Follow Us @asrialigur

20 July 2010

Rozita mengaku paksa diri untuk berlakon

SETIAP kali diminta mengulas mengenai kisah peribadinya yang sering mengundang perhatian masyarakat, reaksi Rozita Che Wan tetap tenang dan mesra. Tidak pernah dia mengelak daripada menjawab pertanyaan media.

Bertemu pelakon cantik berusia 37 tahun ini di lokasi penggambaran drama Lawaknya Fantasia Raya di Kampung Serkam, Merlimau, Melaka baru-baru ini, wakil media terus bertanya lebih lanjut mengenai hasratnya yang dikatakan mahu bersara daripada industri seni kerana sudah bertemu jejaka yang bakal menyuntingnya sebagai isteri.

Mungkin ramai terkejut dengan tindakan Rozita yang dianggap drastik ini, apatah lagi kelibatnya masih diperlukan dalam dunia lakonan. Namun kakak kepada pelakon Ayu Raudhah ini beritahu dia nekad dengan keputusan yang diambilnya

Katanya, dia bukan merajuk dengan pelbagai kontroversi yang melingkari karier dan kehidupan peribadinya, tetapi banyak faktor yang berlaku membuatkan dia mengambil tindakan sedemikian.

"Ini tahun terakhir saya sibuk berlakon dengan menyelesaikan beberapa lagi penggambaran drama yang ada. Jika tahun depan ada yang masih ternampak saya di lokasi penggambaran itu kerana saya perlu habiskan penggambaran drama bersiri yang biasanya memang panjang.

"Saya mengaku tidak minat berlakon sebenarnya. Sekarang pun setiap hari saya memujuk diri sendiri untuk ke penggambaran drama. Saya terbabit dalam bidang seni ini dulu kerana pendapatan yang diperoleh lebih daripada apa yang saya dapat ketika bekerja sebagai setiausaha di firma guaman.

"Ketika itu saya fikir mana ada kerja lain lagi yang boleh dapat pendapatan lumayan dan tanpa disedari sudah empat tahun saya berlakon. Pekerjaan saya sebagai pramugari dulu pun hanya bertahan selama dua tahun setengah.

"Sekarang saya dalam proses untuk menguruskan perniagaan bulu mata jenama sendiri. Saya buat bisnes ini kerana ramai bertanya di mana hendak beli bulu mata seperti saya pakai. Bisnes itu akan dimulakan selepas Aidilfitri ini.

"Bulu mata itu diubah suai mengikut cita rasa saya sendiri. Maksudnya pengguna boleh memiliki bulu mata seperti mana yang digayakan saya," katanya.

Diusik dengan pertanyaan sama ada tindakan berkenaan sebagai permulaan untuknya mendirikan rumah tangga seperti yang digembar-gemburkan, Rozita dengan nada bergurau pantas menjerit menafikan perkara itu.

"Mana ada! Siapa cakap saya hendak kahwin. Saya mengakui kehidupan peribadi terganggu apabila jadi artis. Kontroversi yang berlaku kadangkala bukan semuanya kerana saya, tetapi direka pihak lain.

"Saya bersara dari lakonan kerana ingin menikmati kebebasan seperti orang lain yang bebas bergerak ke sana sini. Dulu saya rasa teruja tengok artis dan teringin hendak jadi seperti mereka. Sekarang saya rasa penat dan kecewa kerana perkara yang kecil pun diperbesarkan masyarakat.

"Bagaimanapun, saya mengakui sudah ada kekasih di mana kami berkenalan sebelum saya jadi artis lagi. Dia agak suka apabila saya beritahu akan berhenti berlakon. Sebenarnya saya cuba hendak mengelak daripada memperkatakan mengenai hubungan kami.

"Buat masa ini saya tidak menonjolkan dirinya pada mana-mana majlis dan undangan. Tetapi kalau ada yang ternampak, tak boleh buat apa. Lagipun saya tidak mahu menjejaskan namanya yang bekerja di sektor perbankan. Kami jarang bertemu kerana hubungan berlangsung dari jarak jauh kerana dia bekerja di Singapura.

"Namun kami selalu berkomunikasi dan itulah cara untuk kami menjaga hubungan yang terjalin selama ini. "Dia amat memahami saya. Sebenarnya dia adalah kawan kepada bekas suami saya."Dia berusia 34 tahun dan masih bujang.

Lebih senang memilih yang bujang daripada lelaki bergelar duda. Saya tidak mahu berkahwin dengan duda yang ada anak kerana apabila dia melebihkan anaknya saya yang terasa hati," katanya.


Tambah Rozita, pada usia sekarang, mereka sudah matang dan tahu apa yang perlu dibuat untuk mengekalkan kebahagiaan rumah tangga. Tetapi tegasnya ia bukan bermaksud mereka akan berkahwin pada masa terdekat

."Memang dia sudah lama melamar, tetapi saya belum bersedia. Buat masa ini kami selesa berkawan dulu tanpa merancang pasal kahwin,

" katanya yang mengakui anaknya, Ammar Effendy, 14, dan Aniq Ezzra, 12, turut mengenali dan mesra dengan lelaki itu.Bercerita mengenai watak dalam muzikal Lawaknya Fantasia Raya terbitan Astro Production Sdn Bhd itu, Rozita menjadi Cik Ayu, seorang diva popular yang datang ke Kampung Tok Kecut untuk menjayakan penggambaran program realiti berjudul Gugu Gegat Ayu.

"Cik Ayu perasan dia diva dan sanggup berlakon seolah-olah dia seorang yang baik dan lemah lembut di depan kamera sedangkan sifat sebenarnya bukan begitu. Peranan jurukamera dilakonkan oleh Dafi yang mengekalkan nama sebenarnya.

"Sepanjang empat hari penggambaran di sini rasa seronok dengan suasana ceria di lokasi dan saya juga jadi rapat dengan Dafi. Tidak dinafikan penggambaran yang dirakamkan di kampung, di tepi sawah padi, tepi laut dan jeti agak memenatkan, tetapi semua orang gembira."Pada mulanya saya segan hendak berlakon dengan Mawi, Shahir dan bekas bintang Akademi Fantasia yang lain.

Pelbagai perasaan timbul bimbang saya lupa skrip dan banyak lagilah. Tetapi apabila sudah berlakon bersama, baru saya tahu mereka semuanya bagus dan menghormati orang lain," katanya.

Diari lakonan Rozita terus berputar kerana selepas beberapa hari berehat, dia akan ke Perlis untuk penggambaran drama Kiah Pekasam terbitan Zeel Production selama seminggu. Drama untuk tayangan Aidilfitri itu juga menampilkan Rozita dengan watak komedi. Timbul pertanyaan apakah dia kini selesa membawakan watak sebegitu berbanding watak yang lebih mencabar?"Untuk musim Aidilfitri ini saya akan muncul dalam empat drama komedi. Hendak kata saya selesa buat watak kelakar tidak juga.Tetapi berlakon dapat mengurangkan tekanan.

"Sebelum ini saya pernah berlakon di bawah arahan Profesor Hatta Azad Khan. Dia suruh saya banyak berlakon watak komedi kerana katanya saya boleh buat membawanya dengan baik. Tidak dinafikan saya pun rasa releks kerana suasana di lokasi juga santai kerana selalunya saya jadi wanita yang tertekan saja.

"Namun berlakon komedi agak mencabar dan bergantung pada dialog. Saya tidak banyak berlakon komedi kerana bimbang melekat pula karakter itu dengan watak saya selepas ini. Rasanya setakat ini saya sudah seimbangkan antara watak komedi dan watak lain," katanya.

No comments: