Follow Us @asrialigur

11 October 2010

Rahsia pernikahan Bienda

DIA optimis dengan keputusannya. Menyembunyikan tarikh dan lokasi pernikahan daripada pengetahuan umum, Bienda tahu dia akan mendepani beragam spekulasi. Namun, hati penyanyi dan pelakon itu tekad untuk terus merahsiakan hari bahagianya atas alasan tertentu.

Bagi peminat yang belum mengetahui, Bienda atau Nor Razlinda Razli telah selamat disatukan dengan belahan jiwanya, Kamarul Zariman Abd. Rahman atau Boy, 25, dalam sebuah majlis sederhana yang hanya dihadiri keluarga terdekat baru-baru ini.

Memuntahkan segenap perasaan, anak kepada penyanyi dangdut, Sheeda itu pasrah jika selepas ini ada sebilangan pihak terus menebar pelbagai andaian termasuk yang kurang manis tentang penyatuan dirinya dan Boy dalam upacara lafaz akad nikah yang disembunyikan daripada pengetahuan umum.

“Terus terang, saya menyorokkan tarikh dan lokasi majlis pernikahan ini atas permintaan keluarga sendiri dan pihak Boy. Sebelum ini, timbul kekecohan kononnya saya sudah berkahwin secara senyap. Malah, ada lagi gosip menimpa kami sehingga menyebabkan banyak hati terluka.

“Oleh kerana terlalu banyak cerita negatif, keluarga sendiri minta hari pernikahan saya tidak digembar-gembur. Yang penting, saya dan Boy sudah selamat disatukan dalam ijab kabul,” katanya ketika ditemui usai resepsi persandingannya di Pusat Konvensyen Ideal, Selayang, Selangor Jumaat lalu.

Kalau mengikut gerak hati mudanya, wanita berusia 25 tahun itu tidak mahu mengadakan sebarang majlis persandingan. Semahunya, Bienda ingin merealisasikan sebuah majlis di kampung halamannya di Kota Bharu, Kelantan. Namun, pada waktu sama, dia terikat dengan batasan lain sekali gus mahu meraikan teman artis dan pihak media.

“Pada kesempatan ini, saya ingin memohon maaf kerana tidak dapat beritahu tarikh dan lokasi pernikahan. Biarlah orang lain ingin buat apa jua spekulasi, hakikatnya, saya tetap hendak merahsiakan hal baik ini. Lagipun, bukan mudah saya mahu memuaskan hati orang lain.

“Sejujurnya, selama ini saya sekadar berdiam diri dan menahan sabar jika ada cerita negatif tentang saya tersebar.

“Cuma, kali ini, saya minta mereka hormat keputusan dilakukan. Jangan paksa saya jadi macam artis lain yang terbuka untuk berkongsi kisah peribadi termasuk pernikahan,” jelasnya yang sudah 13 tahun mempertaruhkan diri dalam laman seni.

Selepas mengadakan resepsi persandingan yang disuntik tema Arab dan Bollywood untuk pihaknya dengan persalinan dari Butik Udaimatunnur dan Arma Abd. Rahman, sebuah lagi majlis meraikan pihak pengantin lelaki akan berlangsung di Melaka pada 17 Oktober ini.

Cinta tiga tahun

Mengimbas bunga cintanya berputik bersama Boy, Bienda dengan pantas menuturkan kata. Jelasnya, bangunan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Kelang menjadi saksi pertemuan dua hati yang kebetulan belum terisi nikmat berpacaran.

“Saya jumpa Boy sewaktu sedang menjalani penggambaran untuk sebuah sitkom di Finas manakala dia pula bertugas sebagai salah seorang tenaga produksi secara sambilan. Kemudian, kami bertegur sapa antara satu sama lain sebagai salam perkenalan dan bertukar nombor telefon.

“Bayangkan, pada masa itu, dia tidak tahu saya merupakan seorang penyanyi. Dia ingatkan saya berlakon saja. Kami lebih banyak berhubung menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) berbanding membuat panggilan telefon bagi merapatkan hubungan persahabatan.

“Tiga minggu selepas itu, dia mula melamar saya untuk menjadi teman wanitanya dan menyatakan hasrat menyunting saya sebagai isteri. Selepas itu, kami terus bercinta. Sepanjang tempoh tiga tahun lalu sehingga bersepakat menamatkan zaman bujang.

“Untuk sampai pada tahap alam perkahwinan, ianya bukan menjadi perkara senang. Ada dugaan yang kami lalui selama ini. Alhamdulillah, kini semua berjalan seperti dirancang apabila akhirnya kami sah bergelar suami isteri,” luahnya sambil menghela nafas lega.

Bercerita tentang personaliti suami yang bekerja sebagai penerbit di salah sebuah stesen televisyen swasta itu, pelantun lagu Penantian itu melihat Boy sebagai individu bersikap lemah lembut, menghormati orang tua dan bijak mendamaikan jiwa keras Bienda.

No comments: