Follow Us @asrialigur

01 August 2010

Melissa Maureen Rizal Cinta akan kerjaya, elak populariti

DARI jauh dia tersenyum manis. Huluran salam disambut mesra seraya bibir laju memohon maaf kerana terpaksa membawa anak bersama ke sesi fotografi. Jelasnya yang berdarah kacukan Cina-Pakistan itu, ibu dan suami ada kerja, justeru dia tiada pilihan.

Dalam diam, Melissa Maureen Rizal bertakhta di hati Malique. Percintaan yang berputik antara dua insan itu berjaya disembunyikan daripada pengetahuan media sehingga beberapa bulan sebelum majlis berlangsung.
Pertemuan dengan Melissa baru-baru ini menyaksikan betapa bahagianya dia menjalani kehidupan sebagai isteri dan ibu.


Sifat penyayang jelas kelihatan, bahkan dengan penuh lembut dia melayani si comel yang kini berusia 14 bulan.

"Inilah permata hati saya, Inca Medina Malique. Ketika menjalani penggambaran siri Rosli Dhobi, saya disahkan hamil. Inca lahir pada 1 Mei 2009, dua minggu awal dari tarikh jangkaan doktor. Sejak itu keutamaan saya dan suami memang cuma Inca.

"Kalau ikutkan, saya mahu bersalin secara normal tetapi tidak kesampaian apabila dinasihatkan menjalani pembedahan. Tuhan saja yang tahu betapa takutnya saya kerana tidak bersedia. Harap jika ada rezeki lagi selepas ini dapat bersalin secara normal pula.

"Kehadiran Inca banyak mengubah persepsi saya terhadap kehidupan. Tiba-tiba Allah mengurniakan seorang lagi insan yang memerlukan perhatian saya selepas dipertemukan dengan Malique.

"Sebagai ibu, saya mahu beri yang terbaik buat Inca. Saya tidak percayakan pembantu rumah dan memilih untuk menguruskan Inca dengan dibantu suami dan ibu," kata Melissa sambil membelai rambut puteri sulungnya.
Sambung pelakon Hooperz itu, dia bertuah dikurniakan suami penyayang. Sama sepertinya, Malique meletakkan Inca sebagai keutamaan dalam hierarki kehidupan mereka. Malique pandai melayani Inca, bahkan tidak kekok menukarkan lampin atau memandikan si comel itu.

"Bangun tidur, perkara pertama yang Malique buat adalah melihat Inca. Dia sangat memanjakan Inca, malah apabila saya tegur, dia kata anak kecil sekali saja, bila sudah besar bawa haluan masing-masing dan tinggal kami berdua saja di rumah.

"Sekarang pun sudah terasa masa berlalu dengan cepat. Sedar-sedar Inca sudah setahun dua bulan. Justeru, kami menghargai setiap momen dengan anak, malah saya tidak teragak-agak mengurus dan menyediakan segala keperluan harian Inca tanpa bantuan pembantu rumah. Saya mahu lihat dia membesar depan mata, begitu juga dengan Malique.

"Jika saya ada penggambaran dan dia tidak ke studio, dia dengan rela hati menjaga Inca. Dan jika dia ada kerja, ibu saya akan ambil alih menjaga Inca. Kalau boleh, semua benda saya mahu buat sendiri.
"Kebetulan saya boleh menjahit dan mengait. Jika ada kelapangan saya jahitkan Inca baju dan mainan, malah pernah buat cadar, sarung bantal dan beberapa koleksi hiasan katil. Memandangkan Inca suka membaca, saya jahitkan kulit buku untuknya," kata Melissa yang mewarisi bakat itu daripada ibunya.

Menyingkap melodi cintanya dengan suami, Melissa berkata perkenalan mereka bermula pada 2005. Pertemuan diatur seorang sahabat, takdir mula tertulis apabila Malique meminta nombor telefonnya dan sejak itu mereka sering berhubung.
Tanggal 6 Jun 2006, pasangan dua sejoli ini menyimpulkan ikatan pertunangan dan melangsungkan perkahwinan pada 8 Ogos 2008.
Luah Melissa, bukan niatnya mahu merahsiakan kisah cintanya daripada pengetahuan media tetapi terpaksa mengambil pendekatan mendiamkan diri kerana bimbang impian melangkah ke jinjang pelamin tidak kesampaian.
Dia hanya sedia berkongsi soal hati jika ada kepastian dan kini tiada lagi istilah rahsia dalam kamus hidupnya kerana sah dia suri hidup Malique.

