12 August 2010

Maya cabar buktikan gambar


BENARKAH ada pihak yang sengaja menghebohkan dan mencipta ‘permainan’ tentang hubungan cinta antara aktres yang baru bercerai, Maya Karin dengan aktor yang sebelum ini dikaitkan dengan dirinya iaitu Remy Ishak?

Jika benar, pihak tersebut tersalah langkah kerana gembar-gembur yang dilakukannya itu sebenarnya suatu rahmat buat dua pelakon itu dan juga produksi teater, Natrah musim kedua yang bakal dilakonkan mereka, khususnya dari segi publisiti.

Remy dan Maya sebelum ini pernah digandingkan dalam beberapa filem seperti Cun, Anak Halal dan pementasan teater Natrah musim pertama.

Namun semua gandingan mereka itu adalah sebelum Maya dan lelaki yang pernah bergelar suaminya, Muhammad Ali Abdullah bercerai.

Justeru, apabila Maya dan Remy digandingkan kembali buat kali pertama selepas perceraian Maya menerusi pementasan teater Natrah 2, suhu gosip hubungan mereka pun turut mendadak panas semula.

Gosip terbaru yang mengaitkan mereka berdua ialah apabila ada pihak mendakwa ternampak mereka di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Jakarta, Indonesia pada 1 Ogos lalu.

Namun, sikap profesional sebagai pelakon tidak membuatkan mereka cepat melatah dengan dakwaan dan tohmahan seumpama itu.

Malah, Maya dan Remy tidak kekok, kelihatan agak mesra dan ada ketikanya saling bertentangan mata ketika dirakam bersama pada sidang media Natrah 2.

Cuma Maya dengan tegas mencabar pihak yang membuat tohmahan tersebut tampil bersemuka dengan dirinya serta menampilkan bukti bergambar.

“Kalau betul ketika itu dia berada di sana (lokasi Maya dan Remy dikatakan bersama di Indonesia) kenapa tidak mahu ambil gambar,” tegas Maya.

Tambahnya: “Saya ingin bersemuka dengan pihak yang membuat dakwaan bahawa saya dan Remy berdua ke Jakarta.”

Maya menjelaskan lagi, dakwaan itu sememangnya tidak benar kerana pada waktu itu dia sedang menjalani pengambaran filem terbaru arahan Osman Ali Ombak Rindu di Thailand.

“Jika ada pihak yang tidak percaya mereka boleh menghubungi Osman Ali sendiri. Saya menafikan dakwaan itu seratus peratus kerana pada waktu yang dimaksudkan saya dan Remy berada di dua lokasi yang berbeza,” ujarnya.

Remy turut menafikan dakwaan tersebut dengan mengemukakan pula ‘bukti’ bahawa pada waktu yang dimaksudkan dia sedang menjalani pengambaran di sekitar Kuala Lumpur.

Menurutnya, dia ada mendengar khabar berkenaan itu sebelum ini tetapi dia enggan untuk mengambil tahu mengenainya kerana menganggap perkara itu sebagai gurauan sahaja.

“Namun selepas (gosip) keluar di akhbar saya terkejut. Saya tak tahu apa agenda dia (sumber tersebut) buat macam ini.

“Mungkin juga dia cuba mencipta permainan melalui dakwaan gosip itu,” katanya ketika ditemui pada sidang media teater Natrah 2 di Istana Budaya baru baru ini.

Tambah Remy, pada mulanya dia tidak mempedulikan gosip-gosip tentang dirinya dan Maya kerana menganggap ia umpama cabaran yang harus ditempuhi dalam dunia hiburan.

“Tetapi bila ibu saya sudah mula berbicara mengenainya ekoran apabila orang kampung asyik bertanya tentang hal itu kepadanya, perkara itu sedikit sebanyak menjadi beban,” akuinya yang akan menamatkan zaman bujangnya bila sampai seru.


No comments :