Follow Us @asrialigur

23 August 2010

'Awal pandai layan wanita' ..scha


LEBIH senang berterus terang daripada berdolak-dalik kerana kelak lebih banyak mengundang spekulasi yang tidak baik dan langsung memberi kesan kepada hubungan cinta yang sedang mekar berkembang.

Dengan berbuat begitu hati juga lebih tenang dan tidak perlu takut dengan bayang-bayang sendiri dan kata nista masyarakat. Janji sudah terpatri, hanya menunggu masa dan ketika yang baik untuk disatukan.

Pelakon yang laris ketika ini, Scha Al-Yahya, 27, sudah bersedia untuk berkongsi hidup dengan pengacara TV popular, Ahmad Awalluddin Ashaari atau Awal Ashaari, 29.

Kata Scha, sebaik saja mereka sah dilamun cinta tujuh bulan lalu, dia mula bersikap terbuka dengan media menyatakan perkara sebenar antara dia dan Awal.
“Segalanya sudah sahih dan tiada sebab lagi untuk saya menyembunyikan hubungan kami. Apabila ada yang bertanya lebih baik saya berterus terang saja. Hati juga lebih tenang dan lapang dada.

“Tidak perlu lagi saya me­ngeluarkan kenyataan masih mengenali hati budi dan sebagainya sebagai senjata untuk melindungi perkara sebenar. Bila berjalan berdua sekarang, tiada lagi yang membuat pelbagai spekulasi kerana sudah tahu kami memang bercinta,” katanya ketika ditemui pada majlis Raya Media Screening Astro, baru-baru ini.

Mengenai cinta yang berputik, Scha mengakui mula menge­nali Awal ketika menyertai Pertandingan Dewi Remaja dan mula rapat sebelum mengacarakan program Sehati Berdansa bersama Fahrin Ahmad.

“Sebenarnya saya berpisah dengan Fahrin pun sudah lama, cuma ramai tidak tahu. Awal melayan wanita dengan baik dan perangainya yang lembut membuatkan dia sangat memahami hati perempuan.

“Saya suka membebel manakala Awal pula lebih banyak mendengar daripada berkata-kata. Kami juga berkongsi minat sama seperti suka membeli-belah.

“Saya juga berhasrat mempu­nyai anak sebelum berusia 30 tahun dan umur saya sekarang sudah menjangkau 27 tahun. Awal juga bercadang untuk berkahwin menjelang umurnya 30 tahun. Justeru, dalam perkara ini kami sudah sepakat untuk menamatkan zaman bujang masing-masing dalam masa terdekat dan sedang mencari tarikh sesuai.

“Emak saya juga tidak mahu kami bertunang lama. Dia mahu sehari selepas bertunang kami terus dinikahkan,” katanya.

Menjadi kebimbangan sesetengah artis khuatir populariti merudum apabila inai sudah merah di jari. Apatah lagi Scha dan Awal sedang berada
di puncak kemasyhuran.

Akui, Scha, ada juga terselit rasa bimbang tetapi, katanya, dengan berkahwin dia sudah melakukan perkara yang dituntut agama dan dengan perkahwinan ini ia menyelamatkan dirinya ­­

di dunia dan akhirat. Selebihnya diserahkan kepada Allah s.w.t.

Walaupun sudah mengaku bercinta, namun mereka berdua enggan bergambar bersama dan ketika masih bersama Fahrin dulu pun, Scha tidak bersedia gambar mereka dirakamkan kecuali untuk tujuan kerja.

“Kami tidak mahu bergambar berdua kerana nanti cerita peribadi menjadi paparan utama daripada bercakap soal kerjaya,” katanya.

Buat julung kalinya juga, Scha berlakon dengan Awal dalam telefilem Prebet Jamilah

di mana Scha sebagai Jamilah dan Awal sebagai Kapten Aziz. Telefilem itu khusus untuk Hari Merdeka pada 31 Ogos ini, bersiaran di Astro Ria.

Scha kini di lokasi penggambaran filem Aku Bukan Tomboy yang menjalani penggambaran di sekitar ibu kota.

“Penggambaran baru berlangsung 10 hari dan harap dapat disiapkan seminggu sebelum Aidilfitri. Ia mengisahkan kehidupan pengkid dan tomboi. Saya membawa watak tomboi bernama Farisya, masyarakat menyalah anggap persahabatan antara tomboi dan pengkid.

“Karakter pengkid dihidupkan Sheera Iskandar, Salina Saibi dan Zarina AF. Filem itu terbitan Skop Productions Sdn Bhd dan arahan bersama Datuk Yusof Haslam dan anaknya, Shamsul Yusof,” katanya.

Dia juga akan ke lokasi Awan Dania musim ketiga dan K.I.T.A yang memasuki musim kedua.

“Watak saya dalam K.I.T.A dikekalkan manakala tiga lagi sahabat karib saya dalam drama itu belum diputuskan lagi. Bergantung kepada kehendak penaja. Jalan cerita pun lebih kepada cabaran hidup empat sahabat sebagai kesinambu­ngan kepada episod terakhir K.I.T.A musim pertama di mana masing-masing sudah tamat persekolahan, menjadi dewasa dan ada yang berkahwin.

“Mungkin kali ini lebih banyak konflik kerana masing-masing berdepan dengan masalah hidup. Perkahwinan yang tidak bahagia dan juga alam pekerjaan yang penuh dugaan,” katanya yang menandatangani kontrak selama setahun de­ngan Carefree yang juga penaja drama itu.

Ke mana hendak pergi raya ini sama ada terus menyambutnya di Kuala Lumpur atau Sungai Petani, Scha serta keluarga belum memutuskannya lagi. Ada juga cadangan hendak bercuti bersama keluarga ke Langkawi atau Singapura. Namun, kata­nya, tengok pada bajet.

“Saya bercuti seminggu tetapi belum pasti di mana hendak beraya. Namun saya tidak kisah beraya di mana pun asalkan dapat bersama keluarga. Saya akan menggunakan cuti itu dengan sebaiknya kerana apabila kembali sibuk ­
di lokasi penggambaran, hendak bertemu keluarga pun susah,” katanya.

No comments: