Follow Us @asrialigur

27 September 2010

Eja jadi nelayan


PERNAH terdetik di hati aktres dan pengacara jelita, Siti Sharizah Saifuddin atau lebih dikenali sebagai Eja mahu berehat panjang daripada lapangan seni selepas bergelar ibu kepada bayi comel, Nur Eishal yang dilahirkan pada 3 September tahun lalu.

Katanya, kalau boleh dia mahu berehat selama dua hingga tiga tahun untuk memberi fokus dan melihat puterinya itu membesar di depan matanya sendiri. Namun, hajat di hatinya itu ditewaskan dengan perasaan rindunya berada di set penggambaran.

Hanya selepas berehat selamat satu tahun setengah, kelibat wanita berusia 38 tahun itu mula mewarnai kaca televisyen dengan seleksi drama yang hebat antaranya Ramadan, Ya, Puan, Hijal Dikalbu dan terbaru Ahmad Durrah yang kini sedang hangat ditayangkan di TV3 di dalam slot Zehra.

“Memang saya ingat nak berehat panjang sebab nak besarkan anak dengan air tangan sendiri tetapi tak tahulah, hati saya rindu sangat nak berlakon balik. Lama-lama duduk di rumah pun tidak boleh juga sebab saya sudah biasa bekerja sejak umur 19 tahun lagi,” ujarnya yang ditemui pada majlis rumah terbuka penerbit Global Station, Datin Zaiton Mohd. Jiwa baru-baru ini.

Akuinya lagi, sebaik sahaja dia habis berpantang banyak tawaran yang datang kepadanya. Bagaimanapun ketika itu semua tawaran terpaksa ditolak memandang anaknya masih menyusu badan.

“Macam mana saya nak bekerja dengan anak masih menyusu badan, jadi masa itu semua tawaran saya tolak sebab bagi saya anak saya lebih penting sampai ada ketika saya buat keputusan ingin jadi suri rumah sepenuh masa.

“Semuanya kerana anak, saya buat keputusan untuk jadi ibu pun ambil masa yang cukup lama jadi bila dapat anak sudah tentu saya ingin curahkan segala perhatian kepadanya. Sepanjang tempoh itu saya berehat dan sampai satu tahap saya pula yang tidak tahan sebab asyik duduk rumah sahaja,” katanya.

Keputusan untuk kembali bekerja tiga bulan yang lalu direstui oleh suaminya, Mohd. Silahuddin Jamaluddin, 41 tahun. Bagaimanapun Eja meletakkan syarat yang wajib dipatuhi oleh penerbit jika mahu menggunakan khidmatnya dalam karya mereka.

Ulasnya, kehidupannya sebelum menjadi ibu dengan selepas menjadi ibu cukup berbeza. Dia tidak lagi boleh bekerja di luar kawasan dalam tempoh yang lama, juga tidak boleh bekerja sehingga lewat pagi dan jika boleh mahu menggelak untuk bekerja pada hujung minggu.

“Kalau nak tahu semua rakan pelakon yang sudah mempunyai anak meletakkan syarat yang sama. Kalau tidak cakap pun, penerbit dan pengarah sedia maklum dengan status pelakon yang bergelar ibu,” ucapnya.

Berpisah

Luahnya lagi, sebelum ini dia seorang yang memilih dan agak cerewat tentang kerya yang ditawarkan kepadanya dan kini dia bertambah cerewat bukan sahaja mengenai karya tetapi juga watak.

Selepas menjadi ibu, automatik dirinya menjadi seorang yang lebih berani. Jika dulu banyak tawaran ditolak kerana tidak punyai keberanian untuk membawa watak terutama yang bergenre seram, kini tidak lagi.

“Dulu saya akui saya penakut, terutama kalau dapat tawaran cerita hantu memang saya tidak buat. Sekarang saya dapat rasakan diri saya agak berbeza, lebih berani dan buat pertama kalinya saya buat cerita seram dalam drama Durja Ningsung. Saya juga bersyukur apabila saya kembali bekerja, saya dapat semua karakter yang bagus,” katanya lagi.

Eja juga sempat menceritakan pengalamannya kali pertama berpisah dengan puteri kesayangannya apabila menjalani penggambaran selama 14 hari di Pulau Pinang untuk drama Ahmad Durrah.

“Mula-mula hati saya berbelah bahagi sama ada mahu ke pergi ke Pulau Pinang atau pun tidak. Kebetulan anak saya sudah bercerai susu dan ibu saya menasihatkan kalau melekat dengan anak sahaja pun susah juga. Jadi saya pun pergi ke Pulau Pinang, kalau tidak ada ibu saya yang jaga anak memang saya tidak pergi.

“Rindu dengan anak, Tuhan saja yang tahu. Hari-hari saya buat panggilan video untuk tatap wajah dia sebab dia bukannya boleh bercakap kalau nak berbual dengan saya pun. Itulah pengalaman berpisah dengan anak yang paling lama,” tuturnya.

Nelayan wanita

Eja yang wajahnya terbakar akibat panas matahari ketika berlakon dalam drama bersiri 13 episod Ahmad Durrah terbitan Global Station Sdn. Bhd. memberitahu, drama tersebut memberi pengalaman baru buatnya.

Tidak pandai berenang dan mempunyai fobia dengan laut, Eja terpaksa mengemudikan sebuah bot seorang diri di tengah laut yang bergelora demi menjayakan watak Islah seorang ibu tunggal yang menjadi nelayan demi menanggung kehidupan dan persekolahan anaknya.

“Itu antara pengalaman yang menakutkan saya. Bayangkan saya yang tidak pandai berenang diminta duduk tengah laut seorang diri. Sampai saya menjerit minta bot kru supaya jangan berada jauh dengan saya.

“Bila kami naik ke darat, nelayan di sana terkejut kerana mereka sendiri ketika itu tidak berani turun ke laut kerana ombak tengah besar. Nasib baiklah tidak ada apa-apa berlaku, ada dalam empat hari penggambaran di laut. Itu yang muka saya terbakar dan sekarang tengah buat rawatan,” balasnya.

Sungguhpun penggambaran yang berlangsung sebelum bulan Ramadan itu agak memeritkannya, namun setelah melihat hasilnya Eja berpuas hati dengan pengorbanan yang diberikanya untuk drama tersebut.

“Saya puas sebagai seorang pelakon melakukan sesuatu yang di luar jangkauan saya sendiri. Saya rasa belum pernah pelakon wanita lain melakonkan watak nelayan seperti mana saya yang betul-betul jadi nelayan,” katanya dalam tawa.

No comments: