Follow Us @asrialigur

10 October 2010

Doa itu makanan cinta


SUDAH terbiasa apabila sebuah novel diangkat ke layar perak, terbias komentar kekecewaan khalayak terutama bagi mereka yang pernah membaca novel itu. Begitulah yang terjadi dalam filem yang ditunggu-tunggu, Eat Pray Love.

Meletakkan Julia Roberts sebagai pemanis dan daya tarikan filem yang menggambarkan kehidupan Liz Gilbert, ada yang masih merasakan filem ini kurang roh manakala visual yang dipersembahkan tidak sampai.

Ia tidak sama seperti yang mereka bayangkan ketika mengikut helaian demi helaian novel tulisan Elizabeth Gilbert itu.

Kekecewaan itu ditujukan tepat kepada Ryan Murphy, sutradara filem ini yang dianggap gagal menterjemahkan naskhah popular dan hebat ke dalam sebuah visual yang menarik.

Akhirnya yang sudah menonton meletakkan Eat Pray Love hanya sebagai sebuah catatan perjalanan yang berlangsung selama dua jam.

Durasi yang memberi anda kecantikan tiga negara dengan pangkal I iaitu Itali, India dan Indonesia (Bali).

Ia sekali gus menyegarkan mata daripada pemandangan sesak kota-kota besar.

Seiring perjalanan filem, jiwa anda mungkin meresap ke dalam pemandangan yang terpapar, menjelajah bersama Julia dalam misi menjadi Liz.

Figura seorang Julia Roberts walau diberi watak apa sekali pun tetap satu pancingan yang berjaya menarik perhatian ramai.

Walaupun ada yang menyatakan bahawa Liz Gilbert kurang cocok dibawa Julia namun aktres dengan senyuman mahal ini berjaya mendalami hati dan sepi seorang Liz Gilbert.

Bak kata Julia dalam satu wawancara: "Liz telah melalui pelbagai bentuk emosi dalam dirinya.

"Saya merasakan satu peluang yang baik kerana dapat membawa watak yang menarik dan kompleks."

Turut membantu jalan cerita ini adalah lakonan bersahaja Javier Bardem, Billy Crudup dan Christine Hakim.

Tontoni sendiri dan rasai perbezaan antara filem dan novel.

Komen Sofia: Yang anda visualkan mungkin tidak pernah sama dengan bayangan orang lain.

No comments: