Follow Us @asrialigur

02 October 2010

Debaran Ramlah Ram


UMUM mengetahui penyanyi Ramlah Ram sudah bercerai dengan Penerbit Sukan RTM, Kamal Roslim sejak Julai lalu. Meraikan sambutan raya kali ini tanpa bekas suaminya, Ramlah bagaimanapun tidak banyak merasakan perbezaannya.

Beraya di rumah ibunya yang terletak di Muar, Johor, Ramlah memberitahu, satu-satunya perbezaan raya tahun ini adalah dia tidak pulang ke rumah bekas mertuanya. “Tahun ini saya beraya sepenuhnya di rumah ibu. Perceraian itu tidak membuatkan sambutan raya saya kurang meriah.

“Apa yang berlainan cuma saya tidak pulang ke rumah mertua. Nasib baik keluarga saya juga sudah mengetahui dan mereka memahami situasi saya. Jadi tidak ramai yang bertanya mengenainya,” kata Ramlah ketika ditemui di studio Utusan, baru-baru ini.

Mahu memberi fokus kepada kariernya, Ramlah yang popular menerusi lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu kini sedang bersedia untuk Malam Gala 25 Tahun Ramlah Ram yang bakal berlangsung pada 9 Oktober di Hotel Impiana KLCC, Kuala Lumpur.

“Setakat ini lebih 50 peratus meja sudah habis dijual. Atas permintaan ramai di laman sosial Facebook, kami juga membuka ruangan baru yang mana peminat hanya membayar RM50 untuk berhibur tanpa menjamu selera. Cuma ruangan itu hanya akan memuatkan lebih kurang 70 peminat,” tambah Ramlah.

Persembahan itu juga hanya menjual 26 buah meja dengan harga di

antara RM200, RM300, RM500 dan RM700. Dianjurkan oleh kelab peminatnya, Ramlah Ram Group (RRG), persembahan kali ini dikirakan antara majlis terbesar dalam sejarah pembabitannya sebagai penyanyi.

Memandangkan tarikh persembahan semakin dekat, Ramlah mula membuat persediaan lebih terutama dari segi stamina. “Sekarang musim batuk dan demam. Jadi saya kena jaga dari segi pemakanan kerana ada kalanya tekak saya tidak sihat.

“Selebihnya saya hanya akan berlatih dengan band seminggu sebelum persembahan. Band saya telah berlatih selama tiga bulan. Latihan perlu dibuat rapi kerana ini merupakan persembahan paling penting saya dengan peminat.

“Lagipun saya tidak pernah menyanyi begitu banyak lagu dalam satu malam. Memang saya rasa berdebar dan risau. Tapi memikirkan saat menghiburkan peminat itu memberikan saya semangat,” ujarnya lagi.

Bakal menjemput mereka yang pernah membantu dalam kariernya, Ramlah sudah memilih seleksi lagu yang ingin disampaikan malam tersebut. Ada juga di antara lagu yang dipilih merupakan permintaan peminat di laman sosial Facebook.

“Selain daripada permintaan peminat, saya juga akan menyampaikan lagu daripada album pertama serta beberapa lagu semasa awal penglibatan saya dalam industri. Menariknya, lagu-lagu lama itu akan diberi gubahan baru dan lebih segar,” katanya yang akan menyampaikan lebih 25 buah lagu.

No comments: