15 August 2010

Vee cintai dua lelaki




DUA ulas bibirnya jarang lokek dengan senyuman. Sekalipun menyandang nama besar sebagai antara aktres terbaik Malaysia, Vanidah Imran, 36, tidak pernah membeza-bezakan kepada siapa senyumannya harus lebih manis atau kurang perisa.

Sehingga kini, berimamkan pemuzik yang juga pelakon popular, Rashidi Ishak sebagai suami, Vee masih seorang isteri dan ibu kepada dua cahaya mata.

Dia juga tidak sedikit pun berganjak daripada bidang seni. Baginya, wawasan untuk terus menjadi anak seni yang berkualiti sentiasa erat dalam genggaman.

Wanita yang mesra digelar Vee ini baru sahaja berehat selepas berhempas-pulas menjadi ratu panggung di Istana Budaya sehabisnya Cuci The Muzikal 2, 9 Ogos lalu.

Vee menyerikan ruang tontonan umum bukan hanya dengan kisah cinta bersama Hans Isaac di Istana Budaya, di kaca TV, dua drama bersiri lakonannya sedang mencuri hati khalayak peminat.

Lebih istimewa lagi, Vee menyintai dua lelaki dalam satu masa. Dia bercinta dengan hero senior Rosyam Nor dalam kisah cinta tragis Isabella di saluran Prima dan suaminya sendiri, Rashidi Ishak menerusi

8 Bulan di TV3.

“Saya senang bercinta dengan Abang Rosyam. Dia sangat pemberi, jadi secara tidak langsung keserasian antara kami cepat wujud,” jawab Vee tentang keserasiannya dengan Rosyam menerusi Isabella.

Disoal pula bagaimanakah dia melakonkan watak Isabella dan dalam masa yang sama menjaga statusnya sebagai seorang isteri dan ibu, Vee menjelaskan dia tidak pernah berhadapan sebarang masalah.

Berbeza dengan 8 Bulan, dia mengakui sungguh teruja kerana itulah kali pertama digandingkan bersama suami sendiri, Rashidi Ishak sebagai suami isteri dalam satu drama.

Kedua-duanya pernah bersatu dalam beberapa drama seperti Buih-buih Cinta dan filem Setem, tetapi tidak pernah memegang watak sebagai suami isteri.

“Sebelum ini tidak pernah ada tawaran yang benar-benar mahukan kami berlakon sebagai pasangan suami isteri sehinggalah Red Communications menawarkan watak untuk drama 8 Bulan itu,” kata Vee.

Bukan itu sahaja faktor penarik Vee dan Rashidi untuk menyertai 8 Bulan, konsep dan plot drama itu sendiri memaparkan realiti yang berlaku dalam perkahwinan memikat Vee untuk menerima watak Linda yang dipegangnya.

“Linda seorang yang sangat obses dengan kerja tetapi suaminya, Faizal pula seorang yang mengambil mudah urusan rumah tangga.

“Karakternya selamba dan ringkas, ada masanya mencetuskan konflik dalam perkahwinannya. Bagaimanapun, perangai Faizal mula berubah selepas isterinya mula mengandung.

“Itu menariknya,” komen Vee tentang drama yang kini ditayangkan setiap Ahad pukul 10.30 malam bermula 25 Julai lalu.

No comments :