Follow Us @asrialigur

12 October 2010

Isu penghinaan terhadap umat Islam ditangani secara berhemah


ISU pembakaran al-Quran di beberapa negara Eropah serta siri penghinaan terhadap Nabi Muhammad sejak akhir-akhir ini suatu ujian besar terhadap umat Islam yang perlu ditangani dengan penuh hikmah dan toleransi.

Islam sebagai agama yang sentiasa mendidik umatnya supaya bersederhana serta berlapang dada tatkala berhadapan dengan segala bentuk provokasi serta kecaman golongan yang memusuhi Islam sewajarnya menolak segala pendekatan secara kekerasan, melulu serta emosional. Kita jangan cepat melatah dengan permainan musuh Islam yang sentiasa mengambil peluang untuk melihat Islam digambarkan sebagai agama radikal atau melampau.

Dalam hal ini, Rasulullah sentiasa mengingatkan perkara ini dalam hadis bermaksud: “Jika ada seseorang yang mencelamu, janganlah kamu membalas dengan celaan juga.”

Penghinaan demi penghinaan diterima umat Islam sebenarnya bukan perkara baru kerana sejak zaman Rasulullah lagi golongan bukan Islam melakukan pelbagai bentuk kutukan dan kebencian hingga Allah menurunkan ayat al-Quran seperti yang berlaku ketika Saidina Hamzah Ibni Abu Talib dizalimi golongan kufur apabila mayatnya disiat bagaikan seekor haiwan.

Firman Allah bermaksud: “Jika kamu ingin melakukan pembalasan, balaslah seperti yang telah mereka lakukan. Tetapi, memberi kemaafan itu jauh lebih baik bagi orang-orang yang sabar.” ( Surah An-Nahl: 126 ).

Dalam konteks hari ini, umat Islam diingatkan tidak terikut-ikut dengan keburukan tingkah laku musuh agama yang berusaha mengadu domba dan memecahbelahkan perpaduan ummah melalui pelbagai bentuk yang menghiris hati dan perasaan umat Islam.

Namun, sebagai umat terbaik yang diiktiraf Allah, kita perlu tabah dan sabar menghadapi dugaan itu. Tidak perlulah kita menunjukkan kemarahan dengan melakukan protes melampaui batas seperti berteriak, mengadakan perhimpunan mengganggu ketenteraman awam serta bersikap biadab dan kurang ajar terhadap orang lain. Namun begitu, tidak dapat dinafikan sebagai umat yang bermaruah dan mempunyai harga diri, perasaan marah tetap tidak dapat disembunyikan.
Justeru, Islam menganjurkan kita sebaik-baiknya berfikiran terbuka serta memberi penerangan sejelas-jelasnya kepada mereka supaya tidak lagi bertindak mengelirukan kefahaman orang lain.

Penghinaan yang berlaku dari semasa ke semasa sama ada di dalam atau luar negeri seperti menuduh ayat al-Quran sebagai sumber keganasan, melabelkan Nabi Muhammad dalam bentuk karikatur yang tidak selayaknya, menghina cara umat Islam bersolat dan lain-lain lagi sebenarnya mempunyai hikmahnya tersendiri. Inilah saat umat Islam di seluruh dunia tanpa mengira fahaman mazhab dan ideologi politik merapatkan ukhuwah, menjalinkan ikatan persaudaraan serta memadamkan segala prasangka dan sengketa yang wujud selama ini untuk sama-sama menghadapi musuh sebenar.

Sudah sampai waktunya umat Islam membina kekuatan sebenar baik dalam bidang ekonomi, politik dan ilmu persenjataan selain menguasai teknologi maklumat dan rangkaian multimedia supaya tiada lagi usaha penghinaan melampau daripada pihak musuh terhadap syariat Islam yang mulia ini.

No comments: