Follow Us @asrialigur

08 November 2010

Kesan Pengaruh Keluarga Dalam Corak Anda Memilih Pasangan

Secara langsung atau tidak, proses membuat keputusan dalam hidup kita pada masa akan datang, tingkahlaku dan juga kelakuan kita telah dilatih dalam keluarga yang kita dibesarkan. Wanita yang selalunya mempunyai pola/corak untuk memilih lelaki berbahaya sebagai pasangan dibesarkan dalam rumah/keluarga yang mana ibunya telah memilih lelaki berbahaya sebagai suami atau abang/pakcik/datuk/orang terdekat dengannya adalah lelaki yang berbahaya.


Tolak-ansur dalam keluarga terhadap tingkahlaku lelaki seperti ini secara perlahan-lahan menyebabkan anak perempuan dalam keluarga tersebut menyesuaikan dirinya dengan kelakuan yang tidak normal ini.

Gadis yang muda dan masih kecil ini dibesarkan dalam suasana yang mana kelakuan seperti ini diberi nama baru, diberi bentuk baru, dan label baru akibat penyesuaian yang dibuat oleh keluarga tersebut. Keadaan ini menjadi batu asas baginya bila tiba proses membuat keputusan dalam hidup setelah dia dewasa.

Kebanyakan wanita yang cenderung untuk terus memilih perhubungan yang berbahaya dan merosakkan adalah wanita yang dibesarkan dalam suasana tidak selamat dan menyaksikan wanita dewasa memberi laluan terhadap tingkahlaku seperti ini dan tetap kekal berada dalam situasi itu. Banyak faktor KENAPA seseorang wanita itu tetap berada dalam situasi ini – masalah kewangan, pandangan masyarakat, ketakutan, dan sebagainyalah. Soalannya di sini bukan KENAPA tetapi APAkah kesan ke atas anak gadisnya dan bagaimana kesan itu akan diterjemahkan dalam kehidupan dewasanya kelak.

Keluarga yang mempunyai individu yang mengalami masalah ketagihan (alkohol, dadah, dsb) yang teruk dan tidak mendapatkan rawatan adalah jenis keluarga yang berkemampuan menghasilkan sama ada anak perempuan yang cenderung kepada ketagihan juga atau anak perempuan yang bakal menjadikan lelaki yang ketagihan sebagai pasangannya.

Keluarga yang mempunyai individu yang mengalami masalah tekanan mental dan tidak mendapatkan rawatan mampu menghasilkan anak perempuan yang akan memilih pasangan yang mempunyai penyakit yang sama bila dewasa tanpa disedari olehnya.

Wanita yang dibesarkan dalam keluarga yang mempunyai masalah seperti “schizophrenics” atau “bi-polar” pula selalunya tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan tingkahlaku normal yang sepatutnya ada pada diri orang dewasa. Oleh itu, mengikut apa yang normal pada pandangan mereka, gadis ini akan menjadikan lelaki yang bermasalah sebagai ikutan kerana bersama lelaki seperti inilah dia dibesarkan.

Adalah satu perkara yang mustahil untuk kita memilih dalam keluarga mana kita ingin dilahirkan. Namun sebagai orang dewasa yang hidup hasil dari didikan dan suasana dalam keluarga kita, sebolehnya kemampuan untuk bersikap proaktif dalam mengenal pasti sekiranya kita mempunyai masalah emosi dan cara untuk menanganinya perlu ada.

Wanita yang mempunyai sejarah berkaitan perhubungan buruk yang kronik selalunya adalah mereka yang tidak dapat mengenal pasti kaitan di antara didikan yang diterima semasa kanak-kanak dengan cara mereka memilih lelaki pilihan mereka bila dewasa. Tanpa mengetahui perkara penting seperti ini, mereka selalunya akan berterusan dan sentiasa memilih jenis lelaki yang sama sahaja dan mereka tertanya-tanya apakah maksud tarikan itu dan kenapa selalunya mereka lebih tertarik dan bersama lelaki yang tidak baik dan bermasalah.

Pengaruh di zaman kanak-kanak kerap mempengaruhi corak wanita dalam memilih – lelaki yang telah berkahwin, lelaki yang mempunyai masalah ketagihan(alkohol, dadah, dsb), lelaki yang mempunyai masalah tekanan atau penyakit mental, lelaki yang mempunyai masalah emosi dan berbagai lagi jenis lelaki yang berbahaya. Pilihan terhadap lelaki seperti ini tidak berlaku begitu sahaja tanpa wujudnya sebab dalam hidup seorang wanita itu. Terdapat sesuatu dalam diri mereka yang tumbuh dan berakar umbi mengakibatkan mereka cenderung ke arah memilih lelaki seperti ini. Pola seperti ini terbentuk semasa dia masih kanak-kanak lagi dan bila dia dewasa dan mengikut pola seperti ini dalam hidupnya maka kaunseling diperlukan untuk membantu mereka melihat, memahami sekaligus membolehkan mereka keluar dari keadaan itu.

Corak pilihan wanita seperti ini juga boleh memberi kesan kepada anaknya kelak. Ramai wanita terutamanya di negara barat yang rasa bersalah dan tidak sanggup melihat anak mereka menjadi mangsa akibat tindakan mereka sendiri membuat pilihan yang salah pergi mendapatkan bantuan pakar. Kesedaran untuk mendapatkan bantuan pakar seperti ini masih lagi kurang di kalangan masyarakat kita di Malaysia.

Kanak-kanak yang telah melihat dan menyaksikan tindakan kasar atau ganas, dipukul atau didera oleh ayah/teman lelaki mereka adalah generasi seterusnya yang berpotensi sebagai mangsa atau mungkin juga menjadi pendera atau keduanya sekali bila meningkat dewasa.

Wanita yang sewaktu kanak-kanaknya dipukul atau didera lebih berkemungkinan untuk memilih teman lelaki/pasangan yang bersifat mendera(terhadap fizikal mahupun emosional) berbanding wanita yang tidak mengalami pengalaman sedemikian semasa kecil. Wanita yang sering didera ini sentiasa keliru dengan corak kehidupan mereka yang seperti ini. Mereka cukup PASTI bahawa mereka tidak mahu langsung berada dalam situasi yang sama seperti zaman kanak-kanak dahulu. Namun demikian, isu-isu dalam hati dan dirinya tentang pengalaman/trauma lalu yang masih belum sembuh itulah yang menarik mereka ke arah terjadinya corak pilihan yang mereka buat dalam berpasangan.

Dalam banyak hal, wanita selalunya cuba untuk menyembuhkan luka masa lalunya dengan memilih seseorang yang dirasakan mampu membawanya kembali ke saat isu yang belum sembuh itu berlaku. Ini dirasakan sebagai satu pemangkin oleh wanita tersebut untuk membolehkan dia menyembuhkan segala isu yang belum selesai dalam dirinya.

Kitaran corak dalam membuat pilihan yang merosakkan ini boleh terjadi daripada cara dan suasana kita dibesarkan. Namun, bila kita mula sedar, mula mengetahui masalah ini dan mula mengenal pasti keadaan kesihatan emosi diri sendiri, kefahaman tersebut akan membolehkan kita mengubah corak pilihan kepada pasangan yang sihat dan baik pada masa hadapan.

Apa saja pengalaman yang telah anda lalui dalam hidup yang lalu, anda berhak mendapatkan masa untuk membenarkan diri anda sembuh supaya anda dapat menikmati perhubungan yang lebih sihat dan bahagia di masa akan datang. Anda ubah pilihan anda, anda mengubah hidup anda!

No comments: