20 August 2010

Nana Seronok jadi kaunselor


TAMPIL dengan imej rambut pendek yang lebih segar, wajah penyanyi Siti Nurdiana tidak lekang dengan senyuman. Lebih-lebih lagi, tubuh kurusnya tidak sedikit pun menunjukkan dia kini tidak bahagia bergelar ibu tunggal.

Bukan bermakna dia gembira berpisah dengan bekas suaminya, pelakon Mohd. Faizal Yusup, tetapi hari ini, akui penyanyi yang senang disapa Nana ini sudah terbiasa dengan kehidupan barunya. Asal ada cinta hatinya, Muhammad Rayyan Nakhie, dua tahun lima bulan, itu sudah cukup memberi kekuatan untuk dia menjalani kehidupan serba baru.

“Alhamdulillah, kehidupan saya semakin baik dan berjalan seperti biasa. Saya kini lebih tenang dan sudah biasa hidup berdua dengan Rayyan,” katanya ketika ditemui sewaktu sesi fotografi bersama Kosmo! yang diaturkan syarikat rakaman FMC Records di Hotel Quality minggu lalu.

Malah saat ditanya adakah hatinya kini gembira kerana sudah mempunyai pengganti, pantas persoalan itu ditepis jauh. Bagi Nana cinta baru masih belum wujud dalam kamus hatinya. Walaupun sudah lebih setahun bergelar ibu tunggal dan janda muda, itu bukan tiket untuk dia pantas mencari payung baru untuk berteduh.

Katanya, dia masih mahu sendiri dan belajar berdiri atas kaki sendiri. Kualiti diri lebih dipentingkan berbanding soal pengganti Faizal, ia jatuh pada tangga kedua berbanding membina kehidupan sendiri.

“Saya tidak menafikan, memang ada beberapa lelaki yang cuba mendekati saya. Namun, suka untuk saya katakan, saya masih belum bersedia untuk sebuah hubungan baru. Sekarang, hati lebih senang kerana tidak perlu fikirkan orang lain selain Rayyan dan diri sendiri,” katanya serius.

Sementara itu kesibukan sebagai penyanyi dan pelakon serta pekerjaan baru sebagai Kaunselor Pelajaran di City Universiti Kolej, Petaling Jaya, Selangor, banyak mencuri masanya daripada terus memikirkan soal jodoh baru.

Dia lebih leka dengan pekerjaan yang sudah disandang sejak lebih setahun lalu dan menyifatkannya ia sebagai sesuatu yang mengujakan.

Mengakui tugas yang dipikul itu adakala agak susah tetapi kerjaya baru itu banyak membantu dirinya, terutama dari segi pergaulan.

“Saya ditawarkan untuk bekerja di situ pada bulan Mac 2009 oleh seorang rakan. Masa itu saya banyak menghabiskan masa di rumah dan kawan saya mempelawa saya untuk bekerja di tempat dia iaitu sebagai kaunselor di kolej tersebut.

“Selepas berbincang dengan Faizal yang waktu itu masih menjadi suami saya, akhirnya saya menerima tawaran tersebut. Walau saya akui agak kekok pada awal pekerjaan sebab sudah terbiasa bekerja sendiri dan tiada jadual khusus, kini saya sudah membiasakan diri dengan keadaan tersebut.

“Jujurnya kerja ini kena bangun awal dan banyak membantu saya dari segi pergaulan kerana sebelum ini saya kurang bergaul. Walaupun penat tetapi saya puas kerana ada kelebihan dalam tugas saya yang baru ini.

“Antara tugas saya ialah untuk memberikan kaunselor kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang ingin melanjutkan pelajaran,” ceritanya panjang lebar.

Dalam masa yang sama, dunia hiburan masih menjadi padang dia bermain. Walau sudah lama tidak muncul dengan album baru, Nana ligat mengasah bakat sebagai pelakon.

Nana yang baru habis penggambaran Aku Budak Minang 2 juga mengaku yang dia sebenarnya meminati bidang lakonan tetapi atas beberapa faktor sebelum ini, dia terpaksa menolak beberapa pelawaan untuk berlakon.

Malah, kerana mendengar nasihat bekas suaminya agar tidak berlakon kerana kerjaya sebagai pelakon amat memenatkan, dia memendamkan hasrat sebagai pelakon. Bagaimanapun kini keinginan tersebut tidak dapat dibendung lagi, lantas peluang yang datang tidak disia-siakan.

“Kalau peluang itu datang sekarang, saya akan mempertimbangkan supaya tidak mengganggu kerja sebagai kaunselor. Tetapi jika penggambaran itu mengambil masa yang lama seperti berbulan-bulan, mungkin saya terpaksa menolaknya,” katanya.

No comments :