10 August 2010

Fazura takut jumpa media


Fazura takut jumpa media

LAMA tidak bertemu pelakon yang seorang ini - Nur Fazura Sharifuddin. Kali terakhir namanya menyemai sensasi apabila dikaitkan bercinta dengan kerabat diraja. Semarak isu tersebut, Fazura lebih senang membisu. Tidak ada kenyataan balas, tidak ada apa-apa. Ia kemudian sepi begitu sahaja.

Ironi bukan pertama kali isu percintaan Fauzra dengan beberapa lelaki yang dianggap tergolong dalam golongan ‘orang besar’ dihebahkan. Sejak tahun pertama menjejak kaki dalam lapangan ini, isu berantai itu tidak pernah putus. Namun tak ada satu pun yang lekat. Semuanya gara-gara sikap bijaksana wanita berusia 27 tahun ini mematikan semarak api tersebut.

Bersua dengannya pada acara pelancaran himpunan eksklusif Aidilfitri pereka busana Rizman Huzaini baru-baru ini, Fazura yang masih ramah dan manis senyuman mengaku dia kini bimbang berhadapan media. Apa lagi memberi kenyataan. Takut disalah erti oleh banyak pihak yang membaca, terutama pada isu jodoh dengan lelaki yang bakal menjadi payung hidupnya satu masa kelak.

“Jujur, saya sekarang sedikit takut nak buka mulut pada media. Takut salah cakap,” katanya. Membiarkan dia membuang kebimbangan yang diluahkan, Fazura kemudian mula selesa.

Saya tanya Fazura persepsi tentang dirinya yang selalu dikaitkan dengan lelaki golongan berada. Dia senyum dan kemudian memberi alasan rasional.

Katanya sebagai wanita biasa, dia juga berkawan dengan golongan lelaki biasa. Dia juga tidak memilih darjat untuk bercinta kerana bukan harta benda yang dikejar untuk sebuah kebahagiaan. Sebaliknya sifat saling memiliki, menghormati dan kefahaman yang selari.

“Saya bukan hanya bercinta dengan orang berada. Saya juga pernah bersama degan lelaki biasa. Soal jodoh bukan urusan saya kerana saya tidak pernah mengejar cinta lelaki kaya atau kerabat misalnya.

“Ia terjadi secara semula jadi. Ini kerana saya percaya, kekayaan tidak boleh menjamin kebahagiaan. Ya, wanita harus berdamping dengan seorang lelaki yang stabil. Saya kata stabil, bukan kaya raya dan apabila saya kata saya juga memerlukan lelaki yang stabil, jangan kata saya meterialistik.

“Sebaliknya kita harus realistik. Tidak ada wanita yang ingin berkahwin misalnya dengan seorang penganggur. Tapi sekurang-kurangnya harus mencari lelaki yang stabil. Begitu juga saya,” hujah anak ketiga daripada empat beradik ini bersungguh-sungguh.

Ditanya tentang cintanya dengan kerabat, rapat Fazura mengunci mulut. Dia tidak mahu memberi sebarang kenyataan sama ada ya atau tidak kerana mahu mengelak kontroversi atas silap persepsi masyarakat nanti.

Namun saat ditanya tentang perancangan berkahwin memandangkan usianya semakin meningkat, pelakon yang cukup hangat dengan karakter bersahajanya dalam filem Pisau Cukur ini memberitahu, dia juga tidak tergesa-gesa untuk berkahwin.

Mengaku sudah mempunyai kekasih, namun itu bukan tiket untuk dia berkahwin dalam tempoh terdekat. Malah falsafah pelakon kelahiran Pekan, Pahang ini, percintaan tidak semestinya berakhir dengan sebuah perkahwinan. Sebaliknya dia senang berpegang kepada takdir kalau jodoh pasti tak ke mana.

Berhenti berlakon

Mengaku sedikit tertekan dengan isu yang selalu diusung sedang dia berusaha menjernihkan keadaan dengan tidak mengundang kontroversi, Fazura memikirkan untuk berhenti berlakon - satu-satunya bidang yang amat dicintainya.

Meninggalkan dunia lakonan kata Fazura bagaimanapun bukan bermakna dia akan mengucapkan selamat tinggal buat peminatnya. Dia akui, selain kepercayaan yang diberi orang industri terhadapnya, sokongan peminat membuat hatinya berbelah bagi untuk bersara.

“Tapi bukan sekarang. Saya tak tahu bila. Barangkali ia akan berlaku secara perlahan-lahan. Mungkin salah satu faktor selain mahu menutup kisah-kisah yang kurang baik, saya juga sebenarnya sudah lama tidak berlakon,” katanya serius.

Dia kemudian pantas menyambung kembali: “Harap jangan ada yang buat spekulasi pula yang saya mahu berhenti berlakon kerana mahu berkahwin ya. Belum, saya belum mahu kahwin.

“Saya juga tak berhenti berlakon kerana mahu kahwin. Sebaliknya saya memikirkan untuk membuka perniagaan sebagai jaminan masa hadapan. Namun ini semua hanya satu rancangan, saya tidak berani kata ia akan menjadi kenyataan atau tidak.”

Sementelah kata Fazura lagi, banyak tawaran berlakon yang datang selepas filem Pisau Cukur ditayangkan. Itu sebagai bukti bahawa dia masih mempunyai pasaran dalam industri. Justeru itu juga hatinya masih berbelah bagi untuk berhenti.

“Alhamdulillah, saya masih mendapat banyak tawaran berlakon terutama drama. Namun kebanyakan karakter yang ditawarkan menjurus kepada watak perempuan simpanan atau wanita penggoda, saya terpaksa menolak setiap tawaran yang diberi.

“Bukan saya sombong, tapi saya akui saya memilih sekarang ini. Saya memang menjauhi watak sedemikian agar imej saya tidak terus-menerus dikaitkan sebagai wanita dengan sikap seperti itu,” katanya yang bagaimanapun tidak akan menolak tawaran yang mampu membawa impak positif kepada masyarakat.

1 comment :

BUJANG SUSAH said...

Salam ramadhan dari saya buat anda sekeluarga moga mendapat keampunan dan keberkatan dari-Nya di bulan penuh rahmat ini