"Jangan salah faham, sebenarnya saya serta suami pemalu dan 'low profile'. Kami tidak suka jadi tumpuan atau hidup glamor. Kami sepakat berdiam diri jika tiada media bertanya mengenai hubungan kami.
"Kami bertunang dua tahun supaya pasti benar-benar bersedia melayari komitmen sebagai suami isteri. Sepanjang tempoh itu juga kami berusaha mengukuhkan ekonomi dan menyediakan keperluan, termasuk rumah, supaya dapat menikmati kehidupan lebih selesa selepas berkahwin.

"Malique dan saya banyak persamaan, termasuk suka duduk di rumah serta membaca. Jika tidak kenal rapat dengannya, mungkin orang fikir dia sombong dan pendiam. Hakikatnya, biarpun pemalu, Malique bijak berjenaka. Dia selalu buat saya ketawa.

"Hatinya baik, biarpun dipergunakan rakan, dia mudah memaafkan. Baginya, keluarga dan sahabat sangat penting. Dalam melayari rumah tangga, tiada istilah dominasi baginya, bahkan kami akan buat keputusan bersama dan berkongsi apa saja pendapat dan idea," katanya.
Tambah Melissa lagi, barangkali sikap 'low profile' yang ada dalam diri membuatkan mereka serasi. Malique memahami kecintaannya terhadap dunia lakonan dan tidak pernah menghalangnya terus aktif.

"Alhamdulillah, suami sangat memahami dan menyokong pembabitan saya dalam bidang seni. Dia tidak pernah merungut biarpun kerjaya ini menuntut saya pulang lewat malam. Saya juga faham kerjanya yang selalu terperap dalam studio. Sikap saling menghormati itu yang buat hubungan kami semakin kuat.

"Kalau perhatikan, kami jarang hadir ke majlis hiburan, termasuk anugerah, dan hanya keluar bertemu media untuk promosi kerja. Ini kerana kami cintakan kerjaya kami tetapi tidak sukakan populariti. Asalkan orang suka kerja kami, itu sudah cukup.

"Lagipun kami sepakat mahu menjalani kehidupan normal. Tak perlu jadi tumpuan media atau orang ramai. Dan, jadi hasrat kami berikan hidup senormal mungkin untuk Inca," katanya.
Beralih perihal kerjaya, wanita berkulit mulus ini bertuah apabila roda kembara seninya berputar laju. Sejak Februari lalu, jadualnya padat dengan penggambaran, bahkan baru saja selesai siri Dendam Orang Minyak untuk TV3 dan sebelum itu, drama berantai Putera Pura serta siri Lagenda Budak Setan.
Terbaru ada produksi merisik khabar, namun Melissa belum memberi kata putus kerana mahu meluangkan lebih masa untuk Inca selepas kira-kira lima bulan berhempas-pulas melunaskan komitmen sebagai pelakon.

"Dari pagi sampai ke malam saya tinggalkan Inca. Kalau habis kerja selepas jam 10 malam, biasanya saya biarkan Inca tidur di rumah mak. Saya mahu rehat seketika untuk tumpukan perhatian terhadap Inca.

"Ketika penggambaran Dendam Orang Minyak, saya direhatkan selama dua hari kerana dimasukkan hospital selepas disahkan positif denggi. Mujur bukan denggi berdarah. Tak senang duduk dibuatnya kerana penggambaran berjalan dan drama pula ditayangkan di televisyen.

"Itulah pertama kali saya kena denggi dan pengalaman itu akan saya ingat sampai bila-bila. Bukan saja badan rasa sengal-sengal, selera makan pun hilang hingga berat badan saya turun enam kilogram," katanya yang mengelak watak yang menuntutnya tampil seksi sejak bergelar isteri dan ibu.
Meskipun memiliki paras pan-Asia, Melissa menegaskan ia bukan penghalang dalam mempelbagaikan watak kerana wajah boleh 'diubah' dengan solekan, malah pakaian juga dapat membantu dalam menzahirkan sesuatu karakter.
Jika pandai bawa, rupa tidak lagi dijadikan ukuran, sebaliknya fokus penonton lebih tertumpu kepada karakter yang dihidupkan.

"Ada segelintir yang berpendapat saya tidak boleh bawa watak wanita kampung dan lebih sesuai jadi gadis Cina atau berdarah kacukan. Terus terang pendapat itu, bagi saya, tidak relevan kerana saya sudah buktikan kemampuan dalam Rosli Dhobi.

"Dengan bantuan solekan dan cara berpakaian, seorang pelakon boleh bawa apa saja watak jika dia yakin. Yang penting adalah berani menyahut cabaran, baru lakonan kita bervariasi dan tidak terhad pada karakter tertentu saja.

"Setakat ini saya berpuas hati dengan watak yang dibawa dan berharap sangat diberi watak lucu satu hari nanti. Bukan senang nak buat penonton ketawa, jika tidak kena gaya nampak macam badut. Bagi saya, karakter sebegini mencabar dan saya ingin mencuba," katanya.

No comments: