Follow Us @asrialigur

21 July 2010

Bina Keperibadian Di Bulan Ramadan

Selamat datang Ramadan 1431 Hijrah. Semoga kita bersedia untuk menjalani ibadat puasa, dapat mendidik jiwa dan diri untuk menjadi manusia yang lebih baik. Insya-Allah, Ramadan dapat mengajar nafsu kita untuk lebih bersabar, bertenang dan mensyukuri kesempatan serta peluang yang ada.

Puasa bukan sekadar menahan makan minum, tetapi juga suatu proses pembersihan dan pendidikan jiwa. Ini bertepatan sabda Rasulullah: “Apabila seorang daripada kamu berpuasa, maka janganlah berkata kotor dan memaki hamun. Apabila dicela orang lain atau dimusuhi, maka katakanlah, sesungguhnya aku ini sedang berpuasa.” (Riwayat Bukhari) Puasa juga ada adab dan tatacara tersendiri. Berikut perkara yang diamalkan Rasulullah ketika baginda berpuasa.


Maka tidak salah, jika kita sama-sama mencontohi cara Rasulullah.
1. Memantap dan menjitukan niat. Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang tidak menetapkan akan berpuasa sebelum fajar, maka tidak sah puasanya.” (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)
2. Makan sahur. Anas bin Malik berkata bahawa Rasulullah bersabda: “Bersahurlah kamu, sesungguhnya dalam sahur itu ada keberkatannya.” (Riwayat Muslim) Ibnu Hajar al-Asqalani berpendapat, yang dimaksudkan dengan berkat itu adalah ganjaran pahala daripada Allah. Ini kerana bersahur akan menguatkan semangat dalam berpuasa serta dapat membantu seseorang melakukan apa juga bentuk ibadat sepanjang ibadat puasa dilaksanakan.
3. Imsak. Rasulullah bersabda: “Apabila mendengar azan Subuh padahal bekas minuman masih di tangannya, maka janganlah diletakkannya sehingga dia menyelesaikan meminumnya.” (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)
4. Segera berbuka puasa apabila sampai waktu. Sahl bin Saad berkata bahawa Rasulullah bersabda; Allah berfirman: “Hamba-hamba Ku yang lebih aku cintai ialah mereka yang segera berbuka puasa apabila tiba masanya.” (Riwayat Tirmizi dan Abu Hurairah)

No comments: