01 August 2010

Jason Derulo cetus histeria

BELUMPUN surut bahang jeritan lebih 18,000 peminat menyaksikan konsert penyanyi terkenal kelahiran Texas, Amerika Syarikat, Usher di Stadium Nasional Bukit Jalil Kuala Lumpur, malam Rabu lalu giliran bintang baru, Jason Derulo pula menghiburkan peminatnya.

Usah membandingkan bintang berusia 20 tahun kelahiran Miami ini dengan Usher kerana jalur pengalaman dan usia pembabitannya di gelanggang seni antarabangsa masih terlalu hijau.

Namun jika dinilai daripada perspektif bintang baru yang hanya bersandarkan sebuah album semata-mata, Jason antara penyanyi berpotensi besar menggantikan barisan penghibur R&B sedia ada.

Ibarat cermin kepada Usher, bintang yang popular menerusi lagu Watcha Say hingga mencatat rekod muat turun iTunes melebihi 700,000 dalam tempoh kurang seminggu diputarkan ini mempertaruhkan vokal bertenaga lengkap dengan gerak tari sempurna serta menonjolkan sisi tubuh badannya bagi memancing jeritan peminat.

Cuma menang berpihak kepada Jason apabila melangkaui keberanian Usher dengan mengoyakkan pakaiannya dan menyanyi tanpa berbaju. Ternyata percubaannya berkesan hingga memukau setiap inci kelab itu dengan jeritan.

Persembahan ringkas yang melengkapkan lagi destinasi konsert jelajahnya bagi mempromosi album sulung berjudul Jason Derulo ini mempunyai dinamik pementasan bintang baru tanpa henti.

Jason bijak mengatur agenda malam itu dengan menyusun rangkaian lagu hitnya tanpa dijangka peminat setianya.

Membuka tirai persembahan dengan mendendangkan lagu The Sky’s The Limit, bintang yang dulunya komposer berbakat besar ini hebat menguasai pentas.

Jason seterusnya menjerat minat penonton tidak berganjak dengan lagu yang kini hangat menduduki carta teratas stesen radio seluruh dunia iaitu Riding Me. Lagu What If dan Love Hangover pula menyusur sebelum Jason menyampaikan lagu yang memperkenalkannya di pentas nyanyian iaitu Watcha Say. Terakhir sebelum meninggalkan pentas, lagu In My Head menjadi habuan kemuncak buat pengunjung kelab.

Derulo pernah menulis melodi untuk beberapa bintang terkenal termasuk Lil Wayne, Sean Kingston, Pitbull, P Diddy, Danity Kane dan Iyaz.
Menariknya, karya sentuhannya jarang gagal di pasaran selain melodi garapannya pasti singgah di tangga teratas carta utama seluruh dunia.

Album sulungnya yang dipasarkan awal tahun ini mendapat sambutan baik peminat muzik dunia hingga penyanyi yang mengangkat konsep pop, R&B, hip hop dan kontemporari moden menerusi karya sulungnya ini menerima pelbagai pengiktirafan.
Malah album ini yang menghimpunkan semua karya ciptaannya sendiri turut mendapat reaksi positif daripada peminat tempatan.

Ketika ditemui di majlis sidang media beberapa jam sebelum konsert berlangsung, Jason yang bakatnya dikesan juri program realiti popular, American Idol yang juga Timbalan Pengerusi A&R Warner Bros, Kara DioGuardi sempat berkongsi cerita mengenai album pertamanya.

“Bukan sehari saya menghambakan diri bagi menghasilkan album ini. Maklumlah, sebelum ini saya banyak terbabit dalam pembikinan album untuk bintang lain dan rasanya memang berbeza apabila bersengkang mata menyiapkan karya sendiri pula.

“Lapan bulan saya berkurung di dalam studio dan bekerja selama 20 jam tanpa henti setiap hari bagi menghasilkan lebih 300 melodi untuk album ini. Kemudian, daripada ratusan lagu itu saya pilih sembilan lagu.

“Selain yakin album ini mampu menepati selera pendengar hari ini dan memberi sesuatu yang berbeza buat peminat muzik seluruh dunia, saya akan pastikan showcase di Malaysia berjaya mengumpul lebih ramai peminat baru untuk terus menghargai muzik ciptaan saya.

“Yang jadi keutamaan saya adalah kepuasan peminat yang sanggup datang memberikan sokongan,” katanya.

Menjadikan Michael Jackson sebagai idola yang menyuntik inspirasi dalam penciptaan lagu serta pembentukan personalitinya sebagai penyanyi, Derulo mula menulis lagu ketika berusia lapan tahun berjudul Crush On You dengan hanya menggunakan piano.

Bakat itu terus diasah dengan mencipta lebih banyak melodi hingga mendapat perhatian pihak syarikat rakaman yang berminat mendapatkan lagu ciptaannya.

No comments :