15 September 2010

stacy Puas dapat cuti panjang

STACY gembira dapat melepaskan rindu kepada keluarga sepanjang cuti Aidilfitri.

Rai Syawal bersama rakan beragama Islam

BINTANG gadis bernama Stacy di arena seni suara cukup menyinar. Berbanding rakan seperjuangan lain, dia masih mempertahankan popularitinya biarpun ramai pelapis baru datang dan pergi.

Pemilik nama Stracie Angie Anam itu juga bukan sekadar laris di pentas persembahan malah setiap lagunya sentiasa memancing perhatian hingga syarikat yang dinaungi tidak berkira melabur sejumlah kos bagi pembikinan album baru setiap tahun.

Namun ada harga yang perlu dibayar untuk menyemarakkan lagi kerjaya seninya yang baru bermula. Gara-gara kesibukan, Stacy terpaksa mengorbankan kuliahnya di Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing untuk satu semester hingga April depan.

“Saya tidak ralat, jauh sekali menyesal. Bukan disebabkan saya terkejar-kejar dengan populariti sebaliknya ada tugas yang perlu diselesaikan hingga saya terpaksa bercuti satu semester. Itu pun selepas mendapatkan pandangan pensyarah, keluarga dan pengurusan.

“Bercuti daripada belajar tidak bermakna saya langsung lepas tangan sebaliknya masih menghubungi rakan pengajian bertanyakan perkembangan tambahan pula saya sudah mula rindu untuk ke kelas,” katanya yang mengambil jurusan Bunyi dan Muzik.

Walaupun baru menyelesaikan semester pertama pengajian di IPT di Cyberjaya itu, Stacy tidak mampu melupakan keramahan rakan sekuliah yang kebanyakannya pelajar luar negara termasuk Nigeria, malahan seorang bintang AF, Sahri turut berada satu kuliah dengannya.
Ceritanya dengan ramah, awalnya mereka tidak mengetahui dirinya seorang penyanyi namun selepas seorang rakan lain memaklumkan berita mengenai Stacy di majalah, mereka sering mengusiknya dengan memaksanya menyanyi di depan kelas.

“Semua rakan dan pensyarah memberi dorongan apabila mengetahui latar belakang saya. Saya harap segala kerja berkaitan kerjaya seni saya dapat diselesaikan tahun ini kerana saya sudah tidak sabar untuk ke kuliah semula dan dijangka pengajian semester kedua bermula awal tahun depan,” katanya yang mengambil pengajian di peringkat diploma itu.

Tampak manis mengenakan baju kurung, akui penyanyi lagu Jahat itu, dia akhirnya turut berpeluang mengambil kesempatan di atas cuti pengajian itu dengan berehat di kampung halamannya di Sabah hingga dua minggu dengan pulang sejak awal puasa.

Katanya yang gembira dapat melepas rindu kepada keluarga, walaupun kerap mengadakan persembahan di tanah tumpah darahnya, kebiasaannya hanya untuk dua tiga hari malah masa berkualiti lebih kepada persembahan bukan bersama saudara atau kenalan.

“Memang puas meronda satu kampung kali ini. Dapatlah saya berjumpa kawan lama dan berkunjung ke rumah saudara mara. Sebelum ini kalau balik tak sempat ke mana-mana. Habis saja persembahan, terus pulang ke rumah dan keesokan harinya balik semula ke Kuala Lumpur.

“Masa bercuti pun saya sempat mempertajamkan skil tarian dengan mengunjungi pusat tarian milik seorang rakan. Memang seronok percutian kali ini. Walau hanya pulang ke kampung, ia seakan menyuntik tenaga untuk saya lebih giat bekerja selepas ini,” katanya sudah kembali bekerja disebabkan komitmen terhadap program hari raya.

Menyentuh mengenai ketibaan Syawal, Stacy mengakui teruja untuk mengunjungi kediaman rakan beragama Islam yang sememangnya sudah sedari awal mengajaknya berhari raya dengan mereka.

Bukan itu saja, dia juga tidak sabar untuk menjamah juadah istimewa hari raya terutama ketupat dan rendang.

Gadis berusia 20 tahun itu sendiri memaklumkan sudah menyediakan beberapa pasang baju kurung untuk digayakan tatkala menziarahi kediaman teman selain sebagai persiapan untuk beberapa undangan rumah terbuka serta program televisyen.

“Nampaknya undangan menjayakan rancangan televisyen sempena Syawal banyak saya terima. Seronok dapat berkumpul ramai-ramai dengan penyanyi lain terutama orang lama. Walaupun tidak menyambut hari raya, saya gembira dapat berkongsi kemeriahan.

“Pada hari raya nanti peminat boleh mengikuti rancangan Akustika Raya gandingan antara saya dan Shila (One In A Million) selain beberapa program lain termasuk siaran langsung MHI pada pagi 1 Syawal. Malah saya turut menjayakan album hari raya bersama barisan penyampai HotFM berjudul Hangatnya Raya,” ceritanya lagi penuh ceria.

Ditanya kemungkinan sudah sedia beraksi di layar perak, katanya cukuplah sketsa Raya bersama Mawi yang diterbitkan Mawi World Entertainment serta muncul ‘cameo’ dalam sebuah muzikal Jakarta kerana kecenderungannya hanya terarah kepada nyanyian.

Hambatan masa selain lenggok bahasa Melayunya yang masih berbunyi Sabah membuatkan gadis Kadazan itu mahu berfikir dua kali sebelum menerima sebarang tawaran lakonan walaupun sekadar watak kecil kerana menyedari setalat mana kemampuan diri.

http://asrirayrock.blogspot.com

No comments :