Follow Us @asrialigur

26 September 2010

Indahnya alunan Atilia



JUJURNYA, saya memang gemarkan vokal Atilia. Lemak merdu dan nyanyiannya sentiasa terang. Malah, mencantikkan lagi segala usahanya adalah kesungguhan yang dipertontonkan dalam perjalanan seninya.

Baik lagu mahupun produksi dan kulit album, Atilia sentiasa mempamerkan yang terbaik dan punya keunikan tersendiri.

Album berkonsepkan neo jazz yang mengandungi 10 buah lagu itu menjanjikan pendengar dengan lagu-lagu yang segar dan menenangkan.

Atilia memilih tiga rakan duet iaitu Maliq & The Essentials dan Sore dari Indonesia serta Noh, vokalis kumpulan Hujan.

Menggembleng adunan suara mereka, pemilihan ini bukan sekadar suka-suka tetapi sangat bertepatan dengan dinamik dan keserasian vokal mereka.

Maliq & The Essentials dan Atilia melalui lagu Harus Bagaimana menghadiahkan lagu cinta dengan instrumen yang penuh.

Old Love memberi peluang untuk peminat Noh dan Atilia mendengar mereka berkolaborasi melalui sebuah lagu bahasa Inggeris.

Adunan suara daripada dua latar belakang seni berbeza disatukan dalam sebuah lagu yang cukup indah dan relaks.

Vokal Noh juga bagus mendendangkan sebuah lagu untuk memperingati cinta lama.

Saya menggemari runut kesepuluh album ini, kolaborasi Atilia bersama Sore, untuk lagu Silly Little Things.

Lagu ini tenang seolah-olah berada di bawah rintik hujan yang menyejukkan sambil memalaskan diri.

Komen Sofia: Kesabaran Atilia dalam penghasilan album jelas terlihat melalui hasilnya. Album Indah punya produksi yang bagus dan saya sukakan lagu-lagunya yang penuh dengan bunyi instrumentasi.

No comments: