Follow Us @asrialigur

18 October 2010

Azahari kekal hos Bang Bang Boom!


RIAK sesal jelas terpancar pada wajah pengacara program Bang Bang Boom!, Ahmad Azahari Mohamad Ali, 27. Dia tahu kesalahan diri. Ia sepatutnya boleh dielakkan jika dia berfikir lebih panjang semasa hari kejadian – ditangkap khalwat dengan isteri orang.

Malangnya, semua sudah berlaku tanpa diduga. Tidak berupaya menolak, jejaka tinggi lampai itu secara terbuka berkongsi insiden tangkap khalwat bersama seorang wanita berstatus isteri orang di sebuah apartmen di Ampang dua minggu lalu.

“Saya mengaku berada di tempat kejadian dan ini merupakan kesilapan sendiri,” katanya dalam nada perlahan ketika ditemui pada sidang media pelancaran Bang Bang Boom! musim keenam di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor Khamis lepas.

Selepas menjalani prosedur soal siasat pada 4 Oktober lalu, Azahari mengaku bersedia menerima hukuman ditetapkan oleh hakim Mahkamah Rendah Syariah Kajang yang dijadualkan dijatuhkan pada tahun depan berhubung kes berkenaan.

“Terus terang, saya memang tertekan kerana kali pertama ia berlaku dalam hidup. Saya juga terkejut kerana kejadian ini memberi impak sendiri. Cuma, dalam soal ini, saya kena hadapi juga walaupun ia bukan semudah seperti dilihat.

“Selepas berdepan dengan pengalaman ini, saya anggap ia sebagai pengajaran pada masa depan. Malah, waktu sama, saya berjanji tidak akan mengulangi perkara sama. Ini merupakan kali terakhir. Tiada kedua atau ketiga.”

Rentetan itu, Azahari memohon kepada penonton supaya terus memberi sokongan padu kepada Bang Bang Boom! dan membuang kekhilafan dirinya. Sementelah mampu mendepani kes itu dengan baik, dia enggan mencampur aduk personal dan kerjaya seni.

Penerbit program itu, Tengku Mohd. Ismail Tengku Ibrahim pula berkata, pihak produksi masih memerlukan khidmat Azahari. Bahkan, tiada tindakan diambil walaupun insiden tersebut sedikit sebanyak memperlihatkan kesan sendiri.

“Kita bersikap profesional dengan tidak mencampurkan hal peribadi dan kerja. Lagipun, Azahari tiada masalah dengan pihak produksi. Jadi, kami hormati setiap ruang personalnya,” jawabnya ringkas.

Bukan memperbodoh penonton

Diam tidak diam, Bang Bang Boom! yang bersiaran di TV3 sejak tiga tahun lalu kini memasuki musim keenam. Diterbitkan oleh Primeworks Studio, musim keenam program itu bertandang di skrin televisyen setiap Selasa pukul 10 malam bermula 26 Oktober ini.

Masih lagi dihoskan oleh Azhari dan Reezman Esa (Amat), Bang Bang Boom! edisi keenam dengan 13 episod mengetengahkan empat segmen termasuk segmen baru iaitu Amekaw dan selebihnya sama seperti terdahulu – Mwahaha, Terima Kasih dan Bang.

Beritahu Amat, Amekaw merupakan pengubahsuaian daripada segmen Ada Berani dan Takde Pasal Cari Pasal. Jika musim sebelum ini tenaga produksi Bang Bang Boom! hanya tertumpu di rumah-rumah peminat, kali ini ia mengambil langkah lebih besar meredah kawasan kampung.

“Ia dilihat sebagai temasya sukan yang memaparkan himpunan permainan kampung diolah dalam bentuk gila-gila dan lebih mencabar. Kami turut mengenakan kostum mengikut tema di setiap lokasi termasuk di Kelantan, Kedah, Pahang dan Johor.

“Menariknya, segmen ini turut dimeriahkan dengan kehadiran artis-artis jemputan seperti Sarah Raisuddin, Wan Sharmila, Yasmin Hani, Gambit, dan ramai lagi,” jelasnya berbangga dengan pencapaian program itu yang pernah meraih bilangan tontonan sebanyak 2.2 juta.

Tidak ketinggalan, Tengku Mohd. Ismail sempat membidas kenyataan tentang Bang Bang Boom! yang dianggap seperti memperbodohkan orang lain. Masakan tidak, bagi sesetengah orang, program tersebut sebagai kurang bijak dan tidak punya signifikan kepada umum.

“Kami anggap normal jika ada penonton buat kesimpulan bahawa Bang Bang Boom! kelihatan bodoh. Tidak semua orang boleh terima dengan apa yang kami hidangkan. Ada yang terhibur menyaksikan program ini. Ia kena tengok dalam pelbagai sudut.

“Yang penting, bukan tujuan kami mahu menganiaya umum kerana tujuan utamanya mahu bergurau dan menyediakan hiburan. Meskipun ia nampak gila-gila, kami tetap mengambil kira soal batasan agama dan sensitiviti masyarakat supaya tidak menyinggung hati mana-mana pihak,” jelasnya.

No comments: