17 October 2010

"Perginya seorang dramatis' Yalal Chin"


BERITA Yalal Chin dimasukkan ke hospital sejak 3 Okober lalu dibalas dengan pertanyaan 'Yang mana satu Yalal?' oleh khalayak.

Bukanlah dia tidak terkenal tetapi kerana sering beradaptasi dengan watak dalam setiap drama, umum hampir terlupa nama sebenarnya.

Lalu apabila disebut si pembawa watak Patih dalam Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang, ingatan terus tertancap pada sosok yang membawa watak dengan cemerlang itu.

Teringat terus kepada seorang lelaki berwajah Cina dan berkaca mata.

Dramatis Yalal atau nama sebenar Yalal Abu Chin pasti diingati oleh penggemar drama Melayu kerana sering berlakon dalam produksi sebegitu.

Antara drama lakonannya ialah Ezora, Senja Permai, Intan Asmara dan telefilem Aku Yang Aku Cari serta filem Misteri Jalan Lama, Paloh dan Wanita Bertudung Hitam.

Yalal turut terlibat dalam produksi teater seperti Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang dan Patah Sayap Terbang Jua.

Lelaki kelahiran Melaka ini pergi meninggalkan kita dan pentas seninya.

Semalam, tepat pukul 12.15 pagi, Yalal menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras.

Jenazah dramatis berusia 67 tahun itu disembahyangkan di hospital pada pukul 3 pagi sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya untuk dikebumikan. Bersemadilah dia di Alor Gajah buat selama-lamanya.

Bukan hanya berlakon, Yalal merupakan seorang pengarah, pengurus produksi dan jururunding skrip.

Berita Allahyarham dimasukkan ke hospital terdahulu disampaikan oleh pelakon Rosyam Nor.

Kata Rosyam, Yalal merupakan seorang teman yang baik dan pelakon yang berkaliber.

Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Mohd. Mahyidin Mustakim sempat bertandang menziarah Yalal di PPUKM Rabu lalu dan memberi sumbangan kepada keluarga Allahyarham sebanyak RM5,000 melalui Tabung Kebajikan Penggiat Seni di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi Dan Kebudayaan.

Difahamkan, pelakon tersebut mengalami masalah jantung dan pendarahan dalam otak.

"Boleh dikatakan suami saya telah lama mengalami masalah jantung iaitu sejak dia muda lagi.

"Dia pernah mendapatkan rawatan di sini," ujar isteri Yalal, Suriani Mohd. Yusof, 37.

Menurut Suriani, suaminya terpaksa dikejarkan ke hospital setelah mengadu sakit dada ketika hendak bangun mendirikan sembahyang Subuh.

Setia sepanjang waktu sihat dan sakit, kini air mata dan doa mengiringi pemergian suami tercinta.

Bunga doa dan dan untaian al-Fatihah buat dramatis Yalal Chin. Amin.

p/s sedekahkan al-fatihah...

No comments :