Follow Us @asrialigur

22 September 2010

Sheila Majid kecewa


NIATNYA hanya mahu menghiburkan peminatnya yang sudah menyokong kariernya selama 25 tahun. Berhasrat untuk mengadakan konsert skala besar dalam tahun ini di Stadium Negara, Kuala Lumpur, impian Datuk Sheila Majid bagaimanapun tidak dapat dicapai berdasarkan perancangan.

Umum diketahui, faktor utama yang menyebabkan impian itu tidak mampu dilaksanakan adalah kerana soal penajaan. Namun, Sheila tidak pernah putus asa. Mencari alternatif, penyanyi bersaiz genit itu dijadualkan mengadakan persembahan di Pusat Konvensyen Jakarta, Senayan, Indonesia pada 23 September ini.

Malangnya, konsert yang sepatutnya dihadiri peminatnya di Malaysia, Indonesia serta negara serantau itu juga terpaksa ditunda. Bukan sebab penjualan tiket tetapi atas faktor keadaan politik antara Malaysia dan Indonesia belum reda.

Maka, konsert anjuran TIS Communication itu dijadualkan semula pada 15 Februari 2011. Berasa kecewa, Sheila bagaimanapun melihat penundaan tersebut daripada segi positif. Ini kerana, faktor keselamatan dirinya serta mereka yang hadir perlu diambil kira.

“Mungkin penundaan ini sesuatu yang baik kerana pihak penganjur mempunyai lebih banyak masa untuk membuat persediaan dari segi keselamatan. Ini kerana penonton yang datang nanti bukannya dari Indonesia sahaja.

“Ramai juga peminat dari Malaysia yang akan hadir. Jadi diharap pada bulan Februari nanti isu ini akan reda dan dapat diselesaikan memandangkan kedua-dua negara sudah lama menjalin hubungan baik,” jelas Sheila ketika ditemui pada persembahan Sinaran Raya di Pavilion, baru-baru ini.

Turut bersimpati dengan pihak penganjur yang terpaksa menguruskan semula pelaksanaan konsert serta perihal tiket, Sheila memberitahu tarikh 15 Februari dipilih kerana faktor kekosongan lokasi konsert.

“Bagi konsert yang sepatutnya berlangsung pada September ini, kami sudah menempah pusat konvensyen itu pada bulan Mei lalu. Jadi apabila penundaan dibuat, kekosongan hanya diperoleh pada bulan Februari nanti,” jelasnya lagi.

Dalam proses merealisasikan konsertnya di Kuala Lumpur serta Indonesia itu, Sheila terlebih dahulu akan menghiburkan peminatnya di Dewan Filharmonik Petronas (MPO) pada 1 dan 2 Oktober ini.

Bukan itu sahaja, penyanyi berusia 45 tahun itu juga akan mengembara ke Perth, Australia pada 4 November untuk persembahannya. Bagi peminatnya di Singapura pula akan menyaksikan persembahannya di Esplanade Theatre pada 18 Disember nanti.

“Saya tidak akan berputus asa untuk menjayakan konsert gergasi di Kuala Lumpur. Kalau tahun ini tidak berjaya, saya akan tunggu tahun depan. Namun, saya amat bertuah kerana diberi peluang untuk menjayakan persembahan di Dewan Filharmonik Petronas,” tambahnya lagi yang baru sahaja merakamkan album Sinaran Raya dengan kerjasama Pavilion dan kad kredit MasterCard.

No comments: