Follow Us @asrialigur

06 September 2010

Zul raya tanpa isteri


HUBUNGAN setiap pasangan suami isteri pasti ada pasang surutnya. Begitu juga dengan pelakon popular, Zul Huzaimy Marzuki dan isterinya, Nor Dalilah Muhammad apabila rumah tangga mereka juga melalui gelombang yang hampir membuat istana cinta mereka roboh.

Pada bulan Mac lalu, Zul berdepan dengan dugaan bersama isterinya, yang senang dipanggil Dila. Isu bermula dan menjadi meleret apabila Zul dikatakan ‘tersangkut’ dengan hubungan cinta siber.

Bagaimanapun kemelut tersebut tidak berpanjangan. ‘Cinta’ yang baru dijalin Zul dengan orang baru itu tidak mampu membuatkan ikrar rumah tangganya dan Dila goyah. Perlahan-lahan badai itu berlalu.

Alhamdulillah, Zul dan Dila mampu mengharungi ujian Allah S.W.T. Malah hubungan mereka kini dilihat lebih akrab berbanding sebelum ini dan sering berbalas mesej cinta dalam akaun laman sosial Facebook masing-masing.

Apatah lagi hubungan Zul dan isterinya begitu mesra ibarat pasangan kekasih yang baru mula bercinta ketika sesi fotografi khas raya yang diadakan di Hotel Pullman, Putrajaya Lakeside bersama anak kesayangan mereka, Awal Haziq baru-baru ini.

Lamaran Kosmo! untuk merakamkan aksi mereka sekeluarga selepas dilanda badai tidak ditolak pelakon hebat itu. Dan pada hari yang dijanjikan, Zul hadir bersama isteri serta anaknya, bersedia untuk dipotretkan khusus buat tatapan peminatnya.

Bertanya mengenai Aidilfitri yang pastinya membawa makna yang besar, setelah melalui onak besar sebelum ini, Zul enggan menceritakan masalah lama itu. Baginya, dugaan lalu, biarlah ia dibuang daripada kotak fikirannya.

Sebaliknya dia lebih senang bercakap tentang pengalaman raya zaman dulu. Mengimbas kembali kenangan Aidilfitri ketika zaman kanak-kanak, semestinya ia meninggalkan memori yang indah.

Dia mengakui, sambutan raya dulu dan sekarang sudah jauh berbeza. Apabila usia semakin meningkat, perasaan berkobar-kobar menantikan lebaran semakin berkurangan dan rasanya, perasaan itu pasti dilalui oleh sesiapa sahaja.

Bagi Zul, semua ini disebabkan kecanggihan teknologi di zaman serba moden ini.

Jujurnya, Zul merasakan raya sudah lama hilang dan ia tidak berlaku kepada orang dewasa sahaja, tetapi juga anak-anak yang sedang membesar.

“Dulu lain, sekarang lain. Di zaman moden ini, bila-bila masa saja kita boleh balik kampung, walaupun dari utara ke selatan.

“Ini disebabkan kemudahan awam yang kita miliki sekarang. Berbanding dengan zaman dahulu, kemudahan tidak ada dan tiada lebuh raya, yang menyebabkan perjalanan yang hanya mengambil masa dua hingga tiga jam, menjadi seharian.

“Dan ini sekali gus membuatkan orang yang merantau jarang balik kampung dan Aidilfitri adalah masa yang paling dinanti-nantikan. Sebab itu, orang akan balik kampung seminggu sebelum raya. Sekarang ini, nak balik malam raya pun sempat lagi.

“Meriah memang meriah. Cuma perasaan tak sabar nak beraya semakin berkurangan,” tuturnya yang baru sahaja selesai penggambaran telefilem Bunga Merah Punya, arahannya sendiri.

Dalam pada itu, kata Zul, kemeriahan beraya juga berkurangan apabila tidak ramai saudara-mara yang dapat berkumpul sekali memandangkan masing-masing mempunyai keluarga di pihak lain masing-masing.

Zul sendiri kali terakhir berkumpul dengan saudara-maranya ialah pada tahun 1997 sewaktu neneknya masih hidup waktu itu.

“Semasa arwah nenek masih hidup dia akan memastikan semua saudara-maranya termasuklah cucu dan cicitnya akan berkumpul.

“Memang ketika itu rasa seronok sangat. Maklum, bila dah ramai, macam-macam perkara yang berlaku. Tapi semua itu tinggal kenangan dan selepas arwah nenek meninggal, tidak ada siapa yang berani mengumpulkan kesemua sanak saudara,” ungkapnya yang bagaimanapun berkata mereka akan berkumpul pada majlis perkahwinan saudara-mara.

Tak pernah tukar perabot

Mengajak Zul bercerita tentang persiapan sambutan Aidilfitri tahun ini, pelakon ini memberitahu, persiapan dan sambutan yang bakal dilakukan kelak, tidak banyak berbeza seperti tahun-tahun sebelum ini.

Ia diraikan secara sederhana dan paling penting kata Zul adalah umat Islam harus menunaikan perkara yang wajib, bukannya mementingkan hal yang remeh.

“Memang setiap tahun kami bersederhana di Aidilfitri. Jujur saya katakan, kami belum pernah lagi menukar perabot, langsir atau barang-barang rumah lain semata-mata kerana raya.

“Kami melakukan perkara yang wajib seperti membeli baju baru, sembahyang Raya dan berkumpul bersama keluarga. Kuih-muih pun kami tidak buat secara berlebihan,” katanya jujur.

Tambah Zul lagi: “Bagi saya, apa yang menarik tentang raya ialah waktu inilah seluruh umat Islam di dunia meminta ampun terhadap satu sama lain dan saya percaya perkara saling bermaafan itu jarang dipraktikkan pada hari-hari biasa.

“Justeru itu (meminta maaf) yang lebih kami tekankan dalam sambutan ini berbanding sibuk menukar perabot atau hal-hal remeh lain.”

No comments: