Follow Us @asrialigur

08 October 2010

Saleem cuba etnik kreatif

BOLEH dikatakan sudah lama tidak kedengaran kisah mengenai Saleem yang membabitkan perjalanan seninya. Kali terakhir, bekas vokalis kumpulan Iklim itu muncul dengan sebuah album kompilasi berjudul Demi Cinta pada tahun lalu.

Namun, agak mengejutkan juga apabila Saleem tiba-tiba muncul dengan buah tangan terbaru yang diberi judul Dunia Etnik.

Ia merupakan satu kejutan memandangkan naskhah kali ini bukan sebuah album pop rock atau balada, sebaliknya ia adalah sebuah album yang berkonsepkan irama etnik kreatif. Saleem ketika ditemui memberitahu, dia sendiri tidak menafikan kelahiran album terbarunya itu memberi sedikit kejutan buat para peminatnya.

“Album ini sudah berada di pasaran sejak bulan lalu, cuma ia belum dilancarkan lagi secara rasmi buat masa ini. Tetapi sambutan serta maklum balas yang diterima daripada peminat cukup menggalakkan.

“Mungkin ramai yang tidak tahu, sebelum saya menyertai kumpulan Iklim lagi, saya pernah bergiat aktif menyanyikan lagu-lagu berirama Melayu asli semasa di Kuala Terengganu dahulu,” kata penyanyi yang bersuara serak-serak basah itu.

Pada masa yang sama, Saleem menafikan bahawa dia mahu terus menukar konsep selepas ini. Menurutnya, kelahiran album tersebut sebenarnya merupakan satu percubaan sahaja untuk mencari kelainan berbanding album-album sebelumnya di samping ingin menjadi seorang penyanyi serba boleh.

Terkenal dengan lagu-lagu seperti Suci Dalam Debu dan Juwita, Saleem mengakui menyanyikan lagu berkonsepkan etnik kreatif bukan sesuatu yang mudah. Katanya, tidak semestinya penyanyi yang sudah biasa dengan lagu balada atau pop rock dapat menyanyikan lagu-lagu irama tersebut dengan baik.

“Antara keistimewaan album ini juga adalah ini kali pertama saya dapat bekerjasama dengan S. Atan yang bertindak sebagai penerbit. Memang sudah lama saya ingin bekerjasama dengan S. Atan kerana apa yang saya tahu, dia adalah seorang yang cukup unik dan sangat serius ketika bekerja.

“Biarpun rasa berdebar ketika menantikan kelahiran album ini, akhirnya saya berasa lega dan berpuas hati setelah album ini berjaya disiapkan dalam tempoh empat bulan,” ujar Saleem yang turut ditemani isteri, Julia Bachok.

Album Dunia Etnik terbitan Universal Music memuatkan 12 buah lagu kesemuanya dengan lima daripadanya adalah lagu-lagu baru ciptaan beberapa komposer terkenal tanah air seperti Lan Laga, Eddie Hamid dan Azam Dungun.

Dua lagu baru daripada album tersebut iaitu Joget Come Lote dan Permata Sukma kini kerap disiarkan di corong-corong radio, selain lagu Ranting Angin, Zikir Jiwa dan Engkau Bernama Kekasih.

Sementara itu, lain-lain lagu yang turut dimuatkan seperti Maharaja, Bukan Aku Tak Cinta, Mengapa Dikenang Mengapa Difikir, Patah Hati, Hala Timur, Bunga Tanjung dan Dikir Putera pernah dipopularkan oleh beberapa artis sebelum ini tetapi diberikan nafas baru.

No comments: