Follow Us @asrialigur

14 September 2010

Sheila kecewa tapi akur


KONSERT Datuk Sheila Majid yang sepatutnya berlangsung di Pusat Konvensyen Jakarta (JCC) Senayan pada 23 September ini terpaksa ditunda pada tarikh baru iaitu 15 Februari 2011 kerana masalah dua negara, Malaysia dan Indonesia.

Ia gara-gara demonstrasi anti-Malaysia di Jakarta dengan kemuncaknya apabila penunjuk perasaan melontar najis manusia serta membakar Jalur Gemilang di hadapan Kedutaan Malaysia di sana.


Penundaan tarikh itu diputuskan penganjur konsert itu, TIS Communication menerusi surat yang dikirim Produser Eksekutif konsert itu, Marsita Kaelani yang bertarikh 6 September 2010. Walaupun Sheila kecewa dengan berita itu namun dia terpaksa akur demi keselamatan peminat. "Saya dan yang lain semuanya sudah bersiap sedia, hanya menunggu hari berlangsung konsert itu saja. Bagaimanapun saya akui segala perancangan dan perjalanan hidup kita ditentukan Allah swt.


"Dia lebih apa yang terbaik buat hamba-Nya. Saya minta semua peminat bersabar dan kepada mereka yang sudah membeli tiket konsert itu, saya akan menanti pengumuman dari penganjur sama ada ia boleh dipulangkan wangnya atau disimpan untuk konsert tahun depan. "Kepada peminat di sini mereka boleh mengubat kekecewaan itu dengan menonton showcase saya di pusat beli belah Pavilion, Kuala Lumpur, pada raya ketiga. Mereka juga boleh datang menyaksikan konsert saya di DFP (Dewan Filharmonik Petronas) pada 2 dan 3 Oktober ini yang bakal diiringi Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO)," katanya.


Dua lagi konsert Sheila yang bakal menyusul di Esplanade, Singapura dan Perth, Australia. Tambah Sheila, penganjur memberi jaminan atas keselamatannya dan seluruh ahli rombongannya namun mereka tidak dapat menjamin keselamatan peminat dan semua tempat yang bakal dilawatinya termasuk di JCC. "Dalam surat itu mereka beritahu kebimbangan paling utama adalah pada hari konsert itu akan diadakan. Mereka risau jika kumpulan anti-Malaysia itu akan mengadakan demonstrasi untuk menghalang konsert itu dari berlangsung atau mungkin konsert itu akan diboikot. "Seperti mana penganjur saya juga mahu peminat saya di Indonesia dan yang datang dari Malaysia selamat. Apa yang berlaku di luar kawalan saya dan juga penganjur," katanya.


Menurut Marsita, situasi di sana tidak selamat di mana setiap hari semua program televisyen dan di akhbar memaparkan konflik antara dua negara. Katanya, sejak tanggal 23 Ogos juga, diadakan demonstrasi besar-besaran di Kedutaan Malaysia dan kumpulan gerakan itu sudah mengeluarkan kenyataan akan mengambil tindakan terhadap warga Malaysia yang berada di Indonesia.


No comments: