16 August 2010

Aida nekad


HANYA Tuhan yang tahu isi hati wanita bernama Khalidah Adibah Ahmad atau Aida Khalida yang sebelum ini dikenali juga sebagai Aida Rahim dan Aida Radzwill.

Dua kali berkahwin tetapi malangnya perkahwinan pertama berakhir dengan penceraian begitu juga dengan perkahwinan keduanya bersama penyanyi dan pelakon, Joe Radzwill, 39, yang umpama retak menanti belah.

Bertemu dengannya pada majlis sidang media program Ramadan dan Merdeka di RTM baru-baru ini, wanita berusia 53 tahun itu sebolehnya enggan bercakap tentang kes tuntutan fasakhnya yang masih berjalan di mahkamah.

Namun, setelah dipujuk, akhirnya Aida membuka sedikit cerita tentang masalah yang melanda dirinya namun dengan syarat jangan sesekali memburukkan nama bekas suaminya itu.

Dia akui, mereka kini masih tinggal sebumbung sebagai pasangan suami isteri yang sah. Namun katanya, mereka sudah tidak sehaluan seperti dahulu. Hanya takdir yang akan menentukan jodoh mereka kelak walaupun kata Aida dia nekad untuk berpisah.

Ini kerana menurut Aida, seburuk-buruk Joe, lelaki itulah yang melengkapkan hidupnya selama lapan tahun dan bersama lelaki itu jugalah dia pernah merasai saat manis hidup sebagai seorang isteri.

“Sekarang meskipun kami tinggal sebumbung tetapi suasananya tidak sama seperti dulu. Kami berdua buat hal masing-masing sementara menunggu proses tuntutan fasakh saya terhadap Joe berjalan di mahkamah.

“Kes itu akan dibicarakan pada 2 September depan. Bagaimanapun, kalau boleh saya mahu berpisah dengan cara baik dan tertutup. Saya tidak mahu masalah kami menjadi tatapan umum,” katanya dalam nada perlahan.

Dalam sedikit emosi, katanya hati wanita mana yang mahu berpisah setelah bergelar isteri. Tidak terlintas di hatinya untuk bercerai sekali lagi selepas kegagalan perkahwinan pertamanya.

Tidak serik kahwin

Lapan tahun bersama Joe, ucap Aida hanya empat tahun dia benar-benar bahagia bersamanya. Empat tahun selepas itu, perkahwinan yang bahagia mula berantakan.

Satu persatu masalah datang menjelma. Sebagai isteri, Aida bertahan dan berdoa agar perkahwinannya itu berkekalan.

Selepas sekian lama, hati lembut Aida nekad untuk mengakhiri segala permasalahan yang melanda perkahwinannya iaitu menuntut fasakh sekitar April lalu,

“Keputusan yang saya ambil ini bukan dalam tempoh yang singkat tetapi sudah lama saya fikirkan baik buruknya. Ada sebabnya mengapa saya mengambil keputusan itu.

“Saya nampak banyak perubahan apabila saya tuntut fasakh, Joe memang ingin berbaik balik dengan saya, siapa yang tidak mahu berbaik semula.

“Saya berdoa dan minta pertunjuk daripada Allah. Saya yakin dan nekad dengan jalan yang saya ambil sekarang ini. Apa keputusannya saya belum mampu untuk menjawabnya. Nantikan sahaja keputusan mahkamah nanti,” katanya yang bernikah dengan Joe di Yala, Thailand pada 6 November 2002.

Disoal tidakkah dia serik dengan perkahwinan sementelah usianya semakin meningkat. Menjawab kepada persoalan itu, Aida tersenyum lalu berkata: “Saya tidak serik dengan perkahwinan. Saya menganggap ia sebahagian daripada ujian Allah. Ini jalan saya yang sudah ditakdirkan dan saya terima dengan reda. Ada hikmah sebalik kejadian yang berlaku.”



No comments :