19 July 2010

nabila kembali semula untuk berlakon


BERBICARA mengenai wanita ini, pasti ramai yang membayangkan kenakalannya, kisah hidupnya yang penuh sensasi selain pemilik tubuh genit ini yang gemar berfesyen ranggi.

Tapi itu dulu. Bagaimanapun, sekarang Nabila Huda Suhaimi, 25, sudah jauh berubah, lebih-lebih lagi sejak kehadiran insan bernama Keisha Laila yang lahir dua bulan lalu.

"Jika ditanya apakah perkara yang mampu membuatkan saya berubah, tentu saja jawapannya Keisha. Dia benar-benar membuatkan saya menghargai hidup ini selain membuka mata saya untuk menjadi insan yang lebih baik dari segenap sudut," katanya.

Nabila yang bergelar ibu pada 11 Mei lalu melahirkan Keisha seberat 3.47 kilogram secara normal tepat jam 4.25 petang di Hospital Gleneagles, Ampang.

Sememangnya, saat itu adalah kejadian paling menakjubkan dalam hidupnya apabila impian menjadi ibu tercapai. Sukar sebenarnya hendak menggambarkan perasaan menjadi seorang ibu.

"Sewaktu mengandung lagi saya dah putuskan untuk menjaga bayi saya sendiri sepanjang proses berpantang. Saya tidak mahu dibantu kerana hendak merasa bagaimana rasanya mengasuh dan menyusukan anak termasuk memandikan bayi baru lahir.

"Syukur saya dapat merasa semua itu dan selepas bersalin sampai sekarang saya belum pernah meninggalkan Keisha. Setiap hari bersamanya dari pagi hingga ke malam namun, sampai sekarang saya masih disapa perasaan tidak percaya apakah benar saya sudah menjadi ibu.

"Saya dan suami sangat gembira. Sama saja seperti ibu bapa yang lain kami juga mahu memberikan yang terbaik buat Keisha," katanya.

Akui Nabila, dia beruntung kerana proses berpantang tidak merumitkan, malah bayi sulungnya itu juga mudah diuruskan.

Memanjangkan lagi kesyukuran apabila suaminya, Zaidy Zailani yang dinikahi pada 2 Disember 2008, sama-sama memikul tanggungjawab dalam menjaga Keisha.

"Alhamdulillah Keisha bayi yang tidak banyak ragam. Mudah dijaga dan sangat suka tidur. Mungkin dia mewarisi sikap saya yang suka tidur.

"Suami juga banyak membantu. Seharian dari pagi sampai ke malam menjaga Keisha, suami akan mengambil alih tugas saya selepas tengah malam. Pendek kata dialah yang akan bertugas shif Subuh," katanya sambil ketawa.

Zaidy yang setia menemani Nabila turut diminta berkongsi pengalamannya menjadi bapa.

Katanya, kelahiran Keisha ibarat satu keajaiban dan perkara yang sukar dipercayai.

"Sama seperti Nabila, saya juga tidak percaya sudah bergelar bapa sekarang. Pun begitu, syukur kerana hajat kami untuk mempunyai anak dimakbulkan Yang Maha Esa.

"Sememangnya kami merancang untuk segera menimang anak. Tidak dinafikan sedikit penat kerana tidak cukup tidur, tapi memandangkan kami berdua memutuskan untuk menjaga Keisha tanpa bantuan pengasuh, maka mahu tidak mahu kami perlu bertolak ansur dan bergilir-gilir menjaga Keisha.

"Walaupun tidak biasa memandangkan ini pengalaman pertama mempunyai anak, tetapi kami harus buat sendiri," katanya.

Zaidy turut memberi keizinan buat Nabila untuk terus aktif berlakon.

Beralih pada topik menjurus kerjaya Nabila, pada 20 Julai ini
dia kembali ke set penggambaran selepas lima bulan berehat. Dari tutur katanya, jelas sekali Nabila sangat gembira untuk kembali beraksi di kaca televisyen.

"Saya berehat daripada berlakon ketika mengandung tujuh bulan sampailah sekarang. Tempoh itu bagaikan bertahun lamanya bagi seorang yang tidak reti duduk diam seperti saya.

"Penggambaran pada 20 Julai yang bakal saya jayakan adalah sebuah telemovie arahan Erma Fatima iaitu Emily.

"Selesai penggambaran drama itu saya terbabit pula dengan drama bersiri 13 episod, Ahmad Durrah.

"Kedua-dua watak yang ditawarkan adalah sangat berbeza. Menerusi Emily, karakter saya agak kasar kerana Emily ini seorang gadis yang meminati muzik.

"Dia dipaksa berkahwin kontrak selama enam bulan. Bagaimanapun selepas hampir tamat tempoh itu Emily menyedari dia sudah mula jatuh cinta begitu juga suaminya, tetapi masing-masing ego meluahkan perasaan hati.

"Selepas beberapa tahun berpisah akhirnya mereka bertemu semula. Manakala drama Ahmad Durrah yang bakal disiarkan menerusi slot Akasia, TV3, saya melakonkan watak yang cukup berbeza berbanding drama lain sebelum ini. Saya memegang watak gadis kampung, bertudung dan sangat baik. Dia seorang yang sanggup berkorban demi kebahagiaan teman baiknya yang sudah lama menggilai Durrah. Tanpa disangka, dalam diam Durrah juga menyimpan perasaannya terhadapnya," katanya.



No comments :