Follow Us @asrialigur

16 July 2010

'Salahkan diri sendiri' David Beckham "


LONDON: David Beckham mengakui pemain England perlu bertanggungjawab atas aksi memalukan di Piala Dunia.Bekas pemain tengah Manchester United dan Real Madrid itu menyaksikan aksi longlai pemain England di Afrika Selatan kerana beliau seorang daripada kakitangan pengurusan skuad bimbingan Fabio Capello (gambar) itu.

Selepas berjaya melepasi peringkat kumpulan walaupun hanya menang sekali daripada tiga perlawanan menentang Amerika Syarikat, Algeria dan Slovenia, England dibelasah 4-1 oleh Jerman di pusingan kedua.

Taktik diterapkan Capello mendapat kritikan meluas selepas kekalahan itu tetapi Beckham yang tidak bermain akibat kecederaan tumit, melihat sendiri semua empat perlawanan daripada bangku simpanan dan mengakui masalah sebenar dihadapi England ialah kegagalan pemain bertaraf bintang menyinar.

“Capello sudah melakukan apa terdaya,” kata Beckham di laman sembang Yahoo.

“Beliau sudah menyediakan pasukan terbaik. Beliau menilai persembahan setiap pemain tetapi pemain sedar mereka tidak dapat mempersembahkan aksi diharapkan.

“Kami tidak bermain dengan baik dan sebagai pemain, saya yakin mereka sedar hakikat itu - anda pasti sedar bila masanya tidak bermain baik dan bila masanya tidak berada pada prestasi sebenar.

“Pengurus melakukan apa yang sepatutnya dan selebihnya terpulang kepada pemain. Pemain yang berada di tengah padang dan pemain tahu apabila tidak bermain baik, mereka pasti tidak akan menang.

“Pemain mengakui kesilapan tetapi ia bukanlah isu individu. Ia bukan mengenai aksi individu - ia mengenai bagaimana anda beraksi sebagai satu pasukan. Anda sepatutnya menang dan tewas sebagai satu pasukan.” Selepas mengalami keperitan akibat terlepas aksi keempat Piala Dunianya, Beckham mengaku beliau mahu mewakili England pada Sukan Olimpik di London pada 2012 - ketika usianya menjejak 37 tahun.

Beckham adalah duta British dalam usaha membida hak selaku tuan rumah dan beliau mula mengimpikan bermain di temasya itu.

“Jika ketika itu saya masih lagi bermain dan kudrat diperlukan, sudah tentu saya mahu berada di sana tetapi jika tidak bermain sekalipun, sudah tentu saya tetap ada,” kata Beckham. - AFP

No comments: