Follow Us @asrialigur

08 August 2010

Jehan puas dalam bidang lakonan

BERSANDARkan lebih 20 judul drama televisyen serta membintangi enam filem sepanjang hampir tujuh tahun bergelumang dalam dunia seni sudah cukup untuk mencetus keberanian dalam diri aktor, Jehan Miskin duduk di kerusi penerbit pula.

Jika kekal di takuk lama rutinnya masih sama, di mana berulang-alik ke lokasi penggambaran, membaca dan menghafaz skrip serta beraksi depan kamera.
Sesekali pasti rasa bosan menyelubungi diri. Justeru, dia mengidamkan gelaran penerbit dan berkat usaha keras, hasrat itu berjaya direalisasikan.

“Saya minat kerja penerbitan sebelum menceburi dunia lakonan. Bidang ini bukan baru bagi saya kerana pernah bergelar penerbit eksekutif ketika bertugas di sebuah syarikat penerbitan.

“Sampai masanya saya bergiat secara serius. Alhamdulillah pengalaman sepanjang bergelar pelakon dapat dijadikan panduan menubuhkan syarikat penerbitan, Mastermind Group Sdn Bhd.

“Menerusi syarikat ini saya bergabung dengan seorang lagi rakan kongsi yang menaungi syarikat Shiroku Productions menghasilkan telefilem berjudul Buta Warna.

“Saya memandang jauh usaha ini dan sentiasa mencari jalan untuk mengukuhkan nama Mastermind Group supaya dapat menerbitkan lebih banyak projek berkualiti di masa akan datang,” katanya yang ditemui di majlis pelancaran filem terbaru arahan Mamat Khalid, Apokalips.

Dianugerahkan wajah kacak dan tubuh menarik, Jehan antara aktor muda paling menonjol. Baik ketika beraksi sebagai pelakon mahupun di pentas peragaan, anak jati Pulau Mutiara ini sentiasa memastikan penampilannya segar untuk tatapan peminat.
Meskipun belum pernah meraih sebarang pengiktirafan dalam hasil kerjanya, Jehan bersedia mengatur strategi bagi memastikan terus kekal dalam persada seni tanah air.

Bintang utama Qaisy & Laila, Gong, Nana Tanjung dan Skrip 7707 ini mengakui mula berasa penat untuk menyeimbangkan kerjayanya.
Bukan kerana tidak menang tangan memenuhi undangan berlakon, sebaliknya terpaksa pikul status usahawan mula berdepan masalah pembahagian masa.

“Memang penat bila terkejar-kejar memikul dua komitmen besar dalam masa sama. Mana tidaknya, sebelah malam sibuk di lokasi Apokalips yang menuntut saya menjayakan pelbagai aksi lasak dan sebelah paginya pula saya perlu bergegas ke pejabat untuk memantau kerja kakitangan.

“Ada kalanya rasa macam nak pengsan sebab terlalu penat. Pun begitu saya gembira dan puas kerana kesibukan ini mampu mengasah kecekapan saya baik daripada aspek pentadbiran mahupun lakonan yang menjadi karier nombor satu saya,” katanya.
Tahun 2011 bakal menyaksikan lima filem lakonannya menjengah panggung. Biarpun gementar menantikan reaksi penonton, perkembangan ini diharap dapat menyerlahkan lagi kariernya.
Dia tidak lupa menzahirkan rasa syukur watak Benjy yang dihidupkan dalam drama popular, Awan Dania, membuka mata banyak pihak.
Sejak siri itu ditayangkan, rezekinya semakin murah hingga ada tawaran terpaksa ditolak secara baik kerana berlaku pertindihan jadual.

“Saya antara insan paling gembira apabila dimaklumkan Awan Dania akan diterjemahkan ke layar perak. Siri ini mendapat sambutan luar biasa dan saya sangat bertuah apabila ramai suka watak Benjy.

“Tahun depan lima filem lakonan saya akan menemui peminat. Awan Dania The Movie akan ditayang sebelum filem Cun arahan Osman Ali. Tiga lagi filem ialah Tolong, Awek Aku Pontianak; Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) dan Apokalips.

“Gemuruh juga menanti maklum balas peminat kerana dalam setiap filem itu saya tampil dengan watak berbeza. Insya-Allah, HMM akan membuktikan saya bukan pelakon yang bersandar rupa semata-mata,” katanya yang pernah dicalonkan Pelakon Harapan Lelaki Festival Filem Malaysia ke-18.

No comments: