Follow Us @asrialigur

28 September 2010

Kematangan Zaquan yakinkan Ayu

TARIKH 10 Oktober 2010 sepatutnya menjadi hari bahagia kepada aktres jelita, Ayu Raudhah bersama kekasih hatinya, Mohd. Zaquan Adha Abdul Razak. Dikhabarkan akan bertunang pada hari tersebut, penyebaran berita itu bagaimanapun dinafikan oleh tuan punya badan.

Penafian itu bukan membawa maksud sesuatu buruk telah terjadi pada hubungan mereka. Cuma buat masa ini, pasangan itu terutama Zaquan tidak mempunyai masa secukupnya untuk meneruskan perancangan mereka.

Sungguhpun rancangan pertunangan itu perlu ditunda, Ayu yang ditemui pada sesi fotografi bersama Kosmo! tampak gembira. Mengukir senyuman, Ayu mengaku dirinya amat bahagia di samping pemain bola sepak kebangsaan itu.

“Pada mulanya kami memang berbincang dengan keluarga masing-masing untuk menjalankan majlis pertunangan pada bulan Oktober ini. Namun, disebabkan jadual yang sibuk, kami membatalkan niat itu. Mungkin dari situ ada khabar angin yang tersebar bahawa kami akan bertunang pada tarikh tersebut,” ujar Ayu.

Tidak mahu mendesak, Ayu mahu menggunakan masa secukupnya untuk membuat perancangan. Dia tidak mahu majlis yang berlangsung secara kelam-kabut dan ingin menunggu masa lapang Zaquan supaya semuanya dapat berjalan lancar serta dalam keadaan relaks.

Baru-baru ini, keluarga kedua-dua pihak bagaimanapun sudah mengesahkan bahawa pasangan itu akan bernikah pada bulan Januari depan.

“Kami kedua-dua pihak keluarga memang merestui hubungan mereka. Jika ada jodoh, majlis pernikahan akan berlangsung awal tahun depan.

“Cuma setakat ini belum ada tarikh muktamad tetapi akan ditetapkan dalam masa terdekat,” ujar bapa Zaquan, Abd. Radzak Salleh, 61, kepada media baru-baru ini.

Berkenalan selama setahun, Zaquan menurut Ayu sebenarnya mahu bernikah terus. Ini semua disebabkan faktor masa. “Memang dalam adat kita akan merisik, bertunang dan kemudian bernikah. Tapi kalau bernikah terus juga tidak ada salahnya.

“Itu pandangan Zaquan kerana dia tidak mempunyai masa untuk melakukannya secara berperingkat. Jadi kami juga mungkin akan terus bernikah sahaja,” tambah Ayu yang beraya di Alor Setar, Kedah bersama keluarganya.

Mula meminati Zaquan selepas melihat papan iklan di tepi jalan raya, Ayu sebelum itu pernah menyaksikan perlawanan kekasihnya di Stadium Bukit Jalil bersama kakaknya sebagai seorang peminat.

Namun, mereka hanya berkenalan selepas kawan Ayu yang juga merupakan pemain bola memperkenalkan Zaquan. Akui dirinya amat cemas pada pertemuan pertama, Zaquan bagaimanapun menjadi pihak yang mula menghantar SMS.

“Kami hanya berhubungan menerusi telefon selepas pertemuan itu. Macam kawan biasa. Apabila Zaquan mengajak saya berkawan secara serius, saya sendiri tidak pasti. Tapi tidak sangka hubungan kami boleh sampai tahap ini dan sejujurnya saya amat bahagia,” senyum Ayu yang baru sahaja menghabiskan rakaman drama Nujum Siber.

Dilamar tiga bulan lalu, Zaquan sebenarnya sudah berbicara mengenai pertunangan tersebut sejak tahun lalu lagi. Namun, lamaran itu hanya berlaku menerusi satu panggilan telefon. Walaupun begitu, sifat dan perwatakan Zaquan telah membuatkan Ayu bersetuju dengan lamarannya.

“Dia seorang yang romantik dan ramah. Malah dia seorang yang berbudi bahasa terutama di hadapan orang tua. Disebabkan itulah ibu saya amat menyukai dia. Mungkin bagi orang yang tidak mengenali dia, wajahnya kelihatan sombong. Tapi sebenarnya dia seorang yang sopan,” tambahnya lagi.

Berumur 26 tahun, Ayu seperti yang diketahui umum lebih tua daripada Zaquan, 23. Ditambah dengan populariti Zaquan, tidakkah Ayu risau kekasihnya itu akan didampingi ramai wanita lain?

“Tidak susah dan senang sebenarnya untuk ‘mengawal’ dia. Tapi apa yang penting adalah kepercayaan. Saya amat mempercayai dia dan kalau tidak ada kepercayaan itu, kita sendiri yang susah. Kematangan Zaquan juga mengukuhkan lagi hubungan kami.”

Menyimpan hasrat untuk berkahwin pada usia 21 tahun sejak kecil lagi, harapan Ayu itu tidak kesampaian. Ini kerana Ayu bukan seorang wanita yang mementingkan karier tetapi suka memiliki keluarga sendiri.

Selain daripada mahu membina keluarga sendiri, Ayu juga berharap majlis perkahwinannya berlangsung secara kecil-kecilan dengan dihadiri hanya keluarga, sanak saudara dan kenalan rapat.

“Dari dulu lagi memang saya sukakan majlis peribadi di pulau. Tapi kalau keluarga Zaquan hendakkan majlis secara besar-besaran, saya tidak kisah. Cuma di pihak saya, saya memang mahu majlis kecil,” tambah Ayu yang sudah menerima banyak tawaran penajaan untuk majlis pertunangannya.

No comments: