25 July 2010

Percaturan Shakila

BUKAN sekali dirinya ditipu dan cuba diperdaya agensi bakat sebelum selesa menggenggam status pelakon seperti hari ini. Pernah sekali Nurul Shakilla Mohd Khoriri atau lebih mesra disapa Shakila, diminta membayar sejumlah wang yang kononnya sebagai pendaftaran, sedangkan tawaran berlakon tidak kunjung tiba.

Bijak percaturannya memancing peluang, tangkas gerak langkahnya mencuri tawaran, Shakila memanjat rasa syukur episod lara diperdaya akhirnya terhenti.


Terbaru, selepas menjayakan beberapa drama termasuk Seteguh Impian, Bagi Balik Jandaku serta Akademi Polis di TV9 berjaya dikesan, anak jati Kuala Lumpur ini mempamerkan sisi lakonan berbeza dalam siri Duyung Aridinata.


“Penat sungguh bila selalu ditipu agensi bakat baru. Mereka tabur macam-macam janji kosong. Kononnya selepas membayar RM500 saya berpeluang jadi pelakon, tapi sampai ke sudah tidak ada tawaran. Bila ditanya, ada saja helah diberi. Itu belum lagi cerita saya dibayar RM200 tapi babak yang perlu dilakonkan mengalahkan pelakon utama.


“Alhamdulillah, berkat kesabaran, bakat saya diterima dalam industri. Biarpun sekadar menghidupkan watak sampingan, tawaran tak pernah putus. Jujur, soal besar atau kecil watak, saya tidak kisah kerana yang lebih penting adalah peluang untuk terus berkarya.

“Saya melihat Duyung Aridinata sebagai tapak terbaik untuk lebih dikenali dan diterima dalam industri. Sesungguhnya saya masuk ke bidang ini bukan untuk mengejar populariti tetapi kerana minat dan mencari pendapatan bagi menampung hidup,” katanya yang pernah muncul dalam drama Rumi & Juli, Adnan Sempit dan Satu Pagar.


Drama bersiri Duyung Aridinata terbitan Zeel Productions ditayang menerusi slot Lagenda setiap Isnin hingga Khamis jam 4.30 petang di TV3. Selain Shakila, drama 26 episod ini menampilkan ramai pelakon popular iaitu Fasha Sandha, Natasha Hudson, Zachery Francis, Zain Saidin dan Rozie Rashid.


Menerusi siri ini, Shakila menghidupkan watak gadis gedik daripada keluarga berada. Meskipun sekadar memegang watak kecil, dia bangga kerana berpeluang bergandingan dengan ramai nama besar. Mungkin tertulis rezekinya selepas menempuh pelbagai onak duri.


“Bukan mudah melakonkan watak Tom kerana saya perlu sumbat segala emosi bagi memastikan karakter itu tidak tenggelam, terutama bila ada babak dengan Fasha dan Natasha. Biarpun sudah lama dalam industri, Fasha dan Natasha tidak lokek ilmu. Mereka banyak berkongsi ilmu dan pengalaman dengan saya.


“Sepanjang menjayakan drama ini, saya dapat melihat peningkatan dalam lakonan saya. Semuanya kerana bantuan pengarah, Adam Hamid dan rakan artis. Terus terang, saya risau menanti reaksi penonton dan harapnya mereka suka persembahan saya,” katanya.


Luah Shakila, sebagai pendatang baru, dia sedar perjalanan yang perlu ditempuh masih jauh dan kerana itu perlu berusaha lebih gigih memantapkan mutu lakonan.


Dia bukan sekadar mahu mengasah bakat sebagai pelakon drama tetapi juga di layar perak dan pentas teater.

“Saya mahu mencabar kemampuan diri dengan mempelbagaikan persembahan. Hanya dengan cara itu saya dapat melonjak ke fasa lebih tinggi,” katanya yang mengagumi lakonan Fauzi Nawawi, Ellie Suriaty dan Sheila Rusly.



No comments :