01 August 2010

Yuna mantap

LAGAK persembahannya persis bintang antarabangsa. Bukan saja cemerlang dalam melontarkan vokalnya yang syahdu menusuk perhatian penonton, Yunalis Zarai (Yuna) bijak menguasai pentas dengan mengalun 15 lagu yang dipetik daripada album sulungnya hingga yang terbaru.
Malah, bagi menghidupkan lagi kehangatan malam Yuna Decorate, penyanyi yang baru saja memenangi Artis Baru Terbaik dan tiga lagi pengiktirafan untuk lagu ciptaannya di Anugerah Industri Muzik ke-17 baru-baru ini turut mengundang AG (Coco), Hanafi (Estranged), Mohd Sharhan serta tiga lagi pemuzik bagi mengiringinya malam itu.

Persembahan kira-kira dua jam itu diadakan bagi melancarkan album terbarunya berjudul Decorate yang menghimpunkan material terbaik gadis berusia 24 tahun ini.
Peluang terbang dan beraksi di bumi Uncle Sam pada penghujung Mac lalu memberi ruang buatnya menghasilkan koleksi 10 lagu, termasuk single pertama yang kini gigih mendaki carta stesen radio tempatan iaitu Gadis Semasa.

Yuna yang sempat berkongsi ceritanya sebaik tamat persembahan pada malam itu menyifatkan pentas eksklusif sempena album barunya itu sesuatu yang istimewa dan berharga buatnya.

“Istimewanya apabila semua peminat yang hadir malam ini diiktiraf sebagai mereka yang pertama dapat berkongsi warna-warni album baru ini, lebih-lebih lagi semua karya di dalam Decorate adalah satu usaha yang saya lakukan dengan merantau ke Amerika Syarikat.

“Decorate adalah satu naskhah yang sangat peribadi buat saya kerana ia boleh dianggap sebuah buku cerita atau biografi saya buat peminat.

“Ia dicoret atas pengalaman sendiri yang menyuntik nilai persahabatan, jatuh cinta, kehidupan dan segala-galanya yang ada dalam hidup saya sepanjang lebih tujuh tahun berkarya.

“Insya-Allah saya akan melancarkan siri promosi jelajah ke seluruh Malaysia bagi memperkenalkan Decorate buat peminat. Jika diberi keizinan, Decorate juga akan menembusi pasaran Amerika dan album itu nanti akan diterjemah dalam versi berbeza khusus untuk pasaran di sana,” katanya yang mengakui gementar di depan lebih 300 penonton pada malam Jumaat lalu itu.

Yuna Decorate yang dibahagikan kepada dua segmen membuka tirai dengan melodi indah, Someone Out Of Town sebelum meneruskan dengan deretan lagu yang mampu membuai perasaan penonton, termasuk Gadis Semasa, Rocket, Permission, Super Something, Greek Goddess dan Sparkle.

Segmen kedua pula selepas berehat selama 15 minit, Yuna yang juga graduan jurusan Undang-Undang daripada Universiti Teknologi Mara mencuri peluang terus menghiburkan dengan lagu yang pernah mengangkat namanya setinggi hari ini iaitu penyandang tangga kedua dalam Anugerah Juara Lagu 2009, Dan Sebenarnya yang mengundang jeritan seluruh dewan.

Penonton yang asyik menghayati alunan vokal penyanyi manis ini terus dihiburkan dengan lagu Fireworks, These Streets, Penakut, lagu yang menjadi antara kegemarannya, Coffee dan Ramdom Awesome.

Gadis yang sinonim menggalas gitar ini serasi memimpin gerak muzik di belakangnya untuk tampil ke depan menonjolkan sisi nyanyiannya yang memukau.

Tatkala Yuna menyampaikan lagu popular yang punya bait lirik puitis, Deeper Conversation dan sebuah lagu yang ditulis empat tahun lalu iaitu Cinta Sempurna, peminat tidak ketinggalan menyanyi bersama.
Ternyata, Yuna punya dimensi jenamanya sebagai penyanyi dan juga komposer muda yang tersendiri dan tinggi di liganya.
Yuna yang memperagakan dua persalinan mengikut personaliti juga cermin pada gaya karakternya tidak menyangka persembahannya tidak hanya dapat mendekatkan diri kepada penggemarnya, malah simbolik pada pengenalan album Decorate ini satu cenderahati buat mereka yang tidak henti-henti menyokong kerjayanya sejak tahun lalu.

“Sepanjang dua malam saya akan beraksi di pentas ini bagi menghiburkan peminat yang sudah lama rindukan persembahan saya memandangkan saya jarang berpeluang menyanyi secara eksklusif seperti ini.

“Alhamdulillah sambutan diterima sungguh menggalakkan dan saya terkejut dengan kehadiran mereka hingga ada yang sanggup terbang dari Singapura untuk berhibur bersama saya di sini.

“Paling penting, mereka terhibur dan berpuas hati,” katanya yang akan mula menjelajah kota London pula bagi mencari pasaran terbaru.

No comments :