14 October 2010

emelda Belum hamil, mengaku hamil

PERKAHWINAN selama setahun lebih yang dibina oleh aktres Emelda Rosmila Abdul Hamid atau Mel, 30, bersama aktor, pengacara dan pengkritik bermulut laser Adlin Aman Ramli, 38, pada 22 Mei tahun lalu nampaknya masih lagi dalam angin berbulan madu.

Hanya hidup berdua tanpa kehadiran cahaya mata, Mel yang ditemui baru-baru ini ketika penggambaran tele filem 7 Lagu tidak dapat menyembunyikan keinginannya untuk memperoleh cahaya mata secepat mungkin.

Namun, baru-baru ini timbul desas-desus yang mengatakan dia sedang berbadan dua kerana sekeping foto yang tersebar luas di Internet menunjukkan badannya sedikit berisi daripada biasa.

Jawabnya: “Tidak saya belum mengandung lagi. Sebenarnya itu gambar lama yang diambil pada bulan Mac awal tahun ini ketika sambutan ulang tahun kakak saya, Emylia. Kebetulan saya pakai baju besar dan gambar itu dirakam dari posisi yang menampakkan saya seperti mengandung.”



Tambahnya, sebagai pasangan yang telah berkahwin, impian untuk mempunyai cahaya mata sendiri sentiasa hadir. Namun sehingga kini dia terpaksa akur pada takdir bahawa ia belum berpihak kepadanya lagi.

Bagaimanapun desas-desus kehamilannya yang bertiup kencang membuatkanya menjadi tumpuan peminat dan keluarga yang bertanyakan perkhabaran tentang kehamilannya.

“Saya nak sangat mengandung kerana umur saya pun bukannya muda lagi. Saya juga tidak mengamalkan sebarang perancang keluarga. Kalau boleh esok juga saya nak mengandung (ketawa).

“Memang ramai orang tanya saya macam mana kandungan, puas saya nak terangkan hal yang sebenar. Sampai satu tahap sebab penat sangat nak menjawab tentang isu ini, saya mengaku sahaja saya mengandung.

“Saya tidak kisah orang nak cakap apa, harap-harap saya benar-benar mengandung bila ramai yang cakap saya mengandung kerana cakap-cakap orang itu merupakan satu doa,” katanya lagi.

Mengaku sudah bersedia untuk bergelar ibu, Mel mengatakan hal anak semuanya diserahkan pada Allah. Mungkin kini belum masanya lagi untuk menimang cahaya mata.

“Saya sudah bersedia untuk menjadi ibu. Walaupun belum lagi berkesempatan berasa pengalaman mengandung sejak setahun lalu, buat masa ini saya tidak pergi melakukan sebarang rawatan untuk mendapatkan anak. Tengoklah macam mana nanti.

“Mungkin disebabkan saya terlalu sibuk. Rakan-rakan saya ramai yang beri pelbagai petua untuk dapat anak, termasuklah Diana Rafar yang sedang mengandung sekarang ini.

“Buat masa ini saya cuma mengambil asid folic yang terbukti baik untuk kehamilan dan mengelak risiko keguguran. Saya malas nak fikir sangat tentang hal ini (hamil) kerana nanti saya akan tertekan, tunggu sahajalah rezeki daripada Allah,” balasnya.

Meskipun hidup berdua, kehidupannya dan suami tidak pernah sunyi kerana mempunyai ramai anak buah ditambah dengan keluarga sebelah Adlin yang sangat besar.

“Saya tidak sunyi kerana saya ada anak-anak buah untuk saya beri kasih sayang. Saya juga tengah seronok dengan kerja yang saya lakukan sekarang ini.

“Orang juga cakap jika terlalu sibuk dan tertekan juga menjadi punca pasangan tidak dapat anak. Mungkin selepas ini saya akan pertimbangkan untuk berehat seketika untuk memberi ruang pada diri tetapi tidak buat masa terdekat ini,” katanya.

Pelajar

Mel yang kini menyambung pelajaran Pengajian Luar Kampus, Sarjana Muda Komunikasi Media, Universiti Utara Malaysia (UUM) masih berehat daripada segala kerja seni.

Ini kerana dia sedang sibuk dengan peperiksaan semester pertama yang sedang berjalan.

“Sekarang memang saya tengah sibuk dengan pelajaran dan dalam masa yang sama bekerja sebagai pelakon. Syukur kerana saya tidak perlu ke kampus utama di Sintok, Kedah, cuma dua kali seminggu saya akan menghadiri kuliah di Kuala Lumpur.



“Suasana kelas pun seronok kerana kebanyakan pelajarnya adalah teman artis juga seperti Noh Hujan, Yok Bunkface, Zahid dan Zehra Zamri,” katanya tentang pembelajaran luar kampus yang ditawarkan khas buat penggiat industri hiburan oleh UUM itu.

Merancang untuk menghabiskan pengajiannya dalam tempoh tiga tahun, Mel mengakui agak kekok ketika memulakan kuliahnya kerana sudah lama meninggalkan zaman universiti.

“Dulu masa saya habis belajar pada usia 21 tahun. Sekarang umur sudah 30 tahun nak belajar balik memang agak sukar untuk saya menerimanya selain terpaksa membahagikan masa antara kerja dan keluarga.

“Penat itu memang penat, kerana saya kerja bermula awal pagi sehingga awal pagi keesokan harinya. Balik terus kena buat tugasan yang diberi pensyarah. Tetapi dalam masa yang sama saya seronok kerana semua pelajar yang masuk ke kelas saya merupakan mereka yang benar-benar serius untuk belajar,” tuturnya yang mendapat sokongan penuh daripada Adlin.

No comments :