18 August 2010

Yuna berpuasa di London


RAMADAN yang datang menjelma cukup bermakna buat penyanyi muda Yunalis Zarai atau Yuna. Meskipun sibuk dengan jadual seni tambahan dia baru sahaja meluncurkan album penuh pertama yang berjudul Decorate, Ramadan tetap disambut seperti biasa.
Kata gadis berusia 23 tahun itu, sepanjang bulan Ramadan kerjanya akan berjalan seperti biasa cuma dia akan menyambut sebahagian Ramadan di London, England.

Kali ini bermula 13 Ogos lepas sehingga 8 September depan, Yuna akan berada di England untuk melebarkan sayap seninya di sana.

“Saya ke London untuk bekerja bersama penulis di sana selama sebulan. Sebenarnya saya nak tulis lagu-lagu baru dan mengenali mereka dengan lebih rapat.

“Mana tahu mungkin pada masa depan saya dapat tawaran menulis lagu di sana. Saya berangkat pada 13 Ogos dan kembali pada 8 September iaitu beberapa hari sebelum raya,” katanya penuh semangat.
Walaupun begitu, sebelum berangkat ke London, Yuna sempat merakamkan sebuah lagu raya berjudul Raya Ohh Yeah! pada minggu lalu.
Lagu yang dicipta sepenuhnya oleh Yuna dan diterbitkan oleh AG Coco itu bakal ke udara tidak lama lagi.

a“Kami hanya lakukan semua perkara dalam empat hari sahaja disebabkan kesuntukan waktu. Bermula daripada proses rakam lagu, susunan lagu sehinggalah rakaman klip video. Mujur walaupun dilakukan dalam waktu yang agak singkat, semua perancangan berjalan lancar,” tuturnya yang sering bekerjasama dengan AG Coco.
Bulan sabar
Sama seperti umat Islam yang lain, Ramadan amat bermakna buat Yuna. Luah Yuna, selain mengajar untuk menahan lapar dan dahaga, Ramadan juga bulan yang menguji kesabaran.

“Puasa sangat besar ertinya. Puasa mengajar kita lupakan seketika keseronokan duniawi dan uji kesabaran kita. Kalau kita lulus barulah kita layak menyambut hari raya,” balasnya.
Ditanya pula perkara wajib yang harus dilakukan ketika bulan Ramadan, selain menunaikan solat tarawih, Yuna juga tidak

melepaskan peluang untuk singgah ke bazar Ramadan untuk membeli makanan kegemarannya.

“Kalau ke bazar Ramadan saya sentiasa cari roti john, kuih tepung pelita, murtabak dan laksa. Itu memang makanan wajib, letaklah apa sahaja sajian istimewa saya pasti akan mencari makanan itu juga. Cuma kali ini saya sempat berpuasa di London, jadi saya terpaksa lupakan sebentar roti john,” tuturnya.

Apabila ditanya tentang pengalamannya ketika berpuasa, Yuna mula tertawa kecil. Katanya, dia pernah berbuka puasa kerana tidak dapat menahan godaan.

“Semasa saya mula nak belajar puasa ketika umur tujuh tahun, saya dan sepupu tidak dapat tahan dan buka puasa selepas nampak seorang budak Cina makan aiskrim.

“Kami buat keputusan untuk beli aiskrim dan makan bersama-sama. Itu waktu kecil, sekarang okey boleh tahan godaan makanan,” ucapnya sambil tersenyum.
Bakal kembali ke Malaysia tiga hari sebelum raya, ujar Yuna lagi, walau pulang lewat untuk meraikan hari kemenangan tersebut, ia tidak sesekali menjejaskan mood rayanya.
“Kalau raya selalunya saya akan bercuti selama beberapa hari. Raya kali ini saya akan pulang ke kampung saya di Perak. Kemudian akan pulang ke Kuala Lumpur dan beraya bersama rakan-rakan pula.
“Meriah itu tetap meriah. Siapa yang tidak suka bila tiba bab raya, daripada budak kecil sehinggalah orang tua, semuanya seronok. Saya juga tidak ketinggalan untuk bergembira masa raya kerana itulah waktu saya berehat dan bertemu dengan sanak-saudara yang lama tidak jumpa,” ucapnya.

No comments :