Follow Us @asrialigur

14 November 2010

Elyana ratah usia remaja



KURANG seminggu atau lebih tepat, tinggal lima hari lagi sebelum dia bertukar status menjadi isteri orang.
Gerbang bahagia sudah tersergam menunggu detik untuk dilangkahi.
Segala perancangan sudah hampir selesai dipenuhi, diukur dan diberi perincian tetapi selaku manusia yang tidak pernah habis daripada keraguan, sampai ke hujung waktu sekali pun, tetap ada yang bersarang mahukan jawapan.

"Bukan malam-malam sahaja, bahkan bila celik mata sekalipun, saya mula terfikirkan banyak benda.
"Benarkah apa yang sedang saya dilakukan ini, mampukah saya menjadi isteri yang baik, tepatkah pilihan saya, tepatkah berkahwin pada usia ini?
"Itu semua perkara yang tidak seharusnya saya fikir tetapi bermain juga di fikiran," letus suara daripada tubuh

berdarah manis bernama Elyana ini.

Si pelantun Tapak Sulaiman ini sengaja diselak isi sanubarinya. Sebenar juga, lihat daripada hujung ulas bibirnya sahaja, perasaan berkuntum-kuntum di dada sudah jelas terpancar tanpa perlu dia bersuara.
Namun, bukan itu yang mahu dipinta daripadanya. Di sebalik bahagia yang diramal banyak mata, Elyana tetap menyimpan gundah.

Dia juga seperti wanita-wanita lain, selagi belum tiba waktu yang dinanti-nanti, selagi itulah proses 'terapi' dan persediaan diri tidak berhenti.
"Saya tidaklah terlalu beria-ria atau drastik membuat persediaan mental dan fizikal. Saya banyak membaca, melayari Internet dan lihat perkara-perkara yang membahagiakan.
"Setahu saya, manusia mudah terdorong oleh emosi, lihat perkara sedih, kita juga akan berasa sedih. Jadi, saya cuba mencari perkara yang indah dan membahagiakan sepanjang tempoh ini.

"Ibu ialah orang paling banyak membantu, banyak menasihati saya tentang pembawaan diri menjadi isteri.
"Sejak tujuh bulan lalu, saya berpindah ke rumah ibu bapa di Shah Alam. Saya mengelak diri daripada keseorangan atau berfikir perkara yang bukan-bukan.
"Sejak beberapa bulan lalu, setiap hari adalah hari yang sibuk buat saya, sibuk dengan persiapan," katanya meminjam semangat ibu untuk menguatkan hati sebelum bergelar isteri kepada Khairul Anuar Husin, 36.
Cabang seronok

Kaki terdorong badan merasa, lidah terasuh emas padahnya, wanita semuda usia 23 tahun itu cukup pasti.
Nasib badan bergelar artis apa sahaja yang berlaku dalam hidup atau perkahwinannya kelak, baik atau buruk pasti akan perhatian masyarakat.
Lihatlah rumah tangga artis, bergoyang sedikit riuhnya mudah diketahui orang.
"Saya tidak takut untuk berkahwin semata-mata bimbang perihal rumah tangga saya akan menjadi perhatian media.

"Sebagai artis semua perkara akan mendapat perhatian. Jadi itu bukan isu yang perlu saya takutkan," katanya yang akan melangsungkan pernikahan pada Jumaat ini.
Terheret dengan usul pernikahan pada usia mentah, penyanyi serta pelakon berusia 23 tahun itu tampak jelas.
Keinginan menamatkan zaman bujang terzahir untuk melengkapkan sebuah fasa kehidupan, itu penegasan oleh pemilik nama Erneelya Elyana Emrizal.

Dia tidak terdesak mengikut trend rakan-rakan yang sudah berkahwin.
Kata Elyana, dia sendiri sudah memulakan karier seawal usia 14 tahun.
Seperti memasuki alam dewasa ketika masih kanak-kanak, faktor itu antara pendorongnya untuk pantas matang dan sedia beralih fasa seterusnya dalam hidup.

Dia juga sudah puas meratah segala keseronokan dan kebebasan sepanjang melalui usia remaja dan zaman bujang.

"Cara saya berseronok dan bergaul semasa saya remaja dan bujang mungkin tidak sama seperti yang dibayangkan orang.
"Saya berada di sekeliling orang dalam dunia seni dan kawan-kawan. Dalam umur sekarang, saya sudah ada karier, kereta, rumah serta sedikit aset masa depan.
"Berkahwin pula akan memberikan satu lagi cabang keseronokan buat saya di samping menambah bilangan ahli keluarga," katanya.
Berbunyi bernas dan serius atas setiap pegangan yang dipertuturkan, penyanyi yang diperkenalkan dengan lagu Niat dan popular menerusi sitcom Dunia Baru itu tidak merasakan satu kerugian berkahwin pada usia sekarang.

Menganggap takdir dan jodoh sudah sampai ke bahagian hidupnya, Elyana berkongsi gembira bakal menjadi pelengkap kepada Khairul.
Selepas salam perkenalan bertaut rapi pada 9 April 2006, mereka mengikat pertunangan pada 25 Julai 2009.

Menyingkap pertembungan dua jiwa itu, penyanyi yang sedang berkira-kira untuk tampil dengan single terbaru, Waktu Dulu-Dulu menjelang Disember ini membuat pengakuan.
"Kami berdua berbeza secara total. Khairul lebih matang berbanding saya, mungkin sebab itulah dia arif menangani emosi saya yang sering tidak menentu.
"Dia lebih rajin dan saya agak pemalas. Mungkin disebabkan sudah berusia, hidupnya lebih rileks, lepas kerja terus balik rumah dan saya pula jenis yang aktif.

"Jadi, saya menyumbangkan sedikit warna ke dalam hidupnya dan dia menjadikan saya seorang yang lebih rileks.
"Sikap penyayang melampau Khairul terhadap budak-budak membuatkan saya semakin menyukainya.
"Satu lagi, kami berkongsi minat yang sama. Kami suka membeli-belah terutama untuk dihadiahkan kepada orang lain.
"Jadi, untuk lokasi berbulan madu nanti, kami kena pilih tempat yang menjadi syurga beli-belah," ujarnya.

Menggunakan khidmat Saidatulnisa Aminuddin, Fahmi dan Amy Janz selaku jurusolek untuk majlis pernikahan dan persandingannya, kongsi Elyana, dia bakal mengenakan persalinan yang disediakan oleh Hatta Dolmat, Zery Zamry dan Haswani Osman.

"Persiapan perkahwinan dilakukan bersama-sama keluarga dan teman-teman, tetapi saya yang memutuskan sendiri setiap inci agenda hari besar saya," katanya.
Elyana menggunakan khidmat Arma Wedding Couture dan Ari Wedding Couture untuk melakarkan pelamin ratu seharinya bertempat di Duchess Place, Jalan Ampang, 19 dan 20 November nanti.

No comments: