05 August 2010

artis dapat cek tendang

Beberapa kumpulan muzik indie dan penyanyi solo dikatakan menjadi mangsa penipuan penganjur konsert KL Music Fest 2010 apabila mereka tidak menerima pembayaran dijanjikan, sebaliknya hanya mendapat cek tendang.

TIDAK DIBAYAR...penyanyi jemputan MUH, Hazama dan Noor Inarah menunjukkan laporan polis.

Antara artis yang terbabit menjayakan konsert selama tiga hari bermula 30 Julai itu termasuk Meet Uncle Hussain (MUH), May, Amuk, Radhi OAG, Bunkface, Ella dan Pesawat.Bagaimanapun, setakat ini hanya pihak pengurusan MUH membuat laporan polis berhubung perkara itu di Balai Polis Tun Dr Ismail, di sini, semalam.

Pembantu Pengurus The Archive iaitu syarikat pengurusan MUH, Noor Inarah Sidek berkata, pihaknya membuat perjanjian dengan penganjur konsert itu pada pertengahan Julai lalu dan dijanjikan pembayaran pendahuluan sebanyak 50 peratus diikuti bakinya secara tunai sejam sebelum membuat persembahan.“Ini kali pertama kami berurusan dengan penganjur itu dan dia bersetuju dengan syarat kontrak yang kami sediakan. Pendahuluan memang diberi, tetapi bakinya diberikan dalam bentuk cek.“Cek itu bagaimanapun tidak boleh ditunaikan manakala penganjur terbabit gagal dihubungi,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, selain MUH, artis lain yang terbabit dalam konsert itu turut mengalami nasib sama, tetapi tidak diketahui sama ada mereka membuat laporan polis atau tidak.“Perkara ini cukup mengecewakan kami kerana hak kami dinafikan. Kami sudah melakukan yang terbaik, tetapi usaha itu dibalas dengan penipuan,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan dan Pengurus Media Menara Kuala Lumpur (MKL), Afaf A Mubarak berkata, pihaknya tidak terbabit langsung dengan penganjuran konsert itu dan hanya menyediakan lokasi kepada penganjur.


“Penganjur datang dengan kertas cadangan mengenai konsert ini dan menyatakan sudah menyediakan semuanya termasuk barisan artis yang akan buat persembahan.“Disebabkan kami menyediakan tapak, maka kami minta penganjur terbabit meletakkan KL Tower Music Fest 2010 sebagai nama konsert ini. Beberapa tahun sebelum ini memang kami kendalikan sendiri konsert indie tapi kali ini diuruskan penganjur itu.“Apabila berlaku masalah pembayaran, timbul salah faham di kalangan artis kerana menyangka kami terbabit sebagai penganjur. Namun, kami tetap keluarkan kos sebanyak RM25,000 untuk penyediaan pentas.“

Apa tidaknya acara sudah dihebohkan, tapi penganjur tidak buat pembayaran. Kami terpaksa berbuat begitu kerana tidak mahu menanggung malu. MKL sangat kecewa kerana sebelum ini tidak pernah berlaku masalah demikian,” katanya yang dihubungi semalam. Afaf berkata, pihaknya kesal dan kecewa kerana penganjur gagal memenuhi semua janji yang dipersetujui sebelum ini.

No comments :