Follow Us @asrialigur

16 July 2010

Serina sarat tetap ligat


JIKA orang lain mengalami alahan teruk ketika mengandung hingga ada yang dimasukkan ke hospital, pelakon Serina Redzuawan pula bertuah kerana proses kehamilannya mudah tanpa sebarang masalah.
Sejak awal mengandung hinggalah usia kandungannya mencecah enam bulan, Serina, 26, juga menikmati saat indah dan manis sepanjang mengandung anak sulungnya itu. Anak tukang masak terkenal Datuk Chef Wan ini bersyukur kerana dikurniakan kesihatan yang baik sepanjang mengandung. Walaupun, disajikan pelbagai makanan ketika penggambaran program Jalan-Jalan Cari Makan, paras gula dalam darahnya tidak naik. "Cuma berat badan saya mencecah 75 kilogram sekarang. Bagi menjaga kesihatan kandungan, saya juga selalu naik turun tangga dan berenang.


"Saya tidak percaya wanita mengandung hanya berehat di rumah semata-mata. Saya juga tidak memanjakan diri sebab mengandung sebaliknya sentiasa bersemangat untuk terus bekerja. "Ada orang cakap, saya tidak nampak seperti wanita mengandung kerana masih aktif dan boleh berjalan laju serta naik turun tangga seperti orang lain.


"Bayangkan, saya masih boleh naik bot untuk menangkap ikan bilis ketika menjayakan penggambaran program Jalan-Jalan Cari Makan sebelum ini," katanya. Serina berkata, dia bertuah kerana suaminya, Gavin Edward O'luanaigh atau Salahudin Ghaffar, 33, yang juga Pengarah Eksekutif, FootballFocus Sdn Bhd juga melayannya seperti puteri sepanjang tempoh mengandung. "Saya memang teringin nak makan macam-macam, tapi semuanya bermusim. Contohnya, bulan ini saya nak makan mangga, bulan depan nak makan rojak atau durian pula. "Suami juga memang rajin melayan selera makan saya dan dialah yang akan memasak apa yang saya nak makan di rumah. Antara sajian yang suami pernah masak untuk saya ialah Mi Ala Itali dan stik.
"Suami memang memanjakan saya di rumah, sekejap dia mengurut badan dan sekejap lagi dia nak mengurut kaki saya. Terus terang, saya cukup bahagia kerana kehadiran anak semakin mengeratkan kasih sayang kami suami isteri," katanya. Mengenai jantina anaknya, Serina berkata, hasil pemeriksaan kandungannya di Prima Nora Taman Tun Dr Ismail, dia dan suami bakal mendapat anak lelaki. Serina juga dijangka bersalin pada Oktober nanti dan dia juga memilih untuk melahirkan anaknya itu di Prince Court.


"Suami yang paling gembira kerana dia memang inginkan anak lelaki kerana dia memang minat bola. Saya juga begitu. Sebagai bakal ibu, apa yang penting bayi yang dilahirkan nanti sihat dan cukup sifat. "Sebagai persediaan bergelar ibu dan bapa, kami membaca buku berkaitan penjagaan bayi dan bakal menghadiri kursus penjagaan dan penyusuan susu ibu di hospital nanti. Apapun, saya berdoa semoga melahirkan anak saya ini secara normal dan tidak berhadapan sebarang masalah nanti," katanya. Tambah Serina, papanya juga cukup mengambil berat kesihatannya dan cucunya itu. Chef Wan sering bertanya khabar perkembangan Serina dan bayinya menerusi e-mel dan khidmat pesanan ringkas (SMS). Ternyata Cheaf tidak sabar hendak menimang cucu sulungnya.


Dalam perkembangan lain, Serina dan abangnya, Chef Riz akan menjual kuih raya 'air tangan' mereka sendiri, tahun ini. Kata Serina, dia memang minat berniaga dari dulu lagi kerana mewarisinya dari keluarga. "Baru sekarang saya dan abang berpeluang menceburi bisnes kuih raya. Peminat juga boleh menempah kuih dari Facebook kami nanti. Bisnes kuih raya ini memang tiada kaitan dengan papa kerana ia idea kami sendiri," katanya. Bagaimanapun, kata Serina, dia berasa serba salah untuk beraya di Kuala Lumpur atau di kampung halamannya di Pahang pada tahun ini kerana kandungannya mencecah lapan bulan ketika menyambut Syawal. "Sebagai bakal ibu, macam-macam yang saya fikir kerana kandungan saya sudah sarat ketika itu. Mungkin saya dan suami beraya di sini saja untuk memudahkan keadaan," katanya. Serina juga meraikan ulang tahun abangnya yang ke-28 pada 26 Jun lalu. Katanya, lebih seratus orang menghadiri majlis yang berlangsung di restoran milik Chef Riz, On The Table yang beroperasi di Solaris Duta Mas, Mont Kiara. "Selain majlis hari jadi, abang saya juga buat 'food testing' pada malam itu sejak Jun lalu. Restoran itu akan dilancarkan pembukaannya pada September nanti. "Apa yang menarik, restoran itu menyajikan sajian dari seluruh dunia 'World Cuisine'. Abang saya buka restoran itu bersama rakan kongsinya. Saya pula membantu dari segi publisiti dan pemasaran," katanya. Walaupun sarat mengandung, kata Serina, rezekinya murah dalam bidang lakonan dan tidak sangka masih terima tawaran sekali pun perut sudah besar. "Saya merancang untuk berehat dari aktiviti seni penghujung Julai ini supaya saya dapat berehat sebelum bersalin. Selain itu, saya ingin uruskan apa yang patut termasuk persiapan melahirkan anak dan mencari nama bayi kami nanti. "Apapun, sebelum berehat panjang, saya akan selesaikan semua penggambaran program seperti Jalan-Jalan Cari Makan, Koko musim kelima dan drama bersiri Akademi Polis," katanya.

No comments: