Follow Us @asrialigur

09 August 2010

Raja Azura...'Kami hanya berbincang'

BILIK mesyuarat yang menjadi lokasi berlangsungnya sidang media khas Raja Azura berkenaan kemelut rumah tangganya agak sesak dengan kehadiran ramai wakil media. Semuanya sabar menantikan kehadiran pelakon dan penyampai radio Sinar FM ini sebaik menamatkan tugasnya untuk segmen Sinar Pagi bersama Khairil Rashid dan Salih Yaacob, Jumaat lalu.
Sidang media ini diaturkan dengan kerjasama Sinar FM supaya personaliti yang lebih mesra dengan panggilan Kak Engku ini menjawab segala desas-desus dan spekulasi yang hangat diperbualkan sekarang setelah dia dikatakan menghantar permohonan berkaitan rumah tangganya di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam pada 3 Ogos lalu.

Sebaik masuk dengan senyuman seperti yang ditunjukkannya selama ini, Raja Azura, 38, memberi salam kepada semua yang hadir dan menyatakan perasaan terkejutnya dengan bilangan media yang hadir. Dia turut ditemani Khairil dan Salih serta Pengurus Saluran Sinar FM, Rostam Said.

"Selalunya ada beberapa kamera saja yang ambil gambar saya. Kali ini memang banyak sangat. Rasa dah macam orang penting pula," katanya ceria seperti tidak gentar untuk berhadapan dengan media.

"Terlebih dulu, saya mohon maaf kepada semua wartawan yang selama dua hari ini tercari-cari saya. Saya tahu ramai kawan yang banyak bagi sokongan terhadap karier saya cuba hubungi dan SMS saya tapi tak berjawab. Saya buat begini bukan kerana nak diamkan diri tapi perlu waktu untuk berfikir.

"Tapi dalam pada itu, saya berterima kasih kepada pendengar dan peminat kerana banyak bagi sokongan menerusi facebook dan di radio. Saya kembali bertugas seperti biasa hari ini dan alhamdulillah, saya sudah bersedia. "Memang betul pada 3 Ogos lalu saya ke Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam bersama suami. Perbincangan itu dibuat secara tertutup. Saya tak boleh bercerita lanjut butir-butirnya kerana perlu menghormati banyak pihak lebih-lebih lagi keluarga mentua, keluarga saya dan suami, Adzmin Tan Sri Osman, 37.

"Ingin saya jelaskan, inilah kali pertama saya ke mahkamah setelah sembilan tahun berkahwin," katanya dengan nada tenang bercampur ceria.

Dia juga berkata, tujuan ke mahkamah bukannya untuk mencari jalan berpisah dengan suami, sebaliknya mencari perdamaian. Namun dia tidak menolak masyarakat cepat tersalah tafsir apabila mendengar perkara ini.

"Kadangkala orang takut pergi mahkamah syariah kerana ingat nak bercerai tapi rupanya tak. Mereka akan tahu di sana tempat yang paling baik untuk dengar penyelesaian kes rumah tangga. Sekiranya ada masalah, kita boleh tahu undang-undang perkahwinan kerana hakim akan mendengar masalah kita.

"Keadaan akan baik apabila kita menghormati perintah mahkamah. Saya masih duduk sebumbung dengan suami. Kehidupan kami berjalan macam biasa, saya masih masak untuknya dan makan bersama. Dalam rumah tangga, biasalah pergaduhan itu asam garam. Pergaduhan itu baik untuk memperbaiki hubungan.

"Perang dingin, pergolakan adalah biasa. Kita perlu berbincang dan kalau boleh bertahan, kita bertahan. Kalau tak boleh juga, kenalah pergi kepada saluran yang betul. Jika masih lagi tergantung tanpa penyelesaian, mengapa tidak ke mahkamah untuk tahu hukum. Jangan seorang pula yang bersusah payah sedangkan seorang lagi menolak.
"Rasanya keadaan boleh selesai. Insya-Allah kalau keegoan itu dibuang jauh-jauh. Sekarang suami setuju bincang. Kami perlu pergi lagi kaunseling dan kali kedua mungkin selesai. Dalam rumah tangga, setelah jumpa imam dan minta nasihat keluarga pun tak selesai juga, jalan terbaik tentunya ke mahkamah syariah. "Saya harap biarlah mahkamah yang buat keputusan dan saya turut berharap peminat dan kawan-kawan doakan kami kekal. Sebenarnya, tujuan kami ke mahkamah syariah ialah untuk berbincang. Kadangkala kita tak tahu hak wanita. Sebenarnya, jalan penyelesaiannya mudah. Kalau pergi kaunseling mahkamah akan buat keputusan. "Tujuan saya ke kaunseling kerana nak bertanya bagaimana nak beritahu suami kerana isteri ada hak dalam rumah tangga. Saya cuba elakkan perkara buruk kerana anak-anak sedang membesar dan tak nak mereka jadi mangsa. Saya masih sayang Adzmin," katanya yang mendengar nasihat ibunya supaya merujuk masalah rumah tangga mereka kepada majlis agama.

Azura berharap penjelasannya dapat menjernihkan kembali keadaan. Namun, dia tidak menolak jika masih ada pihak membuat andaian dan spekulasi mengenai rumah tangga mereka.

"Pada saya senang saja. Hidup saya mudah. Saya dah buat kenyataan, terpulanglah orang nak menilai macam mana. Saya suka bersikap jujur dalam hidup. Apa pun yang dilakukan, ikhlas lahir dari hati saya. Insya-Allah perbincangan ini dapat diselesaikan nanti dan saya sendiri akan beritahu keputusannya nanti kepada media. "Terus terang cakap, suami saya baik, lembut bicara, tak banyak cakap dan memahami karier saya. Kami saling hormat menghormati satu sama lain. Cuma ada sedikit perkara yang perlu kami minta panduan kerana hormat menghormati perlu ada batasan.

"Alhamdulillah, kami juga tak pernah bergaduh depan anak-anak. Keluarga tak masuk campur hal kami, namun mereka banyak bagi pandangan positif untuk betulkan rumah tangga. Yang lainnya, saya tak boleh komen banyak-banyak. Saya minta pihak media hormati permintaan saya kerana tak nak yang jernih akan jadi keruh," katanya.
Azura mengakui perlukan waktu untuk berehat memperbaiki kekurangan, namun dia menafikan mengambil cuti mengejut kerana melarikan diri daripada media. Katanya, dia bercuti kerana anak ketiganya, Puteri Mia Maizurah, 4, demam. Dua lagi anaknya ialah Megat Muhammad Raziq, 8, dan Megat Luqman Hakim,7. "Saya tak rasa tertekan dengan apa yang berlaku. Malah, suami ada hubungi saya sebelum masuk ke sini minta supaya tenang berdepan dengan media. Saya pun tak tersinggung benda ini dihebohkan kerana dah ada pengalaman dalam dunia artis. Saya hormati apa yang ditulis. Tapi saya diam kerana perlukan waktu untuk penjelasan.

"Sekarang saya dah jelaskan perkara sebenar, jika lepas ini lain yang ditulis, terpulanglah. Sebenarnya saya belum fikir sampai tahap yang buruk mengenai rumah tangga kami. Saya tak nampak pun perpisahan dalam rumah tangga kami. Saya tahu suami saya dan dia tahu kematangan saya. Demi Allah, kami masih satu kereta ketika pergi mahkamah
syariah," katanya.

No comments: