Follow Us @asrialigur

13 September 2010

Raya versi Pak Ajis, Kecik

PERSAMAAN antara Datuk Aziz Satar dengan duo Kecik yang dianggotai Iwan dan Achoe, juara Raja Lawak tahun ini adalah mereka golongan pelawak.

Namun ironi di sebalik profesion sebagai pelawak, Datuk Aziz yang senang disapa Pak Ajis, mahupun Kecik, kedua-duanya mempunyai pilihan dan persepsi sendiri tentang produk-produk yang disiarkan di kaca televisyen sepanjang Aidilfitri.

Jika Kecik senang untuk memilih menonton drama ringan atau komedi pada hari raya, Pak Ajis pula gemar menonton drama ‘berat’ yang mengandungi mesej tersendiri.

Pertembungan pendapat ini kemudian dilontarkan dengan persepsi masing-masing.

Menurut Pak Ajis yang menyambut raya di Kuala Lumpur kerana mengikut giliran beraya sebelah keluarga isterinya, drama berat dilihat mampu menginsafkan umat Islam tentang kesusahan yang ditempuh oleh golongan kurang bernasib baik.

“Sudah menjadi satu lumrah apabila setiap kali raya, kita dihidangkan dengan pelbagai drama sama ada komedi atau yang berunsur berat.

“Secara peribadi, saya suka menonton drama berat, misalnya kisah yang menyentuh tentang kesusahan atau kematian.

“Bukannya apa, dia bagus sebagai satu peringatan dan boleh menimbulkan keinsafan agar dalam suasana gembira meraikan hari bahagia ini, masih ada golongan yang tidak harus dilupakan,” kata Pak Ajis.

Sambung pelakon yang cukup terkenal dengan karakter sebagai Ajis dalam kebanyakan filem komedi hitam putih seperti siri Bujang Lapok, dia berpendapat, di Malaysia sebenarnya terhadap ramai orang susah yang patut diberi perhatian.

“Jadi dengan adanya drama-drama berat, sekurang-kurangnya ia mengingatkan kita bahawa ada banyak golongan kurang bernasib baik di luar sana yang patut diberi perhatian,” katanya.

Sementara Kecik yang memilih drama berunsur komedi pula berkata, mereka bukan cuba menidakkan mesej yang ingin disampaikan, namun mereka bersetuju menyatakan, hari Lebaran adalah hari yang patut disambut dengan gembira.

Lantas mereka mengharapkan agar kegembiraan itu dilempiaskan menerusi cerita-cerita yang menghibur dan tidak membebankan.

“Jujurnya kami memang kurang gemar menonton drama berat kerana lebih suka memilih drama bercorak ringan. Tapi kalau ada ditayangkan, kami tidak kisah menonton.

“Cuma pada pemikiran kami, raya adalah hari untuk kita bergembira. Jadi kalau boleh, biarlah kita menonton cerita yang ringan dan berbentuk komedi supaya kita tidak terbawa emosi sedih,” ujar Kecik.

Sementara itu, Kecik yang cukup teruja kerana dapat bergambar raya dengan pelawak idola mereka Pak Ajis sempat memberitahu mereka tidak ketinggalan meminta tip daripada pelakon hebat itu.

Kata Kecik: “Kami akan ingat pesanan Pak Ajis bahawa untuk menjadi pelawak yang baik, kami harus mengekalkan karakter yang spontan dan tidak berlakon dengan terlalu mengikut skrip.”

Nostalgia lagu raya Pak Ajis

Selalu merayakan hari raya di Singapura kerana pusara kedua-dua ibu bapanya di sana, Pak Ajis sewaktu ditanya tentang lagu raya kegemarannya, pantas pelakon tersohor ini menggamit nostalgia lama tentang lagu raya.

Memilih dua buah lagu raya lama iaitu Selamat Hari Raya dendangan duet Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan isterinya, Saloma serta Dam Dam Dum Bunyi Mercun nyanyian Saloma, kata Pak Ajis ada cerita tersendiri di sebalik lagu raya tersebut.

“Lagu Selamat Hari Raya mempunyai nostalgia tersendiri buat saya. Saya masih ingat, lagu itu diciptakan oleh P. Ramlee khusus kami nyanyikan beramai-ramai oleh kami yang menganggotai Persatuan Persama dalam sebuah persembahan pentas yang diadakan di Singapura.

“Sementara lagu Dam Dam Dum Bunyi Mercun pula saya kira amat cocok sekali untuk memberi gambaran tentang kemeriahan raya secara keseluruhan,” kata Pak Ajis yang menentang permainan mercun kerana ia merbahaya.

Raya pertama Kecik

Semua yang dilalui Kecik pada tahun ini adalah pengalaman pertama. Selepas melewati Ramadan dengan pelbagai agenda yang agak padat, Aidilfitri pertama Kecik sebagai artis disambut dengan meriah.

Menyambut raya di kampung halaman mereka di Sabah, Kecik yang muncul dalam beberapa program raya termasuk Lawaknya Fantasia Raya dan Tiga Budak Botak Dua Hari Di Hari Raya memberitahu mereka sedang cuba membiasakan diri sebagai anak seni.

“Kami sedang cuba membiasakan diri dengan rutin baru ini. Ini adalah pengalaman pertama kami berpuasa dan beraya sebagai artis dan kami teruja melalui pengalaman yang cukup seronok ini,” kata dua sahabat baik yang memberitahu makanan wajib pagi raya di kampung mereka adalah mi goreng.

Menurut Iwan dia bersyukur kerana dapat pulang berhari raya ke Sabah. “Kalau tidak, mengikut perancangan saya dan Achoe, kami mungkin menumpang berhari raya di rumah kawan-kawan Raja Lawak di Semenanjung sahaja,” katanya gemar menziarah teman-temannya menaiki bas.

Bercerita tentang sambutan raya tahun ini, tanpa berselindung Iwan memberitahu, inilah raya yang paling bermakna dan banyak merubah kehidupan mereka.

Ini kerana menurut Iwan, sejak tingkatan dua, dia tidak pernah mengganti baju raya kerana kesusahan keluarganya.

Malah tahun ini adalah tahun pertama dia mengeluarkan duit belanja untuk membeli kuih serta baju raya baru buat seluruh ahli keluarganya.

“Syukur kerana kemenangan kami dalam Raja Lawak telah banyak merubah kehidupan kami, terutama daripada segi ekonomi.

“Tahun ini, buat pertama kali saya membeli baru raya baru untuk seluruh ahli keluarga dan saya berasa cukup gembira kerana mampu berbuat demikian,” kata peminat lagu Pulanglah nyanyian Aishah yang akan mengalirkan air mata setiap kali mendengar takbir raya.

No comments: