04 August 2010

Ella kunci mulut

DALAM usia 44 tahun, pastinya Ratu Rock, Ella sering ditanya bila mahu menamatkan zaman dara. Bukan tidak pernah timbul cerita mengenai percintaannya dengan seseorang, malah bakal berkahwin dengan jejaka pilihan. Namun sehingga kini, Ella atau nama sebenar, Nurzila Aminuddin masih membujang.

Terbaru, timbul gosip Ella hangat bercinta dengan jejaka muda yang dikenali sebagai Elan, 28, atau nama sebenarnya, Elan Hasyim Abd Rahman. Bibit percintaan mereka dikatakan bermula tahun lalu ketika Elan bekerjasama dengan Ella menghasilkan kulit album kompilasi penyanyi itu.

Ketika diajukan lebih lanjut mengenai perhubungan mereka, Ella cuba mengelak dan memberi jawapan selamat, no comment! Ternyata Ella memilih untuk berdiam diri mengenai cinta barunya ini, mungkin tidak mahu kisah lama berulang kembali apabila dirinya dituduh sengaja menjaja cerita kisah peribadi untuk menarik perhatian media.

Apabila mendapat ucapan tahniah dan mendoakan cepat bertemu jodoh, dalam nada bergurau, penyanyi ini menjawab Insya-Allah dan minta doakan agar jodohnya sampai.

Ella juga hanya tersenyum penuh makna apabila diusik mengenai aksi manjanya dengan Amir, pemain gitar utama yang mengiringi persembahannya ketika menjayakan konsert 1Malaysia Love Music sempena KL Tower Music Fest 2010 yang berlangsung di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini. Lebih-lebih lagi apabila Amir membuat kejutan buat Ella ketika jam melepasi 12 tengah malam, menandakan sambutan ulang tahun
kelahiran Ella pada 31 Julai. Secara spontan, semua pihak menyanyikan lagu Selamat Harijadi buatnya.

Ternyata Ella mengunci mulutnya dengan rapi mengenai cerita peribadi.
Apa yang jelas, Ella memang hebat dan membuat penonton terpegun melihat aksi lincahnya di pentas. Ternyata usia bukan penghalang kerana sepanjang 45 minit persembahan tanpa henti, tidak nampak langsung riak kepenatan di wajahnya. Suaranya tetap merdu seperti dulu.

Dalam konsert itu, Ella membuka pentas dengan lagu rancak Permata Pemotong Permata (PPP) dan mendapat sorakan meriah daripada peminat. Seterusnya, dia menghiburkan dengan barisan lagu popularnya iaitu Dua Insan Bercinta, Bayangan, Nuri, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Pengemis Cinta dan lagu baru, Menghilang. Semua peminat turut sama menyanyi bersama Ella.

Kepada peminat yang mengikuti perkembangan penyanyi ini, malam itu penuh nostalgia kerana pasti terimbau semula kenangan lalu. Biarpun tidak banyak berinteraksi dengan mereka, peminat yang hadir tetap puas dengan persembahan Ella dalam konsert yang turut menampilkan Amuk, XPDC dan MAY itu.
Kata Ella, dia tiada masalah beraksi lincah kerana mengamalkan penjagaan kesihatan. Malah, gandingan yang baik dengan pemuzik pengiring turut memantapkan lagi persembahannya.

“Saya selalu buat latihan dengan pemuzik yang sama, jadi kami ada keserasian untuk buat yang terbaik dalam konsert ini. Lagipun menghiburkan peminat adalah sebahagian daripada kerja saya. Selain banyakkan latihan, saya juga kurangkan makanan pedas dan terlalu manis. Selain itu, tidur yang cukup juga penting untuk saya.

“Apa pun dalam setiap pekerjaan, minat itu sangat penting. Setiap kali beraksi, saya pasti akan berikan yang terbaik. Saya gembira dapat berkumpul bersama-sama artis seangkatan kerana biasanya saya hanya buat show sendirian. Peluang sebegini tak selalu datang,” katanya.

Ella yang sudah 25 tahun menyanyi, mengakui banyak perancangan yang akan dibuatnya seperti menghasilkan album terbaru. Sepanjang Ramadan, Ella akan berkurung di studio menyiapkan album terbarunya bersama Warner Music

No comments :