kariernya sebagai penyanyi dan terus bertapak kukuh sehingga sekarang.

Bagaimanapun, memandangkan kini dia semakin dikenali dalam industri muzik tanah air, tidak dinafikan Alyah juga turut berhadapan dengan beberapa kontroversi yang dilihat boleh menjejaskan reputasinya. Daripada kritikan terhadap penampilannya sehinggalah permasalahan dengan beberapa individu yang turut menjadi tumpuan peminat.

Antaranya, tindakan pihak-pihak tertentu yang mengkritik mengenai penampilannya sekarang ini dan menganggapnya sebagai mangsa fesyen apabila tampil dengan pakaian yang agak pelik ketika menghadiri beberapa acara atau semasa membuat persembahan.

"Memang saya ada membaca pelbagai kritikan yang disiarkan di dalam blog atau forum terutamanya mengenai imej yang saya tampilkan. Malah, ada juga yang menuduh saya cuba untuk meniru gaya fesyen artis-artis Barat.

"Pada mulanya memang agak terasa juga, tetapi lama-kelamaan saya sudah lali dengan kritikan yang dilemparkan itu. Biarpun ada yang mengutuk, namun apa yang lebih penting adalah ramai juga peminat yang suka dan dapat menerima perubahan saya ini," ujarnya.

Tutur Alyah lagi, tindakannya yang tampil dengan gaya pelik adalah semata-mata untuk mencari kelainan dan mencipta identiti tersendiri. Menurutnya, dia seorang individu yang suka mencuba sesuatu yang baru dan berbeza daripada yang lain termasuklah dari segi fesyen.

Tambahnya lagi, sebagai seorang penyanyi adakalanya kelainan itu juga penting dan turut memainkan peranan untuk seseorang itu lebih dikenali bukan kerana nyanyian sahaja, malah dengan gaya penampilan diri yang ditonjolkan.

Kontrak tamat

Selain tampil dengan gaya yang tersendiri, pastinya ramai yang telah mengetahui beberapa kisah kontroversi yang dialami penyanyi yang berasal dari Gelang Patah, Johor itu.

Antaranya, perbalahan yang berlaku di antara dia dengan Riz AF6 berhubung lagu Ku Pinjam Satu Bintang yang dinyanyikan secara duet oleh kedua-dua penyanyi berkenaan. Difahamkan, Alyah tidak berpuas hati dengan tindakan Riz yang mengambil lagu tersebut untuk dinyanyikan semula secara solo.

Begitu juga dengan kisah dirinya yang telah difitnah oleh seorang jurusolek melalui laman sosial Facebook pada awal tahun ini. Dia dikatakan menjual diri serta mempunyai anak hasil hubungan sulit dengan seseorang yang tidak diketahui sehingga terpaksa membuat laporan polis.

Kini, yang terbaru adalah tindakannya menamatkan perkhidmatan Sam Kassim sebagai pengurus secara tiba-tiba yang menimbulkan persoalan ramai pihak. Ada juga desas-desus yang mengatakan Alyah seorang penyanyi yang tidak berdisiplin sehingga pengurus tersebut tidak mahu lagi bekerjasama dengannya.

"Seboleh-bolehnya saya tidak mahu ramai pihak yang salah sangka dengan perkara tersebut. Sebenarnya tidak timbul persoalan mengenai kami berdua bergaduh ataupun saya dikatakan penyanyi yang tidak berdisiplin.

"Saya ingin menegaskan bahawa kontrak Sam menjadi pengurus kini sudahpun tamat. Ketika hendak mengambilnya menjadi pengurus dahulu, memang saya menawarkan kontrak perjanjian selama tiga bulan sahaja," ujarnya.

Pada masa yang sama, Alyah memberitahu dia berpuas hati dengan hasil kerja yang dilakukan oleh Sam. Namun kontrak pengurus tersebut tidak terus disambung kerana dia sendiri tidak mampu untuk membayar gaji pengurus.

Tambah Alyah, memandangkan dia tidak bernaung dengan mana-mana syarikat rakaman ketika ini menyebabkan dia terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk mengembangkan lagi kariernya dan ia sudah tentu melibatkan kos yang besar.

"Memang tiada langsung masalah antara saya dan Sam Kassim dan tidak benar jika ada yang kata kami berdua bergaduh. Walaupun tidak lagi menjadi pengurus, namun sesekali dia juga ada memberi peluang show kepada saya," ujarnya.


No comments: